Bengkel Latihan Penyusuan Ibu Menyusu Zon Selatan

Original Image
Alhamdulillah, berakhirlah sudah bengkel latihan yang dianjurkan oleh Program Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia (PPIMM) pada 16 – 18 September yang lalu. Bengkel kali ini khusus untuk mereka yang berada di kawasan selatan dan merupakan bengkel terakhir di Semenanjung Malaysia untuk tahun ini. Bengkel selama 3 hari ini telah diadakan di Dewan Seri Meranti, Kolej Rahman Putera, UTM Skudai, Johor.

Sekalung penghargaan juga diberikan kepada Universiti Teknologi Malaysia, Skudai atas usahasama dalam menjayakan program kali ini. Keseluruhan lokasi latihan kali ini telah dibiayai sepenuhnya oleh pihak UTM. Bantuan seumpama ini amat kami hargai kerana telah meringankan beban kewangan dalam menganjurkan program seumpama ini.

Tahniah kepada kesemua 30 orang peserta telah berjaya menamatkan bengkel latihan ini. Ia juga bererti jumlah Pembimbing Ibu Menyusu juga telah meningkat kepada 245 orang .

Bengkel kali ini telah dikendalikan oleh kumpulan PCPA yang diketuai oleh Dr Ning Desiyanti dan dibantu oleh Puan Nurhayati Hashim, Puan Yusrina, Puan Zatul Hijanah dan Dr Nadrah. Mereka juga turut dibantu oleh beberapa orang Pembimbing Ibu Menyusu di Johor yang telah dilatih pada tahun lepas.

Dalam sesi latihan kali ini, beberapa pembaharuan telah dilakukan. Sesi mengenali anatomi payudara yang biasanya menggunakan belon telah digantikan dengan membuat model payudara daripada stokin. Diharap model ini dapat digunakan oleh peserta kelak dalam aktiviti membantu ibu-ibu menyusu. Selain itu, aktiviti 'role play' juga telah diperbanyakkan untuk menambah keyakinan peserta dalam menghadapi situasi sebenar semasa membimbing ibu menyusu di luar kelak.

Suasana bengkel juga turut diserikan dengan kehadiran 11 orang bayi. Mereka tetap ceria walaupun terpaksa menemani ibu masing-masing yang sibuk menimba ilmu sepanjang 3 hari di sana.

Memandangkan ini merupakan bengkel terakhir untuk Semenanjung Malaysia, kami menyeru kepada sesiapa yang masih belum berkesempatan mengikuti bengkel ini untuk menyertai bengkel seterusnya yang akan diadakan di Kuching, Sarawak pada 26, 27 dan 28 November 2011 akan datang. Kepada yang berminat, hantarkan butiran kepada admin@malaysianbfpc.org
Original Image
Original Image
Original Image
Original Image
Original Image
Original Image
Original Image
Original Image
Original Image
Disediakan oleh : Nur Ain Sha'ari
Disemak oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC