
“Infant Welfare Centre” (IWC) mula ditubuhkan di Kuala Lumpur sekitar awal 1920-an, bagi menyediakan perkhidmatan perbidanan moden British, bagi menggantikan amalan perbidanan tradisional. Ia merupakan pusat sehenti (“one stop centre”) bagi kesihatan ibu dan bayi, bertujuan mengurangkan kadar kematian bayi yang tinggi ketika itu. Ia dilengkapi para pegawai perubatan terlatih Eropah, dengan dibantu para jururawat dan kakitangan kesihatan.
Pada mulanya, pusat ini dibina di bandar-bandar besar sahaja, dengan alasan tidak mahu mencampuri hal ehwal amalan perubatan tradisional di kampung-kampung. Namun kemudiannya pentadbir kolonial British mula melihat kesihatan awam dari sudut pragmatis: bertujuan memastikan kesihatan buruh/pekerja, seterusnya bekalan buruh/pekerja baru yang stabil (iaitu anak-anak mereka); juga sudut imperialis: membuktikan keupayaan mereka mentadbir dengan baik, sekaligus menjadi simbol keabsahan pemerintahan mereka. Berikutan kadar kematian bayi yang tinggi, British melihat antara puncanya adalah amalan perbidanan dan penjagaan tradisional di kalangan ibu-ibu (seperti pemakanan dan kebersihan) yang tidak sempurna. Justeru pentadbiran British mula bertindak sebagai “polis perubatan”: memperluaskan kawalan, penerangan, serta perkhidmatan kesihatan (termasuk khidmat/latihan perbidanan moden British) ke segenap pelusuk. Perkhidmatan bas khas percuma seperti ini membawa para pelawat kesihatan ke kampung-kampung di pedalaman, dan turut membawa para ibu dan anak ke pusat-pusat IWC di KL, Ipoh, Taiping, Seremban dan Klang.
Umumnya usaha-usaha sebegini didapati berjaya menurunkan kadar kematian bayi (contoh: laporan tahunan FMS 1924). Namun antara kesan sampingannya adalah pengenalan penggunaan produk susu tepung dan susu pekat manis keluaran syarikat-syarikat seperti Nestle, Glaxo, dll, yang turut dibekalkan di pusat-pusat ini, juga amalan-amalan “saintifik” yang kurang tepat/sempurna seperti penyusuan berjadual (sepatutnya, mengikut keperluan bayi, sebagaimana kaedah tradisi), dan sebagainya. Selain itu, terdapat suatu sisi pandang yang kurang terlihat, yang tersembunyi di sebalik hujah-hujah “pandangan imperialis” British di atas, iaitu punca asal masalah kesihatan yang dialami oleh ibu dan anak di kalangan masyarakat peribumi ketika itu. Ia berakar dari kadar kemiskinan dan perubahan cara hidup yang mendadak di kalangan masyarakat tempatan, akibat dasar-dasar penjajahan yang diperkenalkan pentadbiran British sendiri sebelumnya, seperti undang-undang tanah dan percukaian.
Sumber-sumber utama: Buku “Wanita Dan Kesihatan Era Kolonial” (UKM, 2022), juga makalah-makalah ahli antropologi Lenore Manderson (1982-1998).
Sumber gambar: Arkib Negara Malaysia, melalui New Straits Times, 25 Disember 2019.
Disediakan oleh: Syahrul Sazli Shaharir


