Alhamdulillah…SGM ke 6 dengan topiknya “There’s a New Baby in Your Life” telah diadakan pada 26 Jun 2011, Ahad lalu. Seperti biasa perjumpaan ini diadakan di Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, anjuran SusuIbu.Com.
Seramai 20 orang peserta menghadiri perjumpaan ini. Mereka datang bersama keluarga tersayang. Kebanyakan peserta datang dari kawasan berdekatan, tetapi ada juga yang datang dari jauh seperti Banting dan Klang. Bak kata pepatah “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Demi menimba ilmu dalam penyusuan, semua peserta yang hadir sanggup mengorbankan hari cuti mereka untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan menimba maklumat.
Para peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan yang dikendalikan oleh Puan Nor Kamariah dan Puan Nurhayati. Setiap peserta diberi peluang untuk mengeluarkan pandangan dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan masing-masing. Selesai perbincangan, setiap kumpulan perlu membentangkan perbincangan mereka kepada semua yang hadir.
Antara isi perbincangan yang boleh disimpulkan di sini mengenai topik yang diberi ialah :
– Persediaan ibu dan bapa daripada segi mental dan fizikal, terutama sekali bagi si ibu. Mereka perlu mendalami ilmu penyusuan ini agar lebih bersedia sebelum kelahiran cahaya mata mereka. Menghadiri kelas penyusuan ibu, membaca artikel-artikel, buku-buku serta bahan bacaan yang boleh dipercayai dalam internet adalah antara persediaan yang perlu dilakukan. Tak lupa juga menghadiri perjumpaan kumpulan sokongan seperti yang dianjurkan ini serta berjumpa dengan rakan-rakan yang berjaya dalam penyusuan. Ini akan menaikkan semangat untuk memulakan penyusuan ibu kelak.
– Persediaan sebelum dan semasa bekerja adalah perkara penting kerana ia adalah salah satu faktor yang menentukan kejayaan seseorang itu dalam penyusuan. Ramai ibu bekerjaya masih gagal meneruskan penyusuan sebaik sahaja memulakan kerjaya mereka. Ibu perlu menyediakan stok simpanan susu yang mencukupi sebelum mula bekerja semula.
– Ada juga persoalan mengenai keperluan alat pemerah susu. Ada yang berpandangan ianya satu kemestian bagi ibu bekerjaya. Ada pula yang berpandangan keputusan sama ada perlu atau tidak serta jenis alatan tersebut bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis kerjaya, suasana di tempat kerja, jarak tempat kerja dengan rumah, kemampuan kewangan dan semestinya keselesaan penggunaan kaedah memerah susu tersebut.
– Di dalam perbincangan kumpulan juga ada diketengahkan risiko mempunyai alat pemerah susu terlalu awal, boleh menyebabkan ibu terlalu bergantung dengan alatan tersebut sehingga ‘lupa’ untuk berlatih menyusu anaknya sendiri pada hari –hari awal kelahiran.
– Sokongan daripada seisi keluarga juga penting untuk memberikan semangat kepada si ibu. Suami biasanya adalah penyokong paling penting dalam menjayakan penyusuan ibu. Jika mempunyai anak yang lain, ahli keluarga atau suami boleh memainkan peranan untuk menjaga emosi si abang / kakak yang mungkin cemburu dengan kehadiran adiknya. Mereka mungkin akan berasa terpinggir oleh ibu kerana asyik memberikan tumpuan kepada adiknya.
– Jika ada kakak atau abang kepada bayi yang baru lahir masih menyusu, bolehlah diamalkan penyusuan serentak (tandem nursing). Walau bagaimanapun pada hari-hari awal, bayi yang baru lahir perlu diberi keutamaan.
– Persediaan tempat yang sesuai untuk menjaga anak juga perlu difikirkan dari awal. Antara pilihan yang telah dibincangkan adalah: pusat jagaan bayi di kawasan perumahan atau di tempat kerja(crèche), pembantu rumah, ibu atau ibu mertua, atau ada juga ibu yang mungkin mengambil keputusan untuk berhenti bekerja. Menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk menunjuk ajar penjaga anak ini nanti mengenai kaedah yang betul dalam mengendalikan susu ibu.
Kesimpulannya, kehadiran bayi baru harus diraikan. Tetapi dalam konteks penyusuan ibu, meraikan kehadiran bayi baru adalah dengan membenarkannya bersama ibunya selama yang boleh agar dia boleh berlatih mengenal dunia yang penuh cabaran ini sambil menikmati penyusuan ibu semahu-mahunya.
Selesai membentangkan kupasan setiap kumpulan, maka berakhirlah perjumpaan kali ini. Sebelum semua peserta menjamu selera dengan hidangan yang dibawa, semua yang hadir sempat meraikan majlis hari jadi Adik Irsyad yang sudah genap 2 tahun dan sempurnalah penyusuannya selama 2 tahun. Tahniah diucapkan kepada ibunda Najwa Salwana dan ayahanda Ajwad kerana berjaya dalam misi penyusuan ini.
Sehingga kita bertemu lagi pada perjumpaan akan datang dengan topiknya “The Normal Course of Breastfeeding” di Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi pada 24 Julai 2011.
Disediakan Oleh : Nur Ain Sha’ari
Disemak Oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC