Bersempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac yang lalu, National Union of Bank Employees (NUBE) telah menerajui sebuah kempen yang dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia iaitu untuk mengumpul 1 juta tandatangan yang menyokong perlaksanaan cuti bersalin selama 90 hari untuk ibu-ibu di Malaysia.
Mengungkap kembali ucapan Dr Alvince Dev, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, beliau berpendapat cuti bersalin 90 hari ini tidak harus dilihat sebagai faedah atau manfaat sahaja, malah ianya seharusnya dilihat sebagai hak seseorang individu tersebut. Dengan cuti bersalin yang lebih panjang, seseorang wanita akan dapat memulihkan diri dengan lebih baik selepas melalui proses yang amat kompleks dalam tubuhnya iaitu proses mengandung dan pelahiran.
Sebetulnya, isu ini memang adalah satu hak yang belum dilunaskan. Malaysia adalah antara negara yang masih belum memenuhi kriteria yang disebut di dalam Konvensyen Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO Convention) No.183, http://www.ilo.org/ilolex/cgi-lex/convde.pl?C183 . Di dalam artikel 4 berkenaan cuti bersalin menyebut tempoh minimanya adalah 14 minggu iaitu lebih kurang 98 hari.
Puan Rita Rahayu dalam ucapannya
Untuk mengukuhkan lagi faktor di atas, Puan Rita Rahayu, seorang Perunding Laktasi pula mengupas tentang bagaimana pelbagai masalah pokok yang dihadapi ketika ini dapat diatasi dengan mengamalkan penyusuan ibu dan proses ini hanya dapat berjalan dengan lancar apabila ibu diberi peluang untuk bercuti lebih panjang.
Amalan penyusuan ibu boleh dianggap sebagai titik permulaan terhadap pelbagai aktiviti dan boleh membawa kesan positif dalam institusi kekeluargaan, masyarakat, ekonomi, alam sekitar serta kemakmuran sesebuah negara. Apabila ibu menyusui anak bermulalah percambahan kasih sayang antara ibu dan anak. Maka mana mungkin seorang ibu bisa mencampak anaknya ke dalam tong sampah! Dengan percambahan kasih sayang ini boleh menjurus kepada pembentukan individu yang seimbang emosi dan mentalnya dan barangkali boleh mengurangkan kekeliruan fikiran seperti memijak anak kecil atau mendera isteri atau menyerang orang di jalanan.
Ekonomi dalam insitusi keluarga juga dapat ditingkatkan apabila kurangnya kebergantungan terhadap makanan yang diproses seperti susu tiruan (sebutan artificial milk adalah lebih tepat daripada formula milk). Malah dengan penyusuan ibu, risiko anak kecil serta ibunya dari mendapat pelbagai penyakit kronik dapat dikurangkan. Oleh itu, perbelanjaan keluarga dan majikan dalam menampung kos perubatan dapat dikurangkan.
Penyusuan ibu juga menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar kerana ianya mudah dan terus dari sumbernya. Susu ibu tidak memerlukan tin atau plastik untuk penyimpanan (jika bayi mendapatkannya terus dari ibunya) dan ini dapat mengurangkan lambakan sampah sarap yang tidak mampu lagi ditanggung oleh bumi kita.
Semua kebaikan ini hanya boleh dimanfaati apabila penyusuan ibu diamalkan dalam erti kata sebenar. Dengan penambahan cuti bersalin, ibu dan anak dapat memulai kehidupan dengan ikatan kasih sayang yang lebih kukuh dan dapat memantapkan amalan penyusuan ibu. Amalan yang telah mantap didapati dapat diteruskan dalam tempoh yang lebih lama walaupun kemudiannya ibu itu terpaksa keluar bekerja. Nota: Penyusuan ibu digalakkan secara eksklusif selama 6 bulan pertama dan diteruskan dengan pengambilan makanan seimbang selama 2 tahun atau lebih.
Encik J Solomon, Setiausaha Agung NUBE
Kempen yang diketengahkan ini bukan isu kewanitaan atau isu kelompok tertentu sahaja. Ianya adalah isu sejagat. Malah di belakang tabir, insan yang mencetus idea ini adalah seorang lelaki iaitu Encik J Solomon, Setiausaha Agung NUBE. Usaha ini harus didokong oleh seluruh rakyat Malaysia kerana ianya boleh menjadi titik perubahan terhadap pelbagai isu berkaitan. Kejayaan kempen ini dipercayai boleh mengubah masa depan generasi kita di masa akan datang! Semoga suara rakyat Malaysia akan didengari oleh pemimpin kita dan dapat membawa kepada arus perubahan!
Oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC