SGM 7 : The Normal Course of Breastfeeding

Original Image

Alhamdulillah… Pada 24 Julai 2011 yang lalu, SGM kali ke-7 telah diadakan buat kesekian kalinya di Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. Topik yang dibincangkan pada perjumpaan kali ini ialah “The Normal Course of Breastfeeding”.

Perjumpaan kali ini sangat meriah dengan kehadiran Kumpulan Sokongan Penyusuan Ibu Jerantut, Pahang. Kehadiran mereka amat dialu-alukan. Walaupun mereka tiba sedikit lewat, sempat juga mereka menyaksikan sesi penggulungan selepas perbincangan kumpulan. Semoga pengalaman yang diperolehi semasa bersama kumpulan sokongan SusuIbu.com dan Malaysian Breastfeeding Peer Counselor ini dapat menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk mempelbagaikan aktiviti kumpulan ini di Jerantut kelak.

Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan dan masing-masing memberikan pendapat serta berkongsi maklumat yang mereka ada. Antara yang hadir kali ini ada juga antaranya yang masih belum mendirikan rumahtangga dan yang belum menimang cahaya mata. Itu semua bukanlah halangan untuk menyertai perbincangan yang diadakan malah amat baik untuk mereka menimba pengalaman dari mereka yang sudah melaluinya.

Perhimpunan kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran wartawan daripada RTM1. Mereka sedang mencari bahan untuk dipaparkan di RTM1 sempena Minggu Penyusuan Ibu Sedunia dari 1 hingga 7 Ogos akan dating. Nantikan bersama paparan eksklusif mengenai penyusuan ibu dan isu berkaitan dengannya di TV1 dalam slot Berita Nasional 1pm, 5pm dan 8pm.

Antara kupasan mengenai tajuk perbincangan kali ini adalah :

1. Pengalaman menyusu pada hari-hari awal berbeza-beza antara satu sama lain. Setiap ibu dan bayi akan melalui pengalaman yang unik dan adalah tidak wajar membanding-bandingkan pengalaman tersebut (secara negatif) dan membuat andaian bahawa seseorang lebih berjaya dari yang lain atau sebaliknya lantas mengurangkan keyakinan seseorang dalam penyusuan.
2. Ibu-ibu kebanyakannya risau bayi yang kerap menyusu dan asyik ‘melekat’ pada awal kelahiran. Bila bayi kerap menangis dan kerap menyusu, ibu akan menganggap bayinya tidak cukup susu dan tidak kenyang. Ini yang menjadi penyebab utama yang menggagalkan niat untuk menyusui anak. Adalah normal untuk bayi kerap menyusu kerana susu ibu mudah dihadam, dan bagus juga untuk si ibu kerana kekerapan tersebut akan menghasilkan lebih banyak susu.
3. Apabila ibu terpaksa berjauhan dari bayi, seperti ibu keluar bekerja, bekalan susu ibu untuk bayi berbeza-beza dari seorang ke seorang. Pemberian susu melalui cawan dapat membantu penjaga bayi memberikan susu perahan mengikut kuantiti yang betul dan selamat. Tangisan bayi bukanlah semestinya tanda bayi lapar, sebaliknya penjaga perlu mengenal tanda bayi lapar yang betul agar susu ibu yang dibekalkan mencukupi sepanjang hari.
4. Seringkali ibu-ibu terlalu memikirkan tentang makanan yang boleh membantu menambahkan penghasilan susu mereka. Pada hakikatnya, pemakanan kita tidak memberi kesan secara langsung kepada penghasilan susu, sebaliknya, ibu-ibu yang menyusu digalakkan untuk mengambil makanan berkhasiat dan seimbang untuk memberikan tenaga yang cukup kepada dirinya sendiri. Untuk menambahkan penghasilan susu, kekerapan mengosongkan payudara adalah kunci utama.
5. Setelah memperkenalkan makanan pelengkap kepada bayi pada usia 6 bulan, ibu-ibu mula risau kerana susunya berkurangan. Memang benar selalunya apabila bayi sudah makan, pengambilan susu biasanya akan berkurangan, dan seterusnya penghasilan susu juga akan turut berkurangan berkadaran dengan keperluan bayi terhadap susu ibunya yang sudah menurun.
6. Pantang larang atau mitos yang ada dalam masyarakat kita juga adalah salah satu masalah dalam penyusuan ibu. Kita haruslah pandai memilih di antara mitos dan fakta. Contohnya tentang larangan pengambilan air yang banyak semasa berpantang. Padahal, kebiasaannya, ibu yang menyusu akan kerap berasa haus. Jadi seharusnya ibu perlu minum apabila haus dan bukan sekadar mengikut sukatan tertentu.
7. Apabila bayi sudah berumur 2 tahun, ibu-ibu mula memikirkan cara untuk menceraikan susu. Sebenarnya proses ini tidak perlu dipaksa-paksa, jadi biarlah si ibu dan anak betul-betul bersedia. Kadang-kadang, anak itu sendiri yang akan memilih untuk berhenti menyusu. Biarlah ia terjadi secara semulajadi, agar kedua-duanya lebih bersedia.

Sebagai kesimpulannya, kebanyakan perkara harus dilalui secara semulajadi. Begitu juga dengan penyusuan ibu, bertindak balaslah terhadap sesuatu situasi berdasarkan rasa hati seorang ibu dan bukan bergantung kepada komen atau maklumat yang kurang tepat dari persekitaran semata-mata. Jika ibu yakin pada diri bahawa dia mampu untuk menyusu, maka InsyaAllah, perjalanannya dipermudahkan.

Perjumpaan kali ini diteruskan lagi dengan sesi bergambar bersama tetamu yang datang sebagai kenangan. Dan diteruskan dengan menjamu selera bersama-sama menikmati bekalan yang dibawa oleh setiap peserta. Terima kasih sekali lagi pada tetamu kami kerana sudi bersama-sama dalam perjumpaan kali ini.

Semoga kita bertemu lagi pada SGM ke-8 pada bulan September dengan tajuknya “Weaning : Four Chambers of the Heart”. Kami daripada warga SusuIbu.Com ingin mengucapkan “Selamat Menyambut bulan Ramadhan” dan selamat menjalani ibadah puasa.

Original Image

Original Image

Original Image

Original Image

————————————————————————————————————
Marhaban Ya Ramadhan

Sabda Rasulullah saw.:
“Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan.”

Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
“Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga”
————————————————————————————————————–