Seminar Berpantang cara Alami & Penyusuan Ibu

Original Image

Pada 2 Oktober 2011 yang lalu, sebuah seminar bertajuk “Seminar Berpantang cara Alami & Penyusuan Susu Ibu” telah diadakan di Auditorium, Kompleks Karangkraf, Shah Alam. Seminar ini dianjurkan oleh Pa&Ma dengan kerjasama Susuibu.com dan Sarakids.

Seminar ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada bakal ibu dan ayah yang ingin bersemangat untuk menimba ilmu keibubapaan. Pada sebelah pagi, SusuIbu.com telah mengendalikan bengkel Penyusuan Ibu, manakala pada sebelah petang, seminar diteruskan oleh pihak SaraKids yang membawa topic Berpantang Cara Alami.

Bengkel SusuIbu.com kali ini dijayakan oleh gabungan perunding laktasi yang mantap diketuai oleh Dr Ning Desiyanti Soehartojo dan dibantu oleh Dr Faridah Idris, Dr Nazatul Shiha Bachtiar dan Puan Nor Kamariah Mohamad Alwi.
Original Image

Untuk memanfaatkan masa yang amat terhad, peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan dan mereka berpeluang bergilir-gilir berguru daripada 4 orang perunding laktasi ini yang membawakan 4 topik yang berbeza. Antara topik yang telah digarap di dalam bengkel ini adalah: Persediaan Sebelum Bersalin, Hari-hari Awal Kelahiran, Asas Penyusuan Ibu dan Persediaan Kembali Bekerja. Walaupun keletihan terpaksa bergegas dari satu stesen ke satu stesen yang lain, peserta kelihatan bersemangat untuk merebut peluang menimba ilmu sebanyak yang mungkin. Bengkel ringkas ini berjaya mencetus pelbagai persoalan dalam kalangan peserta di penghujung bengkel yang diadakan. Bagi pihak SusuIbu.com kami berharap bengkel ringkas ini mampu menjadi pencetus kepada semua peserta untuk terus belajar mengenai penyusuan ibu kerana kami percaya penyusuan ibu adalah fitrah. Oleh kerana itu, salah satu kaedah berkesan mempelajarinya adalah menerusi pengalaman secara terus menerus.

Selain itu artis dan ikon penyusuan ibu, Dynas Mokhtar turut berkongsi pengalaman penyusuan beliau bersama peserta yang hadir. Beliau turut memperagakan dan memperkenalkan fesyen khusus buat ibu menyusu yang dikeluarkan oleh DNA (Dynas Nursing Attire). Di penghujung bengkel, peserta telah diperkenalkan dengan beberapa barangan keperluan keluaran MomsLittleOnes khusus untuk ibu menyusu yang bekerjaya oleh Ketua Pegawai Pemasaran Nurturing Concepts, Puan Jasmeen Tay Abdullah.

Bengkel yang dikendalikan oleh SusuIbu.com berakhir lebih kurang jam 1 tengahari. Program diteruskan oleh penganjur sehingga lebih kurang jam 5 petang.

Original Image
Original Image
Original Image
Original Image
Original Image

Disediakan oleh : Nur Ain Sha’ari
Disemak oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC