Dalam bulan Ogos ini, seperti yang telah diketahui umum, adalah Bulan Penggalakan Penyusuan Susu Ibu. SusuIbu.com tidak ketinggalan menyertai sebanyak mungkin program penggalakan dengan membuka booth serta menjual barangan penyusuan susu ibu pada harga promosi. Dek kerana terlalu sibuk, banyak kerja-kerja menjawab Forum dan pengemaskinian Laman Web terpaksa tertangguh sedikit.
Ikuti laporan Program Penyusuan yang telah lepas dan akan datang. Lawati juga bahagian Bahagian Galeri untuk menatap beberapa gambar kenang-kenangan sepanjang program yang lepas.
Pada minggu lepas, dari 30 Julai ke 3 Ogos, 2005, SusuIbu.com telah berada di Pantai Medical Centre. SusuIbu.com berpeluang bertemu dengan beberapa orang netters sepanjang kami berada di sana. Terima kasih kepada yang telah sudi menjengah kami di sana. Memang agak kepenatan, tetapi peluang untuk bertemu dengan ibu-ibu sambil memperkenalkan Portal SusuIbu.com kepada lebih ramai lagi pengunjung, amat kami hargai. Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua kakitangan hospital yang telah banyak membantu menjayakan pameran kami di sana. Tidak lupa juga, SusuIbu.com ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas peluang yang diberikan oleh FabulousMom.com untuk SusuIbu.com berada di sana.
Seterusnya pada 4 dan 5 Ogos, 2005, SusuIbu.com melangkah ke Damansara Specialist Hospital. Kali ini, ruang diberikan oleh MomsLittleOnes untuk SusuIbu.com memperkenalkan Portal serta mempromosi barangan penyusuan kepada pengunjung di sana. Puan Rita, dari MomsLittleOnes telah mengadakan beberapa papan pameran yang sungguh banyak memberikan maklumat mengenai penyusuan susu ibu kepada pengunjung pameran. Malangnya, kami tidak sempat merakamkan banyak gambar di sana kerana terlalu sibuk melayan pengunjung sehingga ke akhir waktu pameran. Kadang kala memang tak menang tangan untuk melayan kesemua pengunjung pada satu masa. Kami memohon maaf jika ada di antara pengunjung yang tidak berpuas hati dengan ketidakcekapan kami sepanjang berada di sana. (Maklumlah..jarang-jarang berkomunikasi secara berhadapan..kerana selalunya asyik mengadap komputer)
Hari Sabtu, 6 Ogos, pula dilengkapkan dengan Pelancaran Kempen Penyusuan Susu Ibu Peringkat Wilayah. Memang majlisnya agak meriah. Tetapi, disebabkan booth kami berada di bahagian dalam, sesetengah upacara, tidak dapat diikuti sepenuhnya, hinggakan semasa penyampaian cenderamata kepada Wakil SusuIbu.com, tiada wakil sebenar yang dapat naik ke pentas kerana tidak terdengar panggilannya. . Ikuti beberapa Gamabr Kenangan yang sempat kami rakamkan di sana.
Pada minggu ini, SusuIbu.com akan berada di UPM pada 11, Ogos, 2005. Sebuah Forum Penyusuan Susu Ibu yang bertajuk “Ke Arah Mewujudkan Budaya Penyusuan Susu Ibu” akan diadakan di Panggung Percubaan, UPM Serdang dari jam 2:00 hingga 5:00 petang.
Seterusnya, pada 13, 15 sehingga 19 Ogos, 2005, SusuIbu.com akan berada Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk mengadakan pameran dan jualan di sana. Kepada ibu-ibu yang masih belum berkesempatan untuk mengunjungi kami, bolehlah berbuat demikian pada minggu hadapan.
Akhir sekali, SusuIbu.com ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak membantu dalam menjayakan Minggu Penyusuan Susu Ibu tahun 2005 ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada netters yang tidak jemu-jemu mengunjungi Portal ini dan menjadikannya sebuah laman yang ‘happening’ sejak kebelakangan ini.