Mama..Di Mana Mama

Nenek dan cucuHari ini, usia saya baru 6 minggu. Tiba-tiba saya rasa ada kelainan. Mulut saya disumbat dengan satu bende asing. Eh! Ini bukan puting mama.. Eeee..tak naklah! Puihhh!! Tak sedapnya rasa dia. Tapi.. kejap.. rasa macam ada susu mama..tapi mama di mana? Terdengar suara nenek memujuk, “Minumlah baby, nanti baby lapar”. Apa kena mengena benda asing tu dengan minum susu. Kenapa saya kena minum susu dengan benda tu tak sedaplah. Huaaaa!!! Saya menangis sekuat hati. Tak lama selepas tu, terdengar suara mama semakin berdekatan. “Oklah sayang mama. Cukuplah latihan setakat ini. Besok kita cuba lagi”, kata mama lalu saya diupah dengan apa yang dicita..Yummie!! Sedapnya, susu mama yang asli!!

Besok pagi, sekali lagi nenek pegang saya. Tapi kali ini saya dah lapar. Emm!! Macamana nak buat ni? Mama tak ambil saya pun! Oo oo! Mulut saya disumbat lagi dengan benda asing tu. Saya cuba jilat. Ehh! Ada susu mamalah kat benda ni. Macamana nak minum banyak lagi ye.. Hisap jelah, macam hisap puting mama. Tapi bende nie keras sikitlah. Isy! Tak maulah minum dengan bende keras nie. Huaaaa!!Mama nak mama!!Hehe!!Taktik menjadi, mama datang juga akhirnya. “Kenapa sayang? Puting ni tak sedap ye? Oklah, besok mama cari puting yang lembut sikit ye”, kata mama dan saya pun mendapat upah yang asli.

Keesokannya, pagi-pagi lagi nenek dah mula bermain dengan saya. Seronok juga main dengan nenek ni. Tak lama selepas tu, perut saya pun lapar. Oh tidak! Mama tak ada lagi! Mesti kena sumbat dengan benda asing tu lagi. Dah agak dah! Emm tapi kali ni lembut sikit. Oklah jugak, dapatlah juga saya menahan lapar dan dahaga dengan benda ni. Rupa-rupanya saya diberikan susu mama juga tapi nenek berikan dalam botol. Lama-lama susu dalam botol pun habis. Wah! Bukan main seronok lagi nenek. Cepat-cepat mama datang kepada saya. Nampak mama tersenyum. Saya senyum kembali kepada mama. Mama hadiahkan saya ciuman di pipi dan di dahi. Emm! Seronoknya! Mama nak lagi!

Hari keempat, saya sudah boleh minum susu mama dengan botol waktu pagi. Tapi nampaknya kali ini, nenek aja yang peluk dan bermain dengan saya. Mana mama ni? Lepas beberapa lama, perut saya pun dah lapar semula. Sekali lagi nenek suapkan saya dengan botol. Eh! Ini dah dua kali ni. Tak pelah, minum jelah! Dah tengahari barulah mama ada. Mama pergi manalah agaknya. Rindunya saya!

Selepas tu setiap hari, sedikit demi sedikit waktu saya menyusu dengan mama dah digantikan dengan botol. Tapi saya dah tak kisah, asalkan yang saya dapat minum tu, susu mama. Rasanya pun tak berapa berbeza. Cuma yang herannya macamana susu mama boleh ada di dalam botol.

Satu hari, nampak mama awal-awal pagi lagi dah bersiap cantik. Seronoknya mama nak bawa saya pergi jalan ke? Mama ambik saya dan bagi saya minum susu mama. Sambil saya minum, saya ternampak satu benda pelik. Eh! Apa yang mama buat tu? Nampak macam botol susu yang saya minum semalam. Tapi kenapa ada benda yang melekat dekat puting mama sebelah lagi tu. Ooo rupa-rupanya macam tulah mama masukkan susu mama dalam botol. Mama tengah perah susulah tu. Sayapun buat tak kisah je. Yang penting saya dapat minum dengan mama.

Bila saya dah kenyang, burrpp! Mama pun lepaskan puting mama dari saya. Ahh..sedapnya! Harap-harap hari ni tak payah minum dari puting plastik tu lagi. Tapi sangkaan saya meleset sama sekali. Tak lama selepas tu. Nampak mama masuk dalam kereta. Tapi tak bawa saya sekali pun. Alamak! Mama nak pergi mana tu? Eh! Papa pun ada sekali! Selalunya, papa aja yang pergi dengan kereta pagi-pagi ni. Terdengar nenek bersuara, “Ok babai mama! Pergi kerja balik cepat ye!”. Aaaa! Pergi kerja? Mamapun kena pergi kerja ke?

Nampaknya hari ini, terpaksalah saya minum lagi dengan puting plastik tu. Sehari suntuk saya duduk dengan nenek di rumah. Neneklah yang jaga saya, basuh berak saya, mandikan saya dan juga suapkan saya dengan puting plastik tu bila saya lapar. Bila dah lewat petang, barulah nampak mama. Yea! Mama dah balik! Mama pun terus menerpa dekat saya, dan peluk cium saya. Saya nampak mama bawa satu beg hitam. Apa dalam tu mama? Ooo rupa-rupanya dalam tu ada susu mama yang dah diperah masa mama di tempat kerja tapi. Wow! banyaknya! Ada 5 botol! Saya nampak mama simpan semua botol tu dalam peti ais.

Saya dah tak kisah lagi pasal semua tu. Yang penting sekarang ni, saya nak upah susu. Mama cepatlah! Bila mama beri je puting mama, saya pun terus menangkap dan aaahh, alangkah nikmatnya dapat susu mama!
😆

Luahan Rasa Ci Comel (Bhgn 2)
Nukilan: Nor Kamariah Mohamad Alwi

kamariah@susuibu.com
28 Januari 2005

Print Friendly, PDF & Email

Comments

comments

Powered by Facebook Comments