Pada 25 September, 2004 yang lepas, Webmaster SusuIbu.com telah berpeluang melawat tanah Jawa, Indonesia selama lebih kurang sembilan hari. Ikuti pengalaman manis Webmaster semasa berziarah ke bumi Jawa. Gambar-gambar menarik yang sempat dirakamkan sepanjang perjalanan di sana juga dimuatkan di bahagian Galeri
Perjalanan ke Pulau Jawa mengambil masa lebih kurang dua jam menaiki pesawat Air Asia. Kesemua ahli rombongan adalah 10 orang termasuk 2 anak kecil saya. Tujuan lawatan kami adalah untuk menziarah sanak saudara sebelah ibu mertua saya yang berkampung di sekitar Jakarta, Kebumen dan Belitar. Bayangkanlah Jakarta di Jawa Barat, Kebumen di Selatan Jawa Tengah dan Belitar di Jawa Timur. Kami telah berjaya menghabiskan lawatan ke semua destinasi dalam sembilan hari.
Kami telah memilih untuk menaiki mobil sewa yang diambil di Jakarta. Perjalan awal dari Jakarta ke Kebumen memang agak meletihkan kerana mengambil masa lebih 12 jam. Mujurlah anak-anak saya tidak mengalami sebarang gejala demam semasa di sana. Walaupun letih tetapi pemandangan indah di sepanjang perjalanan telah menghilangkan segala lelah. Mujurlah juga saya telah membawa Nursing Pillow My Brest Friend untuk dijadikan alas menyusu. Ianya benar-benar telah memberi sokongan kepada bahagian belakang badan di sepanjang perjalanan.
Kami tiba lewat tengah malam di Kebumen. Di Kebumen merupakan kediaman asal ibu kepada ibu mertua saya. Kehidupan sanak saudara di sana boleh dikatakan sederhana. Kebanyakan mereka menceburi bidang pendidikan. Ada yang menjadi pemilik pesantren atau ‘kepala sekolah’. Selain dari itu, sebahagian dari mereka mengerjakan tanah sawah.
Boleh dikatakan makanan di sana bukanlah suatu masalah besar bagi mereka kerana tanah di bumi Jawa amat subur. Hampir tiada tanaman yang tidak mendatangkan hasil di sana. Semuanya boleh diperoleh segar dari laman sendiri. Antara makanan yang sering dihidangkan di sana, tempeh, ikan keli, ayam kampung, nasi dari sawah sendiri, kacang tanah, keropok melinja, dan banyak lagi produk tempatan. Saya sempat mempelajari beberapa nama juadah yang saya anggap istimewa di sana: Pecal Lele – Ikan Keli masak sambal, Es Dawet – Ais Cendol.
Jika kami inginkan hidangan ala-ala Malaysia kami akan berkunjung ke kedai makan Minang. Istimewanya di sana, kesemua jenis makanan yang ada di kedai itu akan dihidangkan. Terpulang kepada pelanggan untuk memakan yang mana satu. Bayaran hanya dikenakan pada hidangan yang telah disentuh.
Kehidupan yang amat bersederhana di sana menjadikan aktiviti penduduk di sana berkisar hanya di kampung halaman masing-masing. Mengikut kata orang tua saya, beginilah keadaan di Malaysia pada 30 tahun yang lalu. Amat syahdu melalui malam-malam di sana, nyaman dan disulami suara anak-anak kecil mengalunkan bacaan Al-Quran dari pesantren berdekatan. Siangnya bermula amat awal, lebih kurang jam 5 pagi dan berakhir lebih kurang jam 6 petang.
Kebudayaan mereka tidak banyak berbeza dengan masyarakat Melayu di sini malah memang dari sanalah asalnya kebanyakan rumpun Melayu kita. Ibu-ibu disana kebanyakannya, menyusukan anak-anak mereka. Alhamdulillah budaya penyusuan mereka belum tercemar sepenuhnya dek susu formula. Mungkin kerana kawasan yang saya lawati itu adalah kawasan desa jadi kebanyakan rutin kehidupan mereka tidak banyak dipengaruhi oleh budaya ‘kemodenan’.
Dari Kebumen kami telah berangkat ke Jogjakarta. Kota Jokjakarta yang terkenal dengan pelbagai kesan sejarah memang tidak boleh dikecualikan dari senarai lawatan. Kami sempat melawat ke Candi Borobudur dan membeli belah di Jalan Malioboro. Sebenarnya banyak lagi tempat menarik di sana, tapi apakan daya masa kami amat terhad jadi terpaksa disingkatkan selagi mungkin. Perjalanan seterusnya adalah ke Belitar iaitu di Jawa Timur. Sekali lagi kami melalui perjalanan jauh, hampir 9 jam. Anak saya yang kecil memang amat seronok di sepanjang perjalanan kerana dapat berkepit dengan mamanya selalu. Hampir sepanjang masa dia berada di atas ribaan saya. Bekalan susu memang hampir tidak putus. Dahaga saja terus melekap kepada mama. Mujurlah kakaknya kadang-kadang sahaja cemburu dan ingin bermanja juga.
Belitar merupakan kediaman salah seorang sepupu ibu mertua saya. Di sana, kehidupannya bermula lebih awal lagi. Seawal jam 4.30 pagi sudah masuk waktu Subuh, Maghribnya pula seawal jam 5 petang. Sewaktu kami ke sana, musim kemarau sudah hampir berakhir. Mereka telah tidak mendapat hujan hampir 5 bulan. Namun yang anehnya, bumi mereka tetap menghijau dek kerana kesuburan tanah mereka. Kami di Belitar tidak lama, hanya semalaman sahaja. Perjalanan kami bermula semula melalui jalan yang hampir sama yang telah kami lalui sebelum ini. Bezanya ada yang telah kami lalui sebelum ini pada sebelah malam tetapi kali ini di siang hari. Dapatlah kami melihat pemandangan yang tak dapat dilihat semasa perjalanan datang dahulu.
Di tanah jawa ini, kebanyakan jalannya adalah jalan biasa – bukan lebuhraya. Maka di sepanjang perjalanan kami telah melalui banyak kampung-kampung. Di setiap daerah ada saja hasil bumi yang berbeza yang dijual di sepanjang jalan. Seingat saya bermacam produk dipasarkan: Ubi kayu, tapai ubi, kayu lapis, batu-bata, bawang merah, tali jerami, garam, mangga Indramayu, ayam kampung dan bermacam lagi. Pendeknya satu kampung satu produk. Memang tidak jemu mata memandang. Ada saja kelainannya.
Kami pulang ke tanahair pada hari kesembilan dari Jakarta. Pengalaman manis di tanah jawa memang tidak dapat dilupakan. Sambutan mesra sanak saudara di sana juga sukar dilupakan. Saya memang berhasrat untuk ke sana lagi, jika diizinkan Allah kerana masih banyak lagi tempat yang belum kami lawati di sana.