Sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia di USIM

Pada 5 Oktober 2011 yang lalu, Puan Nor Kamariah telah dijemput untuk memberikan ceramah penyusuan ibu sempena Sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia peringkat Seremban. Sambutan yang diadakan di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Quran & Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini adalah anjuran bersama Pejabat Kesihatan Daerah Seremban dan USIM.

Puan Kamariah telah menyampaikan ceramah yang bertajuk “Khasiat Susu Ibu” kepada peserta yang hadir. Jumlah peserta yang hadir adalah seramai lebih kurang 200 orang yang terdiri daripada ibu bapa, pegawai daripada Jabatan Kesihatan Daerah Seremban, pekerja-pekerja USIM dan juga mahasiswa-mahasiswi USIM. Walaupun sebahagian daripada hadirin pada har tersebut belum melayari alam rumahtangga lagi, maklumat yang diperolehi daripada ceramah tersebut diharapkan dapat memberi pendedahan awal kepada mereka terutama sekali bagi yang mengikuti kursus perubatan di USIM.

Semasa program tersebut, ceramah turut disampaikan oleh penceramah motivasi Pak Utih. Peserta tdak kering gusi dengan selingan jenaka yang disulam penceramah dalam setiap isu yang dibawa dalam ceramah masing-masing.

Sementara itu, Moms Little Ones turut diberi tempat untuk menjual barangan penyusuan ibu. Ramai juga ibu-ibu yang mengunjungi kaunter jualan kami. Melalui kaunter ini, peserta mendapat pendedahan mengenai barangan yang diperlukan untuk menyusukan anak mereka (bagi yang bekerja) seperti beg penyejuk, pek ais dan sebagainya. Terima kasih kerana mengunjungi kaunter jualan kami.

Sambutan ini berakhir pada pukul 5.00 petang. Kami daripada pihak SusuIbu.com berharap agar sambutan dan ceramah tentang penyusuan ibu dapat diadakan selalu sebagai salah satu usaha mewujudkan kesedaran tentang kepentingan penyusuan ibu dalam masyarakat setempat.

Disediakan oleh : Nur Ain Sha’ari
Disemak oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC