Bantulah Tabung Susu Ibu

Original Image Buat pertama kalinya, SusuIbu.com melancarkan tabung bantuan Susu Ibu kepada seorang ibu yang sedang mengambil anak angkat dan ingin memberikan khasiat susu ibu kepada bayi tersebut. Ibu yang dimaksudkan ini mempunyai masalah tersendiri untuk menyusukan sendiri anak tersebut kerana beliau telah berumur 50an. Walau bagaimanapun, menyedari kelebihan khasiat susu ibu, beliau telah menyampaikan hasratnya untuk mendapat bantuan bekalan susu ibu kepada anak angkatnya untuk tempoh yang selama mungkin. SusuIbu.com berbesar hati untuk membantu ibu ini setakat yang mampu dengan menghebahkan maklumat ini menerusi saluran-saluran yang ada.

Kepada mana-mana ibu yang berminat untuk membantu ibu angkat ini, bolehlah berhubung terus dengan webmaster di SusuIbu.com atau hubungi 012-2903775 untuk keterangan lanjut. Untuk pengetahuan, ibu angkat ini tinggal di sekitar kawasan Subang Jaya dan berhasrat untuk mendapatkan bekalan susu dari ibu yang tinggal berdekatan agar memudahkan proses pengambilan bekalan.

Di dalam pelancaran tabung ini,SusuIbu.com telah menyediakan sedikit garis panduan untuk memastikan susu yang diperolehi di dalam keadaan baik dan bersesuaian dengan permintaan di atas. Sekiranya ibu yang berminat dan boleh memenuhi kriteria yang disebutkan di bawah, silalah tampil ke hadapan kerana sumbangan anda amat besar ertinya kepada ibu dan bayi ini.

1. Ibu pembekal haruslah beragama Islam dan tidak mengambil sebarang makanan atau minumam yang menyalahi hukum Islam
2. Ibu pembekal susu haruslah bebas dari sebarang penyakit merbahaya seperti HIV atau Hepatitis.
3. Ibu pembekal tidak menerima sebarang pemindahan darah di dalam jangkamasa setahun ini.
4. Ibu pembekal tidak merokok.
5. Ibu pembekal tidak mengambil sebarang ubat-ubatan yang boleh mempengaruhi kandungan susu.
6. Ibu pembekal haruslah baru memulakan penyusuan kurang dari 6 bulan. Sekiranya penyusuan telah lebih dari 6 bulan, kandungan protin di dalam susu sudah kurang sesuai untuk bayi yang baru berusia beberapa hari ini.
7. Sekiranya ibu pembekal tidak berniat untuk menjadi ibu susuan, bolehlah mendermakan susu di dalam kuantiti yang sedikit iaitu kurang dari 10 auns
8. Sekiranya ibu pembekal mempunyai bekalan susu yang amat banyak dan kuantiti itu cukup untuk menjadikan bayi kenyang lebih dari 5 kali (syarat ibu susuan), kedua-dua belah pihak perlu menandatangani surat perakuan yang menyatakan ibu pembekal adalah ibu susuan kepada bayi tersebut. Ini adalah penting sebagai rujukan di masa akan datang agar tidak timbul permasalahan dari segi nasab bagi kedua-dua belah keluarga.

Nota: SusuIbu.com bukanlah sebuah Bank Penyimpan Susu Ibu, tetapi sedia membantu menghebahkan maklumat dan menyampaikan hajat mana-mana ibu yang memerlukan bantuan di dalam penyusuan susu ibu. Segala aturan yang ingin dikenakan terserah kepada kedua-dua belah pihak yang dipertemukan melalui kami. Proses pembekalan susu ini hanya boleh dimulakan sebaik sahaja kedua-dua belah pihak bermuafakat dengan syarat-syarat yang dipersetujui bersama. Seandainya terdapat sebarang permasalahan yang timbul semasa proses penyusuan anak angkat ini, SusuIbu.com tidak dapat bertanggungjawab.

Bantulah mereka yang memerlukan, semoga mendapat rahmat yang berlipat kali ganda dari Yang Maha Kuasa!!