SGM 9 : How Breastfeeding Affects Mothering/Fathering

Original Image
Alhamdulillah…SGM ke-9 telah berjaya diadakan pada hari Ahad yang lalu, 30 Oktober 2011. Topik yang diketengahkan pada perjumpaan kali ini ialah “How Breastfeeding Affects Mothering/Fathering”.

Perjumpaan kali ini dihadiri oleh lebih kurang 35 orang. Ramai di antara yang hadir kali ini adalah peserta kali pertama. Pengendalian program telah dibantu oleh beberapa Pembimbing Ibu Menyusu yang telah dilatih melalui program MBfPC. Peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan: 2 kumpulan ibu dan 1 kumpulan ayah.

Berdasarkan tajuk yang diberikan kumpulan ibu telah mengupas bagaimana pengalaman melalui penyusuan ibu telah mempengaruhi diri masing-masing sebagai seorang ibu atau ayah. Walau bagaimanapun, bagi kumpulan ayah, kebanyakan yang hadir adalah kehadiran kali pertama, jadi mereka mengambil kesempatan untuk berbual mengenai topic penyusuan ibu secara umum sambil mengenali antara satu sama lain.

– Kebanyakan ibu mendapati, apabila melalui proses penyusuan, mereka menjadi lebih pandai menjaga masa. Oleh kerana tanggungjawab telah bertambah dan proses penyusuan boleh dikatakan satu ‘pekerjaan sepenuh masa – 24 jam’, maka ibu perlu lebih bijak mengatur jadual dalam menguruskan rumahtangga masing-masing.

– Ahli perbincangan juga menyedari hakikat perbezaan wanita (ibu) diberi kelebihan untuk melaksanakan tugasan secara ‘multitasking’ manakala lelaki (ayah) diberi kelebihan (walaupun kebanyakan ibu pada awalnya menganggap ianya suatu kelemahan) untuk melakukan tugasan khusus dan fokus kerana sifat tabii lelaki ‘one track minded’.

– Rentetan daripada itu, timbul perbincangan bagaimana kaum bapa dapat diberi peluang untuk turut membantu dalam merealisasikan objektif keibubapaan mereka. Kebanyakan ibu bersetuju bahawa, kebanyakan ayah memang ingin membantu tetapi perlu diberitahu apakah bentuk bantuan yang perlu diberikan.

– Kebanyakan ibu juga mendapati mereka menjadi lebih berdisiplin terutama bagi ibu bekerjaya. Di tempat kerja mereka cuba sedaya-upaya untuk menyiapkan tugasan dengan lebih segera kerana mengambil kira keperluan mereka untuk memerah susu dalam rutin harian.

– Menerusi penyusuan ibu juga, kebanyakan ibu bersetuju proses ini mendekatkan mereka kepada Pencipta. Dalam kebanyakan masa, mereka berusaha sedaya mungkin untuk melakukan yang terbaik, tetapi di akhir usaha tersebut sering disusuli dengan doa agar usaha tersebut diberkati dan anak diberi rezeki yang mencukupi (kerana kebanyakan ibu sering risau mengenai stok susu yang mahu dibekalkan kepada anak masing-masing).

Perjumpaan kali ini diteruskan lagi dengan sesi bergambar bersama dan menikmati bekalan yang dibawa. Tidak lupa juga diadakan sambutan hari jadi anak-anak peserta yang hadir iaitu Adik Azri, Adik Nasreen dan Adik Danial. Selamat Hari Lahir kami ucapkan!

Terima kasih kepada semua yang hadir ke perjumpaan kali ini. Sehingga kita bertemu lagi pada SGM ke-10 pada bulan hadapan dengan tajuknya “Working and Breastfeeding”.

Disediakan oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC