Salam Sejahtera,
Salah seorang daripada ahli awal SusuIbu.com, Puan Kartini Waris (tini007, ahli sejak 2005/7/14) sedang menghadapi dugaan saat melahirkan bayi kembarnya baru-baru ini. Dugaan bermula pada 27hb Julai 2011, saat dimaklumkan beliau perlu menjalani pembedahan kecemasan kerana beliau menghadapi komplikasi dan pada ketika itu kandungannya hanya mencecah 28 minggu. Ketika itu beliau menerima rawatan di Hospital Putrajaya. Untuk menyambut kelahiran kedua-dua kembar pra-matang itu, mereka memerlukan dua ventilator untuk memastikan kembar tersebut mendapat sokongan kehidupan sebaik kelahiran. Walau bagaimanapun, disebabkan tiada kemudahan ventilator yang mencukupi di hospital tersebut pada ketika itu, carian fasiliti ventilator diperluaskan kesemua hospital kerajaan berhampiran, namun tidak berhasil. Dalam masa yang amat kritikal ini, Puan Kartini dan suami meneruskan pencarian ventilator di hospital swasta pula dan akhirnya menemui Hospital Prince Court.
Puan Kartini telah dipindahkan ke Hospital Prince Court pada hari yang sama, dan selamat melahirkan kedua-dua puteri kembarnya Aida dan Aishah. Walau bagaimanapun, perbelanjaan di hospital tersebut amat mahal dan berada di situ bukanlah kemahuan mereka tetapi atas dasar menyelamatkan nyawa kedua-dua bayi yang belum mengenal dunia. Menyedari keadaan ini, mereka telah berbincang dengan Pakar Neonatalogy di situ, Dr Anna Padma untuk memindahkan bayi-bayi ini ke hospital kerajaan secepat mungkin. Namun, disebabkan kesihatan bayi masih belum stabil, ianya tidak dapat dijalankan secepat mungkin. Ianya mengambil masa beberapa minggu serta masih perlu mencari hospital yang mempunyai kekosongan ventilator yang mencukupi.
Terkini, dimaklumkan pada 9 Ogos, 2011 kedua-dua bayi kembar Aida dan Aishah berjaya dipindahkan semula ke Hospital Putrajaya dan memulakan rawatan mereka di sana. Namun, sepanjang rawatan rapi di Hospital Prince Court selama 14 hari, perbelanjaan keseluruhannya mencecah hampir RM50,000.00.
Dengan ini, saya memohon jasa baik ahli SusuIbu.com dan pembaca sekalian yang budiman, agar dapat membantu Puan Kartini Waris dan keluarganya menghadapi saat getir ini. Segala bantuan bolehlah disalurkan sendiri kepada Kartini binti Waris ke Akaun Maybank beliau bernombor: 512080050944
Semoga dengan setiap bantuan yang dihulurkan kepada keluarga ini, akan dapat meringankan beban mereka dari sudut kewangan.
Salam Ramadhan Al-Mubarak!