SGM 8 : Weaning – Four Chambers of the Hearts

Original Image
Alhamdulillah…Setelah berehat selama sebulan pada bulan puasa yang lalu, SGM kelapan berjaya diadakan pada 25 September 2011 yang lalu. Seperti biasa, perjumpaan ini diadakan di Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, di tempat dan kawasan yang sama. Kali ini topic yang dibincangkan ialah “Weaning : Four Chambers of the Heart”.

Perjumpaan kali ini dihadiri oleh 7 orang sahaja, iaitu 5 orang Pembimbing Ibu Menyusu (PIM) dan sepasang suami isteri, pertama kali menyertai SGM ini. Mungkin kerana minggu tersebut adalah minggu terakhir Syawal, ramai yang mendapat jemputan rumah terbuka rakan-rakan serta sanak saudara. “Mood” beraya masih lagi berbaki pada minggu tersebut.

Kami hanya membentuk satu kumpulan sahaja dan perbincangan kali ini lebih santai. Antara yang hadir ialah Puan Hayatie, Puan Azian, Puan Hanidah, Puan Shazura, Puan Ain, Puan Shida dan suaminya Encik Amin.

Ada yang berpendapat proses cerai susu ini berlaku semasa bayi diberi makanan pejal. Ada juga pendapat bahawa cerai susu berlaku ketika bayi tidak lagi menyusui ibunya, iaitu pada umurnya 2 tahun. Kami turut membincangkan tentang cara/kaedah yang boleh dilakukan untuk menceraikan susu kepada anak yang sudah mencapai umur 2 tahun dan ke atas.

1. Ada sesetengah ibu yang berpendapat bahawa biarlah proses cerai susu ini terjadi secara semulajadi dan bukan secara paksaan. Ini boleh menyebabkan anak terasa atau pun mereka belum bersedia sepenuhnya untuk berhenti menyusu. Ada juga si ibu yang belum bersedia memutuskan penyusuan ini. Jadi biarlah ia berlaku setelah kedua-dua ibu dan anak bersedia.
2. Psikologi juga adalah kaedah yang boleh dilakukan oleh para ibu untuk memudahkan proses ini. Contohnya jika anak sudah berumur 3 tahun, dia sudah boleh memahami ibunya, seperti perbualan berikut, “Adik, ibu sakit adik hisap susu. Adik tidak kasihan pada ibu?”. Secara automatik, anak tersebut akan berhenti kerana kasihankan ibunya. Melalui cara ini, anak akan kurang menyusu ibunya.
3. Kurangkan pemberian susu kepada anak juga adalah salah satu cara lain untuk cerai susu. Sesetengah ibu hanya memberikan anaknya susu ibu semasa hendak tidur. Dan anak juga lebih suka menyusu ketika hendak tidur hanya untuk keselesaannya bukan minum untuk kenyang.

Selepas perbincangan ini, kami meneruskan lagi dengan topik makanan yang sesuai untuk diperkenalkan kepada bayi. Ibu-ibu lebih selesa untuk masak sendiri kerana makanan di luar penuh dengan bahan perasa yang tidak sesuai untuk bayi berumur 1 tahun ke bawah. Bahan perasa boleh memberi kesan kepada buah pinggang jika diperkenalkan terlalu awal.

Jika boleh, makanlah semeja bersama anak. Ini merupakan salah satu proses pembelajaran untuk memperkenalkan makanan kepada mereka. Ada juga mengatakan ketika bayi mereka berumur 3-4 bulan sudah menunjukkan minat untuk makan. Walau bagaimanapun pada peringkat ini biasanya bayi sebenarnya belum bersedia untuk memproses makanan orang dewasa. Tanda sebenar seorang bayi telah bersedia untuk makan adalah apabila bayi tersebut boleh mencapai makanan sendiri, memasukkan makanan tersebut ke mulut dan memproses makanan tersebut menggunakan apa jua kaedah yang mampu dilakukannya pada ketika itu.

Perjumpaan kali ini diteruskan lagi dengan sesi bergambar bersama dan menikmati bekalan yang dibawa sambil membincangkan mengenai masalah penyusuan yang lain daripada topik yang dibincangkan. Terima kasih kepada mereka yang hadir ke perjumpaan ini walaupun hanya beberapa orang sahaja yang hadir.

Sehingga kita bertemu lagi pada SGM ke-9 pada bulan hadapan dengan tajuknya “How Breastfeeding Affects Mothering”. Kami berharap agar lebih ramai lagi menyertai perjumpaan akan datang.

Original Image

Original Image

Original Image

Original Image

Original Image

Disediakan oleh : Nur Ain Sha'ari
Disemak oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC