SGM : Susu ibu tiada/kurang? Adakah ia disebabkan keturunan?

1818_10151482542129549_1326149949_n

SGM Susuibu.com Bangi

1 Mac 2013 (Jumaat)

Moderator : Pn Nor Kamariah.

Co-Moderator : Dr Ning Desiyanti

Peserta : Pn Nur Ain, Pn Azian, Pn Nor Hasmiza, Pn Nurhafizah, Pn Nor’kamisah, Pn Masniza, Pn Rozimah

 

Assalamualaikum…

 

Alhamdulillah… Susuibu.com Bangi telah berjaya mengadakan Support Group Meeting (SGM) yang pertama untuk tahun 2013. Pada tahun ini, kami menukar waktu kepada hari Jumaat, jam 1.00-2.00 petang. Seramai 9 orang telah sama-sama berkumpul untuk berkongsi pengalaman tentang topik yang diberi iaitu “Susu ibu tiada/kurang? Adakah ia disebabkan keturunan?”.

 

Puan Kamariah selaku moderator memulakan sesi ini dengan menceritakan satu kisah benar mengenai seorang nenek yang menjaga cucunya, berjaya menyusukan cucu tersebut selepas beberapa hari memberi cucunya menghisap payudaranya. Daripada kisah ini, kita dapati bahawa setiap wanita mampu menyusukan bayi mereka.

 

Pada awal kelahiran, ibu hanya menghasilkan kolustrum di mana ianya memang cukup untuk seorang bayi. Kadang kala, kita tidak akan nampak kuantiti kolustrum yang keluar kerana ianya terlalu sedikit sesuai dengan saiz perut bayi yang ketika itu hanya sebesar biji guli. Ibu tidak sepatutnya risau kerana jika adanya rangsangan pada payudara pada hari awal kelahiran, maka akan terhasilnya susu baru selepas itu. Proses ini dipanggil proses pengaktifan kilang di mana kilang susu akan menghantar signal kepada otak untuk menghantar hormon yang akan menghasilkan susu jika terdapatnya rangsangan pada payudara.

 

Ibu-ibu juga seringkali risau kerana pada hari-hari awal kelahiran, payudara mereka sangat lembut. Dan situasi ini menyebabkan ramai ibu yang beranggapan bahawa mereka tidak mempunyai susu. Perlu diingat bahawa, terdapat kelebihan jika payudara lembut pada awal kelahiran. Pertama, ia belum memberi kesakitan pada ibu. Bayangkan jika payudara membengkak pada hari pertama selepas kelahiran, dapatkah kita menanggung kesakitan tersebut ditambah dengan kesakitan bersalin? Ini adalah hikmah yang tersirat disebaliknya. Kedua, payudara yang lembut memudahkan bayi kita untuk belajar menyusu dan memberikan keselesaan kepada mereka.

 

Bayi menangis tak semestinya dia lapar. Ada faktor lain yang menyebabkan mereka menangis seperti tidak selesa (sejuk, panas, gelap, cerah, kencing, berak). Usah risau kerana bayi yang lapar sebenarnya telah berkomunikasi dengan ibu mereka pada awal kelahiran. Jika mereka lapar, mereka akan menunjukkan reaksi melalui mulut, tangan, kaki dan seterusnya jika tidak diperhatikan mereka akan menangis. Jadi, ibu-ibu perlu mengikut tanda-tanda yang ditunjukkan mereka supaya mereka tidak marah dengan menangis.

 

Sempat juga dikongsikan bersama halangan-halangan untuk menyusukan bayi. Antaranya ialah susu tidak keluar pada hari-hari awal kelahiran, anak seperti tidak kenyang (asyik menangis), puting melecet (mungkin salah pada lekapan dan posisi menyusu), orang yang lebih berpengalaman (ibu, mertua atau ipar duai).

 

Sebagai kesimpulannya, tajuk yang diberikan adalah tidak benar sama sekali. Kebanyakan ibu kurang/tiada susu bukanlah disebabkan keturunan tetapi ia disebabkan amalan dalam keluarga tersebut yang boleh mendatangkan kesan kepada penyusuan ibu. Ketahuilah, hanya 1-2% sahaja wanita yang tidak dapat menghasilkan susu badan untuk bayi, dan ia disebabkan masalah kesihatan ibu itu sendiri.

 

Disediakan oleh : Nur Ain Sha’ari

Disemak oleh : Pn Nor Kamariah