Sekembali saya dari Amerika Syarikat, saya diberitahu oleh Rita yang Dr Jack Newman akan berada di Jakarta. Rita mencuba nasib menghubungi beliau bertanyakan kelapangan beliau untuk mengunjungi Malaysia sementelah beliau akan berada di rantau ini. Tanpa disangka-sangka Jack dengan ramahnya telah menjawab email tersebut dan menyampaikan keinginan beliau untuk datang ke sini. Namun disebabkan kesuntukan waktu dan ada jemputan lain yang harus dipenuhi di Chicago sejurus selepas programnya di Jakarta, beliau mencadangkan untuk kami ke sana.Tanpa banyak berfikir, saya bersetuju untuk bersama-sama Rita untuk menziarahi negara jiran kita, Indonesia bertemu rakan-rakan seperjuangan di sana sambil berguru secara langsung dari Dr Jack Newman, penulis terkenal buku The Ultimate Breastfeeding Book of Answers. Ikuti pengalaman kami berdua berkunjung ke sana.
Tiba sahaja di Jakarta, kami bergegas menuju ke kediaman Puan Irarosa di sekitar Jakarta Selatan. Di sana kelihatan Jack telah memulakan mukadimmahnya untuk sesi bengkel pada hari itu. Topik yang dibincangkan adalah Controversies in Breastfeeding. Terdapat 18 topik kontroversi yang disediakan untuk perbincangan, namun Jack hanya dapat membawa beberapa isu penting sahaja kerana masa agak terhad.
– gambar peserta bengkel
Tengahari itu, sambil menjamu selera, kami berkenalan dengan rakan-rakan dari Asosiasi Ibu Menyusui Indonesia, AIMI. Timbul rasa kagum dengan usaha mereka berjaya menambat hati Dr Jack untuk datang ke rantau ini, lantas mencetus idea untuk bekerjasama di masa akan datang agar manfaat seumpama ini dapat dikongsi bersama rakan serantauan. Selain itu, ada juga kumpulan sokongan dari SEHAT yang juga mendokong promosi penyusuan susu ibu.
– gambar bersama kumpulan SEHAT
Di Indonesia setakat ini mereka mempunyai seramai 37 orang IBCLC berbanding kita hanya mempunyai 9 orang sahaja. Boleh rujuk disini, http://iblce.edu.au/ibclcnumbers.php. Di sana usaha yang pesat sedang dilakukan untuk mempertingkatkan professionalisme untuk profesion Lactation Consultant. Antara lain, peperiksaan IBLCE telah diadakan sebanyak 2 kali di dalam Bahasa Indonesia. Selain itu mereka juga telah menterjemah buku rujukan laktasi ke bahasa ibunda mereka. Contohnya, buku Dr Jack, telah dialih bahasa sepenuhnya dalam masa 4 bulan. Pengalaman kami di sana dipenuhi dengan rasa kagum dengan pencapaian saudara kita di sana dan seterusnya menimbulkan azam untuk bekerja keras di sini bagi mencapai tahap yang sama seperti di sana.
Sesi sebelah petang diteruskan lagi dengan beberapa lagi topik kontroversi yang dipilih untuk diperbincangkan. Dipertengahan sesi, kami dikejutkan dengan satu kes. Seorang ibu bersama bayi berumur 4 bulan didatangkan khas ke sesi tersebut. Pada mulanya saya tertanya-tanya apa yang akan dilakukan. Kemudian barulah diketahui bahawa bayi tersebut mempunyai masalah ‘tongue tie’ – di mana lidahnya terikat oleh selaput halus di bawah lidahnya menyebabkan bayi ini tidak dapat menyusu dengan baik. Ibu pula sentiasa merasa kurang selesa dan sakit setiap kali menyusu.
– gambar – semasa prosedur
Dr Jack memeriksa seketika dan memutuskan untuk melakukan pemotongan selaput tersebut. Wah! Ini adalah pengalaman pertama saya dan Rita menyaksikan operasi ini dilakukan secara langsung di hadapan kami. Semua kamera bersedia dan sekelip mata ianya selesai dilakukan. Sejurus selepas itu, bayi tersebut diletakkan di payudara ibunya, dan terus boleh melekap dengan sempurna dan ibu tidak lagi mengalami sebarang kesakitan. Amat menakjubkan!
– gambar sejurus operasi
Petang itu, setelah selesai program, kami di bawa ke gedung tempat AIMI mengadakan pameran dan jualan penyusuan susu ibu. Rupa-rupanya mereka telah berada di sana lebih dari 4 hari dan itu adalah hari terakhir pameran tersebut di lakukan. Kami juga berkesempatan mendengar ceramah dari Pakar Laktasi Indonesia pada petang tersebut. Sungguh bersemangat penceramahnya menyampaikan ceramah beliau. Dengan bahasa yang sedikit berbeza, kami masih boleh memahaminya.
– Bersama anggota AIMI
Malamnya, kami berkesempatan menghabiskan masa bersama Dr Jack Newman dan beberapa orang anggota AIMI. Sesungguhnya pengalaman sehari bersama Dr Jack dan AIMI serta warga susu ibu di sana adalah pengalaman yang amat manis dan tidak dapat kami lupakan. InsyaAllah saya dan Rita akan menganjurkan satu program ilmu perkongsian untuk apa yang kami perolehi di sana. Nantikan pengumumannya dalam sedkit waktu lagi!