SGM 5 : The ABC’s of Breastfeeding, Advantages of Breastfeeding from A to Z

Original Image
Alhamdulillah… Pada 22 Mei 2011, SusuIbu.Com telah berjaya mengadakan Perjumpaan Kumpulan Sokongan / Support Group Meeting (SGM) untuk kali yang kelima pada tahun 2011. Kali ini kami membincangkan tentang topik “The ABC’s of Breastfeeding, Advantages of Breastfeeding from A to Z”.

Perjumpaan kali ini disertai oleh 20 orang ibu dan bapa. Pada kali ini, kami hanya bentukkan satu kumpulan sahaja. Oleh itu ianya adalah kumpulan campuran ibu dan bapa dan input yang diberikan terhadap perbincangan tersebut amat memberangsangkan.

Perjumpaan kali ini dikendalikan oleh Puan Nurshazura dan Puan Hanidah. Masing-masing memberikan pendapat tentang topik yang dibincangkan. Ini adalah hasil daripada perbincangan kami pada hari tersebut.
Antara kebaikan penyusuan ibu ialah :
– Susu ibu mempunyai khasiatnya tersendiri yang amat diperlukan oleh seseorang bayi dalam proses tumbesarannya.
– Boleh mengembalikan berat badan kepada berat asal seperti sebelum mengandungkan bayi kerana setiap kali sesi penyusuan, kalori dalam badan anda akan terbakar dengan sendirinya.
– ‘Bonding’ dengan bayi – di mana setiap bayi yang disusukan dengan susu ibu lebih rapat dengan ibu mereka. Tetapi kita juga perlu untuk merapatkan bayi dengan bapa, di mana bapa perlu memainkan peranan untuk bersama dengan bayi juga jika ada peluang.
– Bagi ibu yang menyusukan anak tidak perlu risau tentang masalah pengecutan rahim kerana penyusuan itu sendiri akan mengecutkan rahim anda dengan cepat.
– Memudahkan – ibu dan bapa tidak perlu bangun pada waktu malam untuk membancuh susu bayi. Penyusuan ibu dapat dilakukan dengan mudah apabila ibu mengamalkan ‘co-sleeping'(tidur bersama bayi). Kebanyakan ibu tidak merasa terganggu tidur mereka dengan amalan ini dan mendapat rehat secukupnya untuk berasa cergas pada keesokan harinya.
– Eratkan hubungan kekeluargaan – suami akan membantu isteri dalam kerja harian kerana tahu isteri telah menjalankan satu tugasan yang besar iaitu -menyusukan bayi mereka. Wujudnya persefahaman, timbang rasa dan saling bantu membantu inilah yang menjadikan hubungan suami-isteri semakin kukuh dari hari ke hari rentetan aktiviti penyusuan ibu.

Ini adalah antara kebaikan penyusuan ibu yang dapat kami bincangkan pada hari tersebut. Jika diikutkan, banyak lagi kebaikan penyusuan yang ada daripada A hingga Z.

Selain itu, kami juga membincangkan isu lain berkaitan dengan penyusuan ini. Antara yang hadir kali ini adalah bakal ibu dan bapa yang memerlukan sokongan dan nasihat dalam penyusuan ibu. Antara yang dibincangkan ialah persediaan bagi menyambut kelahiran bayi (dalam penyusuan ibu).

– Timba ilmu yang secukupnya tentang penyusuan ibu samada melalui pembacaan dan pengalaman rakan. Tetapi perlu ingat bahawa pengalaman orang lain tidak akan sama dengan pengalaman kita sendiri. Ilmu penyusuan perlu ada kerana penyusuan bayi bukanlah perkara mudah dan senang seperti yang kita jangkakan. Ia akan menjadi susah jika kita tidak mempunyai pengetahuan yang betul mengenainya.
– Sediakan diri dengan fizikal dan mental yang kuat. Ibu yang menyusukan bayi harus bertenaga untuk menyusukan bayi tidak kira masa.
– Para ibu dan bapa perlu muhasabah tujuan mereka ingin memberikan susu ibu kepada anak. Jika kita berniat yang positif, InsyaAllah kita akan dapat keputusan yang positif juga.
– Motivasi diri sendiri juga perlu dalam perjalanan penyusuan ibu. Jadi tak salah jika kita datang ke aktiviti-aktiviti seperti perjumpaan ini di mana kita juga akan mendapat sedikit sebanyak semangat untuk motivasikan diri sendiri.

Kami juga turut membincangkan tentang keperluan peralatan pemerah susu serta teknik pemerahan susu yang ada. Alatan pemerah susu sebenarnya bukanlah diperlukan oleh setiap ibu yang mahu menyusukan tetapi ianya mungkin hanya diperlukan jika ibu perlu berjauhan dari bayi untuk tempoh tertentu. Sungguhpun begitu, selain menggunakan alat pemerah susu, ibu-ibu amat digalakkan mempelajari kaedah memerah susu dengan tangan. Apapun kaedah yang dipilih ianya haruslah sesuai dengan keperluan dan kemampuan masing-masing.

Ada juga yang sempat bertanyakan tentang teknik dan posisi penyusuan. Antara yang disarankan adalah menyusulah bayi mengikut apa sahaja posisi asalkan ibu dan bayi berasa selesa.

Seterusnya, kami juga turut menyentuh tentang penyusuan di khalayak ramai. Jika seseorang itu malu untuk menyusu secara terbuka, beliau bolehlah menyediakan pakaian menyusu serta alatan lain yang boleh memberi keselesaan kepada ibu ketika menyusu. Jika ibu belum bersedia untuk menyusu di khalayak ramai, maka tidak perlulah berbuat demikian kerana ia akan menyebabkan ibu berasa tidak selesa untuk menyusu. Ibu mungkin perlu berlatihlah terlebih dahulu di rumah sama ada di depan cermin atau di depan ahli keluarga sehingga beliau yakin dengan skil yang baru diperolehi itu.

Perjumpaan ini diakhiri dengan jamuan makan yang hidangannya dibawa oleh peserta sendiri. Kami di pihak SusuIbu.Com sangat berharap agar lebih ramai ibu-ibu serta bapa-bapa hadir ke program kami ini.

Original Image

Original Image

Original Image

Laporan ini agak lambat dikeluarkan. SGM seterusnya telah dilaksanakan pada 26 Jun 2011 yang lalu dengan tajuk “There’s a New Baby in Your Life”. Nantikan laporannya menyusul selepas ini.

Disediakan oleh : Nur Ain Sha’ari
Disemak oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC