SGM1 : Your role in Supporting Breastfeeding

Original Image

Assalamualaikum….

Sebagai pembuka tirai tahun 2012, SusuIbu.com telah menganjurkan Support Group Meeting (SGM) yang pertama dengan tajuk ‘Your Role in Supporting Breastfeeding’ pada 29 Januari 2012 yang lalu.


Perjumpaan kali ini yang juga berlangsung di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, telah dihadiri oleh 12 orang peserta. Antara peserta yang hadir ialah Nik Zaleha, Wan Norashikin, Nur Ain, Hamiza, Juzaila, Aisyah, Nor Emyrul Asma, Mas Ayu, Noorzuliana, Madziatul dan Safi. Perbincangan kali ini telah dikendalikan oleh Puan Nor Kamariah.

Bermula dari sesi pengenalan, dapat dikenalpasti setiap peserta yang datang dari pelbagai latar belakang merasakan mereka boleh menyokong penyusuan ibu mengikut peranan masing-masing di tempat kerja. Paling menarik ada yang berkongsi pengalaman di tempat kerja di mana mereka menerima sokongan dan saling memberi sokongan kepada rakan sekerja yang lain. Ada juga yang sedang melanjutkan pelajaran dan berharap dapat sokongan yang wajar agar penyusuan ibu dapat diteruskan kelak. Ada antara peserta yang menjadi suri rumah sepenuh masa pula merasakan pengalaman mereka bersama bayi hampir sepanjang masa di rumah juga tidak kurang hebat cabarannya. Mempelajari selok-belok pengurusan anak dan keluarga yang efektif dapat membantu mereka dalam meneruskan penyusuan ibu dalam kekalutan urusan rumah tangga masing-masing.

Selain daripada itu, sokongan penyusuan ibu juga telah dibincangkan dari aspek yang diharapkan oleh mereka dari setiap individu di sekeliling mereka. Antaranya adalah:

- Sokongan suami : suami merupakan insan yang paling dekat dengan ibu yang menyusukan. Sokongan suami amat diperlukan dalam mengharungi cabaran sepanjang penyusuan itu berlangsung. Antara sokongan yang boleh diberikan oleh suami ialah membantu dalam perihal rumah, anak-anak yang lebih besar (jika ada), membeli buku/majalah sebagai bahan bacaan, membeli peralatan berkaitan penyusuan, dan juga persekitaran yang baik kepada emosi si isteri.

- Sokongan keluarga : keluarga kedua-dua pihak juga memainkan peranan penting dalam memberi sokongan kepada ibu yang menyusu. Kritikan yang tidak membina mungkin boleh digantikan dengan sokongan ke atas setiap keputusan yang dibuat oleh mereka. Perumpamaan seperti “Aku lebih dahulu makan garam” kadangkala dirasakan agak mengguris hati dan perlu dielakkan oleh ahli keluarga yang ingin membantu.

- Sokongan jururawat : jururawat yang menjaga ibu sejurus bersalin di hospital juga perlu memainkan peranan penting dengan menunjuk cara tentang cara menyusu yang betul. Seringkali ia menjadi masalah kerana ibu-ibu baru masih belum tahu cara yang betul dan kekok untuk melakukannya. Jangan benarkan ibu terus memberikan susu formula sebaliknya berilah sokongan untuk menyusukan bayi tersebut.

- Sokongan sahabat : sahabat juga merupakan orang yang rapat dengan kita terutama sekali rakan sekerja. Ibu menyusu memerlukan masa untuk membuat perahan susu di tempat kerja. Kefahaman dari rakan sekerja tentang rutin ini amat membantu. Jangan terlalu mendesak mereka untuk menyiapkan kerja dengan cepat (semasa sesi perahan berlaku), sebaliknya berilah peluang seadilnya kepada mereka.

- Sokongan peralatan : sesetengah ibu perlukan sokongan daripada peralatan seperti pam perahan susu, dan sebagainya. Peralatan yang bersesuaian dengan keadaan dan situasi pekerjaan masing-masing mungkin boleh membantu mereka meneruskan penyusuan dalam tempoh yang lebih panjang.

- Sokongan bayi : bayi kita sendiri juga perlu memberi sokongan kepada ibunya. Manakan tidak, jika bayi tidak mahu menyusu dengan baik, ibu pasti berasa sedih dan tidak lagi mahu meneruskan penyusuan lagi.

- Sokongan kaunselor laktasi : jika mempunyai masalah yang tidak dapat diselesaikan, datanglah berjumpa dengan mana-mana kaunselor laktasi untuk mendapatkan nasihat serta sokongan daripada mereka.

Original Image

Setelah selesai sesi perbincangan tersebut, kami akhiri perjumpaan tersebut dengan menikmati juadah yang dibawa oleh peserta yang hadir. Terima kasih kami ucapkan kepada semua yang hadir. Sehingga kita bertemu lagi pada SGM yang akan datang pada 26 Febuari 2012 dengan topiknya “Getting Breastfeeding Off to a Good Start”.

Disediakan oleh : Nur Ain Sha’ari
Disemak oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC