SGM9 : Educating People Around Us on Breastfeeding

Original Image

Alhamdulillah, pada 26 Disember 2010 yang lalu, Susuibu.com telah berjaya menganjurkan satu lagi SGM 9 yang merupakan perjumpaan terakhir untuk tahun ini. Tajuk perbincangan kali ini berkisar tentang ‘Educating people around us on breastfeeding’.

Seramai 28 orang peserta menyertai perjumpaan kali ini. 3 kumpulan telah dibentuk dimana 2 daripadanya disertai oleh ibu-ibu dan satu lagi kumpulan disertai oleh kaum bapa. Kumpulan ibu dikendalikan oleh Puan Nurul dan Puan Ismazura. Kumpulan bapa pula dikendalikan oleh Puan Nurshazura.

Setelah selesai perbincangan dilakukan dalam kumpulan, setiap kumpulan berkongsi maklumat yang telah diperolehi daripada perbincangan tersebut.

Antara maklumat yang telah dikongsi bersama adalah:

1. Perkongsian maklumat mengenai penyusuan ibu perlu dilakukan dengan orang di sekeliling kerana ini akan mempengaruhi dan membuka mata mereka tentang kepentingan penyusuan ibu ini. Antara cara yang boleh dilakukan ialah membeli buku-buku dan majalah-majalah yang berkaitan dengan penyusuan, hadir ke kelas-kelas berkaitan penyusuan ibu, dapatkan khidmat nasihat daripada pakar laktasi dan juga dapatkan sumber daripada internet.

2. Kebiasaannya, penyusuan ibu tidak dapat dilakukan kerana terdapat beberapa masalah seperti kekurangan ilmu tentang penyusuan, kurang mendapat sokongan (suami, keluarga, sahabat), terlalu percaya kepada mitos yang ada, dan juga hospital-hospital yang ada tidak mengambil berat tentang penyusuan ibu.

3. Komuniti atau masyarakat juga perlu memainkan peranan yang penting sebagai satu organisasi yang menyokong penyusuan ibu. Antara aktiviti dan program yang boleh dijalankan bagi mendidik masyarakat sekeliling tentang penyusuan ibu ialah mengadakan sesi kumpulan perbincangan ibu-ibu di pejabat-pejabat ataupun pada masa lapang. Dengan cara ini, kita boleh membuka minda mereka, dan juga dapat memberi sokongan kepada ibu-ibu ini. Mereka juga dapat berkongsi maklumat dan pengalaman dan ini perlulah dipantau oleh seseorang yang terlatih agar maklumat yang diperolehi adalah betul.

4. Media adalah satu medium yang paling penting masa kini. Jadi kita boleh menggunakan landasan yang ada ini untuk mendidik semua orang tentang kebaikan dan kepentingan penyusuan ibu, demi kebaikan bersama. Maklumat yang disampaikan harus betul dan tepat agar tidak mengelirukan mana-mana pihak.

5. Mengapa kita perlu mendidik orang di sekeliling tentang penyusuan ibu? Ya, mereka perlu dididik demi kebaikan semua. Antara kebaikan susu ibu ialah boleh mengeratkan hubungan ibu dan anak, susu ibu mempunyai antibody dan vitamin yang cukup untuk bayi, dan lebih menjimatkan. Dan seperti yang kita ketahui, penyusuan ibu adalah fitrah bagi semua ibu-ibu, yang mana Allah telah kurniakan ia hanya kepada kaum wanita. Ini menunjukkan bahawa, ia bukan dikurniakan begitu sahaja, malah terdapat hikmah dan kebaikan untuk ibu dan anak itu sendiri.

6. Orang di sekeliling kita yang paling penting untuk diberi didikan mengenai penyusuan ibu ialah suami dan keluarga. Sokongan daripada suami dan keluarga amat penting bagi menjayakan penyusuan ibu ini kerana mereka ini adalah golongan terdekat yang sentiasa berada di sekeliling ibu menyusu.

SGM kali ini diakhiri dengan acara menjamu selera sesame peserta dengan pelbagai hidangan yang dibawa bersama. Juga diselitkan dengan sambutan hari lahir adik Alif. Dengan berakhirnya SGM yang ke-9 ini, maka tamatlah SGM pada tahun 2010 yang diadakan sebanyak 9 kali. Insya Allah, kita bertemu lagi pada SGM tahun 2011.

Original Image

Original Image

Original Image

Original Image

Original Image

Original Image