Maaf Nak, Ibu Tidak Cukup Bersedia!

Postpartum DepressionMama berkesempatan membelek majalah-majalah tempatan mencari rujukan mengenai penyusuan Susu Ibu. Bulan Ogos lalu, kebanyakan majalah keibu bapaan tempatan telah menampilkan artikel-artikel mengenai Penyusuan Susu Ibu bersempena dengan sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang sedang berlangsung.

Dari pembacaan Mama, bermacam-macam pengalaman dialami oleh ibu-ibu pelbagai kaum semasa proses membesarkan anak-anak terutama di dalam usaha menyusukan cahaya mata kesayangan mereka. Kebanyakan dari ibu-ibu ini menceritakan pengalaman sebenar mereka, mengapa mereka gagal menyusukan bayi mereka terutama pada kelahiran yang pertama.

Banyak yang Mama pelajari dari pengalaman ibu-ibu ini. Seorang ibu menceritakan yang apabila beliau bersalin di hospital, tiada siapa yang menolong tunjuk ajar bagaimana untuk memulakan langkah pertama penyusuan. Ada pula yang merungut kerana beliau tidak diberi peluang langsung untuk menemui anak beliau selepas bersalin dan apabila bayi diberikan kepadanya, bayi itu sudah dikenyangkan dengan susu formula. Ada pula yang baru sahaja hendak cuba-cuba belajar memberikan susu, sebaliknya ditakut-takutkan oleh kakitangan hospital tentang kesusahan yang bakal dialami jika menyusu badan. Kalau diikutkan pelbagai lagi pengalaman buruk yang dialami oleh ibu-ibu muda ini. Kasihan sungguh mama membaca kisah mereka.

Kenapa perkara seperti ini terjadi? Memang mama akui, bukan mudah untuk menyandang jawatan ibu (jawatan bapa juga tidak ketinggalan). Pun begitu, kita tidak boleh menunding jari 100% kepada orang lain atau persekitaran kita. Pada firasat mama, kebanyakan kegagalan ibu untuk menyusu anak mereka terjadi, kerana kurangnya kefahaman mengenai kaedah penyusuan, tidak bersedia menyusukan anak mereka dan tidak cukup cekal (mudah goyah dengan pandangan yang tidak memberangsangkan dari orang lain). Bagi mama, cukuplah pengalaman buruk ibu-ibu lain itu dijadikan teladan, jangan sampai diri kita atau adik kita atau anak kita kelak juga mengalami keadaan yang sama. Bagaimana kita hendak mengelakkan perkara ini dari terjadi?Bukankah ibu-ibu telah diberi masa 9 bulan semasa mengandung untuk membuat persiapan dan persediaan?

Memang sekali imbas perkara ini dipandang remeh dan ringan oleh sesetengah ibu bapa. Tidak kurang juga ada yang berkata, ‘anak saya diberi susu formula, tapi besar jugak, buat apa nak susah-susah menyusu badan’. Tetapi cuba anda bertanya kepada ibu bapa yang terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran yang dihadapi oleh anak mereka akibat pemberian susu formula (Mungkin masih ramai yang belum tahu hakikat ini). Cuba juga bertanya kepada para doktor yang merawat kanak-kanak di klinik-klinik, apakah statistik bayi kecil yang dirawat kesan pelbagai gejala yang secara tidak langsung akibat dari pemberian susu formula. Maaf, mama bukannya marah atau tidak juga berniat untuk menegur sesiapa, tetapi mama cuma rasa terkilan kerana walaupun ramai ibu-ibu yang tahu akan kebaikan susu ibu tetapi masih terlalu ramai lagi ibu-ibu yang buat endah tidak endah akan tanggungjawab mereka memberikan makanan yang terbaik untuk cahaya mata mereka. Hasilnya, ramai ibu-ibu (dengan disokong oleh kaum bapa yang mungkin kurang perihatin) mengambil jalan mudah memberikan susu ‘alternatif’ kepada bayi mereka apabila usaha(jika ada usaha) pada peringkat awal penyusuan tidak berjaya.

Mama sendiri dulu juga tidak pandai pada mulanya – walau sehingga kinipun masih tidak layak digelar pakar menyusu, tetapi Alhamdulillah diberi petunjuk untuk mencari ilmu dan membuat persediaan bagaimana hendak menyusukan anak. Mama menghadiri kelas antenatal bersama suami tersayang beberapa bulan sebelum bersalin. Di situ kami mempelajari selok belok bagaimana menghadapi hari hari awal bersama bayi kami nanti. Di kelas itu jugalah kami belajar bagaimana cara menyusukan anak. Kaum bapa diberi pendedahan bagaimana mereka boleh memainkan peranan membantu ibu dan memudahkan proses penyusuan itu.  Kami juga telah didedahkan tentang apakah masalah biasa yang bakal dihadapi oleh ibu menyusu termasuk pandangan ‘negatif’ dari masyarakat serta keluarga yang kurang memahaminya dan bagaimanakah untuk menghadapinya. Paling tidak, persediaan itu walaupun masih belum mencukupi (selagi belum ada praktikal), telah dapat menyediakan emosi dan mental mama agar benar-benar bersedia dan beriltizam untuk menyusukan bayi nanti.

Diharap bakal ibubapa dimasa akan datang tidak menganggap kelas antenatal ini suatu yang remeh dan tidak berguna. Jangan kita anggap hanya peperiksaan disekolah sahaja yang memerlukan persediaan. Realiti hidup kita memang tabiinya senantiasa perlu dibuat perancangan dan persediaan agar kelak tidak kucar kacir jadinya. Jangan sampai kita sanggup memberi alasan mudah kepada anak kita kelak ‘Maaf nak, ibu tidak cukup bersedia!’.

Nukilan: Nor Kamariah Mohamad Alwi
kamariah@susuibu.com
September 19, 2004

Print Friendly, PDF & Email

Comments

comments

Powered by Facebook Comments