Mama selalu bisik di telinga. Katanya, “Umur adik dah dekat dua tahun, adik kenalah berhenti minum susu mama”. Adik jadi bingung. Kenapa kalau dah dua tahun kena berhenti minum susu. Habis adik nak minum apa?
Bulan depan adik akan sambut hari jadi kedua. Seronoknya! Selalunya bila mama buat majlis hari jadi, ada ramai orang datang. Yang paling seronok, ada kek besar. Dulu, waktu hari jadi kakak pun ada kek besar, tapi adik yang cap tangan atas kek tu. Tapi adik masih runsing untuk menyambut hari jadi kedua ni. Betul ke adik kena berhenti menyusu?
Setiap kali adik memikirkan persoalan ini, adik mesti cari mama dan nak terus ‘nenen’. Kalau boleh nak minum lama-lama. Yang peliknya semakin lama adik rasa susu mama makin banyak. Tapi kenapa adik kena berhenti menyusu? Mama selalu cakap dengan papa, nampaknya rancangan nak berhentikan adik menyusu belum berhasil, sebab adik semakin kerap menyusu. Makin kerap menyusu, maksudnya susu pun bertambah!
Satu petang, mama tanyakan pada adik, “Adik nak baby tak?”. Mestilah adik jawab,”Naak”, dengan senyuman manja. “Habis tu, kalau adik nak baby, adik kena la berhenti minum susu mama”, kata mama lagi. “Siang hari adik minum susu segar, bila malam adik minum air kosong”, mama memberi cadangan. Adik jadi bingung lagi. “Malam ni, kalau adik terjaga tidur, mama nak kasi air kosong je, boleh tak?”, tanya mama lagi. Adik pun jawablah, “Boleeeh”. Sebab memang dua perkataan, “Nak” dan “Boleh” adalah dua perkataan yang paling adik gemari. Mama pun ketawa mendengar jawapan adik.
Adik sebenarnya, suka juga minum susu segar dalam botol. Sebab rasanya lemak berkrim. Dah banyak kali juga mama bagi adik cuba minum susu segar. Hampir nak sama rasanya dengan susu mama, tapi susu mama masih pilihan nombor satu! Kalau siang hari, adik rasa tak kisah sangat, sebab ada banyak makanan lain yang adik suka makan. Tapi bila waktu malam, adik rasa tak boleh kalau tak minum susu mama. Tambahan pula kalau susah nak tidur. Mesti nak peluk mama sambil minum susu mama.
Malam itu, bila adik terjaga, mama pun mengingatkan adik yang adik kena minum air kosong. Alamak! Sebenarnya, tadi adik main-main aje tadi, bila adik kata “Boleh”. Adik pun menjerit sekuat hati, bila mama hulurkan air kosong di dalam gelas. “Tak nak, tak nak!” Adik menangis sekuat hati. Mama pun cepat-cepat pujuk adik dengan ‘nenen’ lagi!
Esoknya, bila kakak dapat tahu cerita tu, terus dia ceritakan pengalaman dia semasa seumur dengan adik dahulu. Katanya, masa mama nak dapatkan adik, tiba-tiba susu mama jadi pahit, terus kakak tak nak minum susu mama. Bila mama terdengar kakak yang petah bercerita tu, mama terus tergelak. Apa yang kelakarnya ni mama? Adik betul-betul tak faham! Adik mulai bimbang, mungkin satu hari adik pun akan mengalami peristiwa yang sama, susu mama jadi pahit. Oooh! Tidak! Adik belum bersedia, mama!
Luahan Rasa Si Comel (Bhgn 3)
Nukilan: Nor Kamariah Mohamad Alwi
kamariah@susuibu.com
8 Mac 2005