Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Original Image SusuIbu.com juga tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam khususnya, buat ibu-ibu yang sedang menyusukan anak masing-masing. Bersempena dengan kedatangan Ramadhan Al Mubarak ini, marilah kita sama-sama mempertingkatkan amalan yang baik dan semoga segala kesabaran kita dalam menghadapi dugaan di sepanjang Ramadhan ini dikurniakan rahmat dan ganjaran yang berlipat ganda.

Sebagai persediaan menghadapi dugaan di bulan puasa sekali lagi SusuIbu.com ingin menganjurkan pemakanan yang seimbang dan sihat. Antara amalan yang boleh dilakukan:

1. Berbuka dan bersahurlah dengan buah kurma. Sekarang terdapat pelbagai jenis buah kurma yang lazat dan tinggi kandungan khasiatnya. Satu resipi yang boleh dicuba, Minuman Kurma Bersusu. Ambil 3 biji kurma BAM (berwarna hitam dan lembut di dalamnya), keluarkan biji dan kisar bersama segelas besar susu segar (jika boleh dapatkan yang tanpa perisa vanila). Jadikan ianya minuman berbuka yang berkhasiat.

2. Jika mahu bersolat terawikh, pilihlah tempat yang luas seperti masjid supaya boleh membawa bersama bayi yang sedang menyusu. Letakkan bayi disebelah sewaktu bersolat. InsyaAllah, bayi tidak mudah meragam jika keperluannya sudah dipenuhi. Oleh itu, sementara waktu Maghrib dan Isyak, susukan bayi sekenyang mungkin. InsyaAllah, badan ibupun menjadi ringan untuk mengerjakan Terawikh.

3. Waktu bersahur, makanlah menu yang bersup, sup ikan, ayam, daging amat berkhasiat dan berprotin tinggi. Selain itu, boleh membekalkan kandungan air yang cukup dalam badan, sepanjang tempoh berpuasa.

Semoga semua ahli SusuIbu.com Muslimah diluar sana akan dapat menjalani ibadah puasa kali ini dengan tabah.