SGM Pertama 2010 Berjalan Lancar

Alhamdulillah seramai 41 orang peserta telah menyertai program Support Group Meeting yang dianjurkan oleh SusuIbu.com pada 28 Februari 2010 baru-baru ini. Sebagai pembuka tirai untuk tahun ini, SusuIbu.com telah memilih topik Overcoming Low Weight Gain untuk dibincangkan dalam perjumpaan pertama kami ini.

Peserta mula hadir seorang demi seorang dari jam 9 pagi. Seperti biasa, kebanyakan dari mereka datang bukan seorang malah seluruh keluarga turut menyokong aktiviti ini. Mereka datang bukan dengan tangan kosong. Ada yang mengusung tikar, ada yang menjunjung makanan dan minuman, ada pula yang mengelek pinggan, mangkuk serta cawan. Walau apa pun yang dibawa, niat mereka yang utama adalah menimba ilmu sebanyak mungkin dan menambah kenalan dan merapatkan silaturrahim sesama ahli SusuIbu.com.

Lebih kurang jam 9:30 pagi peserta yang hadir telah membahagikan diri masing-masing kepada 3 kumpulan. Setiap kumpulan dikendalikan oleh seorang atau dua moderator. Masing-masing kelihatan bersemangat sekali berkongsi maklumat dan pendapat membincangkan topik yang diberikan. Walaupun, topik telah diberikan dan moderator cuba sedaya upaya untuk tidak keluar dari tajuk, namun peluang tetap diberikan untuk membincangkan isu-isu lain yang saling berkait dengan topik ini.

Kumpulan pertama dikendalikan oleh Puan Nor Kamariah (@ mama) dan dibantu oleh Puan Zatul Hijanah (@ zatul77). Seramai 14 orang ibu telah menyertai kumpulan ini, iaitu Intan, Ereena, Nurul, Azian, Zakirah, Azizah, Hanidah, Liyana, Mardiana, Roslizawati, Rafiza, Sumirah, Hani dan Zaleha.

Antara isu yang dibincangkan dalam kumpulan ini adalah: perasaan mereka sebagai ibu apabila menerima komen tentang berat anak yang dikatakan kurang memuaskan; tafsiran atau interpretasi berat anak dalam Carta Tumbesaran – ianya menunjukkan bahawa anak itu berada pada tangga ke berapa berbanding anak-anak lain yang berada pada peringkat umur tersebut tetapi tidak semestinya menunjukkan bahawa anak itu tidak sihat; bagaimana faktor genetik, alam sekitar, iklim, kesihatan bayi dan pemakanan ibu termasuk makanan tambahan dan makanan harian boleh mempengaruhi saiz atau berat badan seseorang bayi; apakah tumbesaran yang normal bagi bayi yang menyusu pertambahan berat bayi lebih menggalakkan pada umur di bawah 6 bulan tetapi selepas itu agak berkurangan pertambahannya kerana faktor aktiviti anak tersebut; bagaimana menghadapi situasi atau keadaan bayi yang kurang berat atau dikatakan kurang berat terima cadangan atau nasihat dan siasat isu itu dari fakta, cari bukti sebelum membuat keputusan, ibu bapa harus bertanggunjawab terhadap keputusan yang diambil dan jangan suka menyalahkan orang lain terhadap apa yang berlaku ke atas anak sendiri ; serta persediaan mental dan fizikal seorang ibu yang menyusu. Keseluruhan ahli kumpulan ini memberikan 5 bintang terhadap perbincangan yang mereka hadiri ini.

Kumpulan kedua pula dikendalikan oleh Puan Rita Rahayu. Seramai 15 orang ibu menyertai kumpulan ini iaitu Ismazura, Norzienani, Norhuda, Hidayu, Junaida, Zulaira, Azlina, Shazura, Zuhaila, Suhaili, Aslinda, Mariny, Evy, Salmiwati dan Noraini.

Di dalam kumpulan ini pula, mereka membincangkan isu berikut: bagaimana menghadapi cadangan dari kakitangan kesihatan sendiri untuk menambahkan susu formula dalam diet bayi yang baru mencecah umur 3 bulan; bagaimana memperhatikan jadual perkembangan anak-anak, di mana bukan hanya keadaan fizikal (berat) bayi sahaja yang perlu dipertimbangkan, malah faktor lain juga perlu diambil kira; dapatkan sokongan dan rujukan lebih dari satu pihak amat penting dalam membuat sesuatu keputusan; faktor-faktor yang boleh mempengaruhi berat bayi adalah pelekapan bayi yang kurang berkesan menyebabkan kurang susu yang dihisap, bayi menghadapi masalah kesihatan, bayi mudah terganggu semasa sesi penyusuan; menjawab persoalan keperluan makanan tambahan untuk ibu yang menyusu atau menghasilkan susu yang lebih baik (jawapannya TIDAK); serta kepentingan sokongan dari ayah dan keluarga dalam menangani isu ini. Rata-rata ahli kumpulan ini juga memberikan 5 bintang kepada perbincangan yang telah diadakan.

Kumpulan ketiga pula dikendalikan oleh Puan Yusrina(@yus_azlan) dan dibantu oleh Puan Hayati Hashim (@hayatie). Seramai 11 orang ibu telah mengikuti kumpulan ini iaitu Norlida, Hamiza, Hazimah, Norliza, Syazwani, Norashikin, Nadia, Salwani, Najwa, Azrina dan Hazarina

Di dalam kumpulan ini pula, perbincangan berkisar tentang isu berikut: cara penyusuan ibu boleh mempengaruhi berat bayi kurang kerap menyusu, bekalan susu berkurangan kerana ibu kurang memerah (bagi ibu bekerja), bayi mudah terganggu semasa menyusu, cara pelekapan, posisi ibu menyusu dan bayi yang suka tidur; bagaimana menambahkan minat bayi untuk menyusu tidak menggunakan puting dan menyusu di tempat yang lebih sunyi. Keseluruhan ahli kumpulan juga berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan dan memberikan 4 bintang.

Perjumpaan kali ini turut diserikan oleh wakil dari Malaysian Baby Wearers (MBW), iaitu Puan Azizah Mohd Amin dan Puan Mariny Lubna Mohamed Arif. Mereka telah menunjukkan beberapa jenis alat menggendong bayi serta teknik yang betul dalam penggunaannya. Ibu-ibu yang hadir tidak melepaskan peluang untuk mencuba sendiri dan mendapat tunjuk ajar dari guru-guru yang berpengalaman ini. InsyaAllah kerjasama ini akan diteruskan di masa hadapan kerana masih banyak lagi yang perlu dipelajari dari MBW.

Selain daripada itu, Cik Emi telah memeriahkan suasana dengan mengadakan aktiviti Face Painting untuk anak-anak yang menyertai program pada hari tersebut. Ada juga yang sempat bergambar dengan lakaran di wajah ceria masing-masing.

Seperti biasa, acara ini diakhiri dengan santapan santai hasil sumbangan semua yang hadir. Sempat juga diselitkan acara menyambut ulangtahun kelahiran Putera Muhammad Shafariz, putera Khaireena, bersama ibu-ibu dan anak-anak SusuIbu.com yang lain. Semoga panjang umur dan menjadi anak yang soleh serta terus menyokong aktiviti memperjuangkan penyusuan ibu 🙂

Akhir kalam, kami di SusuIbu.com berusaha sedaya upaya untuk menganjurkan program ini sebaik mungkin. Jika ada cacat celanya, memang itu adalah sebahagian dari kelemahan kami dan akan terus cuba diperbaiki. Semoga berjumpa lagi di SGM yang akan datang pada 28 Mac 2010!

Oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC