Semasa Raya Haji yang lepas, saya berkunjung ke rumah abang saya yang baru pulang dari luar negara. Semasa bersembang dengan kakak ipar saya, biasalah beliau bercerita pelbagai isu semasa. Seperti biasa, antara topik yang wajib dibincangkan adalah topik penyusuan. Kebetulan, kakak ipar saya ini bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital universiti di Malaysia. Beliau sering menceritakan kekesalan beliau tentang kurangnya kesedaran ibu-ibu untuk menyusukan anak sendiri, semasa beliau bertugas . Kali ini, beliau menceritakan pengalaman beliau menasihatkan seorang pelajar perubatan (yang seharusnya lebih arif tentang khasiat dan kepentingan penyusuan susu ibu) untuk menyusukan bayinya.
Menurut kakak ipar saya, pelajar ini telah bersalin semasa sedang belajar di tahun akhir. Oleh kerana beliau sudah dekat untuk menamatkan pembelajarannya, ibu muda ini langsung tidak mahu menyusukan bayinya kerana katanya “saya hanya dapat cuti 14 hari dan susahlah saya nak meneruskan penyusuan sebab anak ini saya hantar balik ke kampung”. Puas kakak ipar saya memujuknya supaya mencuba juga menyusukan anak itu, sekurang-kurangnya berikanlah nikmat kolostrum kepada bayi yang dahagakan khasiat susu ibu itu. Sebaliknya, apabila kakak ipar saya kembali ke bilik pelajar ini, beliau sudah bersedia dengan botol susu formula di tangan, sedangkan peraturan di hospital itu tidak membenarkan botol susu dibawa masuk. Apa nak dikata, pesakit itu adalah bakal doktor, sedangkan kakak ipar saya hanyalah jururawat yang hanya mampu memberikan pandangannya sahaja.
Pada pandangan saya, jika kita benar-benar tahu tentang khasiat susu ibu, apalah salahnya berkorban sedikit untuk bayi itu sewaktu dia memerlukan kasih dari ibunya. Jika perlu melanjutkan tempoh pembelajaran kerana hendak memberikan yang terbaik kepada bayi itupun masih berbaloi. Malangnya, orang yang sepatutnya lebih mengerti mengenai khasiat susu ibu ini pun, tidak mahu berbuat demikian, apatah lagi insan lain yang memang kurang pengetahuan dan kemudahan untuk meneruskan penyusuan. Saya bimbang jika lebih ramai graduan perubatan di negara ini, mempunyai sikap yang sama seperti pelajar yang diceritakan di atas. Bagaimana hendak menggalakkan pesakit mereka nanti untuk menyusu jika mereka sendiri tidak cuba untuk mempraktikkannya.
Memang susah dan memang banyak cabarannya untuk meneruskan penyusuan, lebih-lebih lagi bagi ibu yang masih menuntut di menara gading. Tetapi seharusnya, ibu-ibu ini sudah mempertimbangkan lebih dahulu lagi tentang keadaan tersebut sebelum menjejakkan kaki ke jinjang pelamin kerana jika tidak sanggup memikul tugas sebagai ibu, haruslah juga dipertimbangkan kesediaan untuk menjadi isteri.
Alang-alang menyeluk budu, biarlah sampai ke pangkal lengan,
Alang-alang menjadi ibu, susukanlah anak sampai kenyang.
Wallahu A’lam.
Mama 😀
Nor Kamariah Mohamad Alwi
27 Januari 2005