Hari ini genap 9 hari umat Islam menyambut Aidil Fitri. Hari ini juga kebanyakan ruang pejabat di ibu kota telah mula beroperasi seperti biasa. Penghuni kota yang pulang ke desa telah kembali ke tempat mencari rezeki masing-masing. Pasti masing-masing membawa pulang pengalaman manis ketika berhari raya kali ini. Namun begitu tidak semua yang melalui saat bergembira, pasti ada juga yang berduka.
Berita ‘sensasi’ sepanjang musim perayaan kali ini tidak banyak bezanya dengan pengalaman yang lalu. Kesesakan lalulintas, kemalangan jalanraya ditambah pula dengan musim tengkujuh yang baru tiba adalah antara berita yang saban hari disajikan baik di MNN, Buletin Utama mahupun Berita Perdana. Mujurlah berita kanak-kanak terputus jari akibat bermain mercun sudah hampir berjaya dibendung.
Dari pengalaman saya sendiri, perjalanan pulang ke kampung di utara Semenanjung Malaysia, tidak begitu terasa kerana ianya telah diduga. Oleh kerana kesesakan lalulintas telah dijangka sejak dari awal lagi, maka mudahlah sedikit untuk menghadapi situasi tersebut kerana sedikit sebanyak mental dan fizikal telah bersedia. Mentalnya kerana otak telah memberitahu bahawa memang jalan ini akan sesak jadi lebihkan bersabar, fizikalnya, oleh kerana jalan memang akan sesak, maka kami sekeluarga telah cuba berehat secukupnya sebelum bertolak agar perjalanan yang bakal meletihkan kurang terasa letihnya. Alhamdulillah, kami sekeluarga selamat sampai ke destinasi dan pulang kembali ke rumah.
Bagi saya, apapun situasi yang bakal kita lalui, baik susah ataupun mudah haruslah didahului dengan persediaan yang mencukupi. Samalah juga dengan bakal ibu dan bapa yang akan menimang cahaya mata. Sembilan bulan tempoh mengandung haruslah dijadikan tempoh persediaan mental dan fizikal untuk menyambut cahaya mata. Penyusuan susu ibu adalah antara persediaan yang perlu diambil kira semasa masih mengandung. Ibu bapa perlu menyediakan mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran penyusuan susu ibu.
Antara cabaran yang biasa dihadapi semasa proses penyusuan adalah susu lambat keluar, perasaan penghasilan susu tidak mencukupi, bengkak susu, puting luka dan berdarah, tidak tahu bagaimana untuk meneruskan penyusuan apabila kembali bekerja dan seribu satu persoalan mengenai penyusuan. Setiap cabaran ini perlu dihadapi bersama oleh ibu dan bapa bayi bukan hanya ibu seorang sahaja. Untuk menghadapi setiap cabaran ini dengan tabah, ibu dan bapa ini perlu mengetahui rahsia di sebalik setiap cabaran ini dan bagaimana untuk mengatasinya. Dapatkanlah tips dan maklumat untuk setiap satu darinya agar apabila cabaran itu tiba, anda telahpun bersedia dan bakal menjadi ibu dan bapa yang berjaya!!
Sekali lagi, sambutlah Salam Aidilfitri dari kami di SusuIbu.com buat semua…