Hari ini, telah 2 hari kita melangkah masuk ke bulan Mei tahun 2005. Di dalam bulan ini terdapat dua tarikh penting yang disambut oleh rakyat Malaysia, Hari Pekerja dan Hari Ibu. Kedua-dua tarikh ini cukup releven bagi kebanyakan pelayar laman SusuIbu.com. Ini kerana kebanyakan pelayar laman ini adalah Ibu dan sebahagian besar darinya pasti bekerja (jika tidak dengan mana-mana syarikat atau agensi kerajaan), pasti menjawat jawatan sekurang-kurangnya ‘Suri Rumahtangga’. Justeru itu, Susu Ibu.com ingin mengucapkan Selamat Hari Bekerja dan Selamat Hari Ibu kepada semua!
Bersempena dengan Hari Pekerja kali ini, semoga ianya akan menambahkan semangat juang untuk menjadi pekerja yang lebih berdedikasi di masa akan datang. Bagi ibu-ibu yang menyusu dan juga bekerja, penyusuan susu ibu bukanlah alasan untuk menjadi pekerja yang corot atau kurang cemerlang. Malah ramai ibu menyusu yang telah berjaya menjadi contoh kepada rakan taulan yang lain atas sikap dedikasi dan disiplin yang tinggi mereka di tempat kerja. Yang penting adalah kita tahu akan hak kita sebagai pekerja dan setakat manakah batasan yang harus kita akur. Dengan cara ini, setiap pekerja pasti dapat menyumbang ke arah kemajuan organisasi masing-masing.
Menyorot tentang Hari Ibu pula, SusuIbu.com merasakan ianya adalah hari yang amat penting diraikan bersama sebagai tanda penghargaan buat semua ibu yang telah berkorban masa, tenaga dan kepentingan diri sendiri semata-mata untuk menyempurnakan tugas yang amat berat iaitu sebagai ibu. Justeru itu, SusuIbu.com akan mengadakan segmen istimewa di dalam Program Bersiri Penggalakan dan Penyusuan Susu Ibu yang akan diadakan pada 7 Mei, 2005 nanti. Jangan lepaskan peluang untuk sama-sama menghadiri program ini nanti disamping menimba ilmu sebagai agenda utama pada hari tersebut.
Sekali lagi salam Hari Ibu dan Hari Pekerja dari SusuIbu.com!!