Minggu Penyusuan Ibu 2009: Ketika Bencana

Tsunami

Gambar Keadaan Selepas Salah Satu Bencana Tsunami.

Minggu Penyusuan Susu Ibu pada tahun ini membuka mata kita tentang kepentingan penyusuan susu ibu ketika bencana. Mungkin ramai di antara kita yang tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan bencana apabila ia benar-benar terjadi. Maka, kita mungkin memandang remeh tentang kaitan bencana dan isu penyusuan susu ibu. Ada juga yang sangsi bagaimana penyusuan susu ibu boleh menjadi begitu penting sehingga digariskan sebagai salah satu langkah untuk menyelamatkan nyawa di saat kecemasan atau bencana.

Bayangkan keadaan keliling anda apabila berlaku bencana seperti tanah runtuh, banjir, atau ribut taufan. Ramai orang akan kehilangan tempat tinggal, apatah lagi keperluan hidup asas seperti bekalan air yang bersih, tenaga elektrik, peralatan rumah yang asas dan pelbagai lagi kemudahan yang biasa digunakan di sebuah rumah. Di saat begini, dimanakah tempat berlindung anak-anak kecil dan bagaimanakah mereka akan mendapatkan makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup? Pada ketika ini jugalah pelbagai wabak mudah melanda. Persoalannya bagaimana kita harus bertindak agar golongan yang mudah terkesan ini dapat dilindungi sewajarnya?

Disaster Relief

Lambakan ‘bantuan’ bekalan susu formula diterima untuk mangsa gempa bumi di China

Dalam keadaan panik, segala bentuk bantuan yang diterima akan ditadah dengan tangan terbuka. Seringkali berlaku, apabila dibuka sahaja ruang untuk menghulurkan bantuan, peluang ini diambil kesempatan oleh pelbagai pihak. Ruang yang disediakan ini digunakan untuk melambakkan barang-barang yang hampir rosak atau sudah tidak terpakai, seolah-olah orang yang di dalam kesempitan ini hanya layak menerima barangan sebegitu. Tidak kurang juga ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang menghantar bekalan makanan yang sudah hampir tiba tarikh luputnya.

Begitulah juga dengan syarikat-syarikat susu formula yang mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan pelbagai jenama keluaran mereka kepada mangsa bencana. Lambakan susu formula yang didatangi entah dari mana negara asalnya dalam pakej pelbagai bahasa tiba ke tempat yang barangkali si penerima memang asalnya masih menyusukan anak-anaknya dengan susu ibu. Timbul keinginan pula kepada mangsa ini untuk mencuba menggunakan ‘bantuan’ yang ada di depan mata. Apatah lagi melihatkan keadaan ibu-ibu ini juga tidak terurus, timbul rasa kurang keyakinan lagi untuk meneruskan penyusuan susu ibu.

Tanpa mengetahui risiko jika anak-anak itu mengambil ‘bantuan'(susu formula) yang dibekalkan, mereka mula mencuba dengan menggunakan kemudahan seadanya. Entah di mana bekalan airnya, entah bagaimana air itu dimasak, entah bagaimana pula botol dan putingnya harus dibersihkan. Namun mereka akur kerana inilah bentuk ‘bantuan’ yang tiba di hadapan mereka.

Formulas

Susu Formula dalam bahasa Greek untuk bantuan kepada mangsa di Lebanon yang rata-rata berbahasa Arab.

Sedar tak sedar, anak-anak yang disangka menerima ‘bantuan’ ini, sebaliknya menerima padah pula. Cirit birit mula melanda akibat kebersihan peralatan penyusuan tidak terjaga. Ada pula yang menghadapi sembelit dan tidak dapat membuang air akibat susu dibancuh tidak mengikut sukatan, lantaran tulisan di tin tidak difahami langsung kerana ditulis dalam bahasa asing. Malang seribu kali malang. Sudahlah jatuh, kini ditimpa tangga.

Keadaan sebegini boleh dielakkan jika bentuk bantuan yang dihantar dapat dipantau. Pendedahan tentang penyusuan susu ibu wajar diberikan di saat kecemasan. Tiada makanan yang lebih baik diberikan kepada bayi melainkan susu ibu. Ianya sah steril dan selamat digunakan. Ianya juga mengandungi perlindungan antibodi dari pelbagai jenis serangan penyakit terutama semasa keadaan bencana.

Bagaimana jika ibu itu tidak menyusu sebelum bencana berlaku? Ketahuilah untuk memulakan semula penyusuan yang telah terhenti bukanlah sesuatu yang mustahil. Selain dari itu, bantuan dalam bentuk membantu menyusukan bayi lain oleh seorang ibu yang memang menyusukan anaknya juga adalah sesuatu yang wajar dilakukan. Sokongan dan memberi tempat perlindungan yang selesa dan selamat untuk pasangan ibu dan anak untuk melakukan proses penyusuan harus diberi keutamaan. Untuk menambah keyakinan ibu-ibu yang ingin menyusukan anak-anak ini, bekalan makanan juga harus sampai kepada mereka agar mereka bertenaga untuk menjaga anak-anak ini disamping meneruskan penyusuan.

Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah kesannya jika seorang ibu menyusukan anak orang lain. Dari sudut Islam, jika anak itu dapat disusukan cukup 5 kali kenyangnya, maka anak itu akan menjadi anak susuan ibu tersebut. Jika ini terjadi, bukankah ianya satu kebaikan di mana silaturrahim diperluaskan dan hubungan ini harus dikekalkan dan diberitahu kepada anak ini bahawa dia beruntung kerana mempunyai lebih dari seorang ibu!

Dari sudut kesihatan pula, jika pemantauan dapat dilakukan, seharusnya ibu yang ingin menghulurkan bantuan ini perlulah bebas dari penyakit yang boleh dijangkiti melalui penyusuan susu ibu, contohnya HIV. Penghulur bantuan haruslah tulus dan telus dalam hal ini agar perkara buruk dapat dielakkan.

Alangkah baiknya jika di kem-kem perlindungan ini, dilengkapi dengan pasukan bantuan yang juga mahir tentang penyusuan susu ibu. Kaunseling ringkas dapat diberikan kepada mangsa-mangsa bencana tentang bagaimana mereka dapat memperbaiki keadaan menerusi penyusuan susu ibu. Barulah bantuan yang tidak wajar dapat dijauhi dan seterusnya lebih banyak nyawa yang dapat diselamatkan.

Ingatlah dalam keadaan apa sekalipun, rekomendasi tentang penyusuan susu ibu tidak berubah. Penyusuan eksklusif adalah terbaik untuk bayi dari lahir sehingga 6 bulan pertama. Penyusuan susu ibu haruslah diteruskan sehingga 2 tahun atau lebih bersama makanan pelengkap. Malahan apabila dalam berlaku bencana, penyusuan susu ibulah penyelamat nyawa anak-anak kecil kerana hanya susu ibu adalah sumber makanan yang bersih, selamat dan berkhasiat.

Tips-tips Tambahan Berguna Buat Ibu Menyusu Walau Dalam Apa Jua Keadaan, Apatah lagi ketika Bencana

Posisi Ragbi

1. Posisi Pegangan Bola Ragbi amat sesuai untuk menyusukan bayi pada hari-hari awal, bayi pramatang dan juga bayi yang kurang sihat.

Posisi Berbaring

2. Jika ibu memilih untuk menyusu sambil berbaring, keselesaan boleh ditambah dengan meletakkan bantal atau lipatan kain di celah kaki ibu untuk mengelakkan rasa sakit belakang.

Ditulis oleh:
Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC
18 Ogos, 2009

Print Friendly

Comments

comments

Powered by Facebook Comments