Rumah Terbuka SusuIbu.com 2004

4 Disember, 2004 merupakan detik bersejarah di dalam nota catatan SusuIbu.com. Pada malam tersebut, lebih kurang 20 orang tetamu telah dapat hadir pada majlis Rumah Terbuka SusuIbu.com. Walaupun bilangan tetamu agak kecil, namun majlis tetap berjalan lancar dan meriah.

Lokasi pilihan jamuan kali ini agak istimewa kerana ianya merupakan sebuah kedai pameran perabut tetapi disusunatur khas untuk dijadikan ruang makan yang amat selesa. Ramai yang hadir turut berminat dengan rekabentuk perabut-perabut yang digunakan sebagai set makan pada malam tersebut.

Sambil kami menjamu selera, tetamu yang hadir telah dapat bertukar-tukar pengalaman, pendapat dan maklumat mengenai penyusuan. Kami dapat berkenalan dengan lebih dekat lagi dan beramah mesra antara satu sama lain.

Satu demonstrasi urutan juga telah dibuat oleh Puan Jasmeen dari Medela. Urutan ini ditunjukkan khas kepada para suami agar dapat membantu ibu-ibu yang menyusu melancarkan perjalanan aliran susu dan darah. Beliau juga banyak memberi tips-tips berguna kepada para ibu yang hadir mengenai permasalahan penyusuan.

Anak-anak yang hadir turut bergembira, bermain dan beramah mesra sesama mereka. Ada yang terlalu keletihan, lantas terus terlena di ruangan pameran baju di kedai tersebut. Secara, keseluruhannya, kesemua yang hadir nampak sungguh ceria pada malam tersebut.

Diharap di masa akan datang, SusuIbu.com dapat menganjurkan pertemuan seumpama ini lagi bagi mengeratkan pertalian sesama ahli dan meningkatkan semangat penyusuan di kalangan ibu-ibu, khususnya di Malaysia.

Saksikan beberapa gambar yang sempat dirakamkan pada majlis tersebut di ruangan Gallery. Terima kasih diucapkan pada Pakcik Abdullah kerana mengirimkan sebahagian dari koleksi gambar beliau untuk diabadikan di SusuIbu.com.