Seorang ibu akan berusaha memimpin anaknya sejak dari kecil agar kelak anak itu boleh berdiri dengan sendiri. Demikian ucapan guru di sekolah anak saya sempana Hari Ibu. Beliau meneruskan lagi ucapan, ibu akan memastikan anaknya mempelajari setiap aspek kehidupan agar anak itu bila dewasa kelak boleh menghadapi apa jua bentuk cabaran dengan ketabahan.
Dalam pada mendengar ucapan guru tersebut, fikiran saya menerawang terhadap usaha seorang ibu dalam menyusukan anaknya. Apabila seorang ibu menyusukan anaknya, beliau secara tidak sedar telah mengumpulkan pelbagai bentuk makanan untuk menjadikannya satu, itulah dia Susu Ibu. Di dalamnya terkandung protin, karbohidrat, lemak, zat mineral dan pelbagai vitamin. Rasanya juga pelbagai, ada manis, masin, payau bergantung kepada apa yang dikumpulkan ibunya dalam pemakanan harian beliau. Begitulah seorang ibu mendidik bayinya tentang erti makanan.
Bila anak itu sampai umurnya untuk berdikari (6 bulan ke atas), anak itu akan mula berusaha untuk memproses makanannya sendiri. Tidak lagi bergantung sepenuhnya terhadap susu ibu. Sedikit demi sedikit, dia mengenal rasa nasi, sayur-sayuran, daging, kekacang dan macam-macam lagi makanan seperti mana yang pernah dilatih oleh ibunya melalui penyusuan susu ibu. Anak itu bukan sahaja berlatih dari segi rasanya, malah beliau juga berlatih menggunakan anggota tubuhnya seperti tangan, mulut, lidah, gigi mengikut koordinasi yang betul agar makanan tadi dapat diproses dengan sempurna.
Alangkah indahnya aturan Allah Taala, setiap perlakuan ibu sejak dari kelahiran bayinya adalah sebagai persediaan buat si anak agar kelak boleh menjaga dirinya sendiri. Terima kasih ibu atas kasih sayangmu dan Alhamdulillah atas segala hikmah yang tersirat di semesta alam!