Liputan Program Sokongan dan Galakan Penyusuan Susu Ibu: Siri Kedua

Original ImagePada 7 Mei, 2005, sekali lagi SusuIbu.com dan MomsLittleOnes telah berjaya menganjurkan sebuah lagi Program Penggalakan dan Sokongan Penyusuan Susu Ibu. Topik kali ini bertajuk “Stress Management for Breastfeeding and Working Mothers” telah dikupas oleh penceramah, Dr Muhammad Najib Alwi. Pada keseluruhannya, program tersebut telahpun mencapai objektifnya iaitu untuk memberi pengetahuan tambahan kepada ibu-ibu menyusu khususnya, mengenai teknik yang boleh digunakan untuk mengatasi tekanan terutamanya semasa di tempat kerja. Bagi pihak penganjur, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah hadir dan menjayakan program ini.

Semasa program tersebut dilaksanakan, bukan sahaja para ibu yang telah hadir, malah beberapa kaum bapa juga telah mengambil kesempatan untuk menimba ilmu pada hari tersebut. Jelas sekali kandungan ceramah dan latihan yang telah dilakukan bukan sahaja sesuai untuk ibu-ibu yang menyusu malah boleh juga dijadikan panduan oleh semua individu yang memerlukan teknik mengatasi tekanan.

Antara isi kandungan menarik yang sempat dicatat adalah seperti berikut:

1. Untuk berjaya meneruskan penyusuan, ibu perlulah mengenal pasti apakah halangan dan galangan yang wujud.
2. Mengetahui kesan halangan tersebut terhadap objektif penyusuan – bagaimana tekanan perasaan atau emosi boleh mengganggu penghasilan dan pengeluaran susu.
3. Mengetahui teknik yang sesuai dengan diri sendiri untuk mengatasi tekanan yang terhasil. Setiap individu mempunyai kecenderungan terhadap teknik yang berbeza.
4. Antara teknik-teknik yang telah diperkenalkan untuk mengatasi tekanan adalah:
i. Teknik pernafasan yang melibatkan otot-otot tertentu di dalam badan
ii. Teknik relaksasi berdasarkan latihan tertentu
iii. Teknik relaksasi berdasarkan imbauan gambaran

Sedikit perbincangan mengenai isu-isu berkaitan penyusuan telah diadakan di penghujung program. Perkongsian pengalaman antara peserta menambahkan lagi kehangatan perbincangan tersebut. Penceramah turut memberikan beberapa tips untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

Secara keseluruhannya, kesemua peserta telah dapat mengikuti program ini dengan berkesan dan berpendapat ianya patut dihadiri oleh ramai lagi peserta agar manfaatnya dapat dikongsi bersama.

Beberapa gambar kenangan telah berjaya dirakamkan sepanjang program dijalankan. Sila layari bahagian Gallery untuk meninjau aktiviti yang telah dijalankan.

Kepada yang tidak berkesempatan hadir ke program tersebut, anda bolehlah mendapatkan maklumat lanjut mengenai isi kandungan program tersebut di bahagian Muat Turun. Semoga bahan-bahan yang diperolehi di sini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk meneruskan penyusuan susu ibu walaupun anda menghadapi tekanan semasa berada di tempat kerja!!