Sepanjang bulan Jun ini, SusuIbu.com telah menziarah 3 ibu baru di sekitar Lembah Kelang. Masing-masing telah berjaya memulakan penyusuan dengan jayanya walau sebahagian darinya terpaksa melalui sedikit kesukaran pada awalnya. Ibu-ibu yang bertuah ini adalah, Puan Shazwan dari Bandar Baru Bangi, Puan Dalina dari Kampung Pandan dan Puan Juhaida dari Melawati. Tahniah diucapkan kepada ibu-ibu ini dan tidak ketinggalan juga kepada pasangan masing-masing yang turut menunjukkan sikap positif serta membantu di dalam usaha menyokong penyusuan susu ibu.
Bagi Ibu Shazwan, permulaan penyusuan baginya tidak menghadapi banyak kesukaran. Mungkin persediaan yang telah dibuat sebelum kelahiran banyak membantu beliau untuk menjayakan usahanya menyusukan cahaya matanya.
Ibu Dalina pula yang telah melahirkan bayinya pada 4 Jun yang lepas, pada mulanya menghadapi sedikit kesukaran untuk menyusukan kerana pengenalan kepada penyusuan agak lambat. Beliau telah mengalami bengkak susu. Akibatnya, bayinya menghadapi sedikit kesukaran untuk menghisap kerana payudara ibu telah sedikit keras. Keadaan ini telah dibantu dengan teknik memerah dan menuam untuk menghilangkan sedikit kesan bengkak. Seterusnya bayi telah dibantu untuk mengenal semula cara menghisap yang betul. Alhamdulillah atas ketekunan ibu Dalina, bayinya kini telah kembali kepada rutin menghisap susu ibu sepenuhnya.
Ibu Juhaida pula yang telah melalui kelahiran dengan pembedahan C, turut menghadapi kesukaran untuk memulakan penyusuan. Walau bagaimanapun, setelah dibantu menggunakan My Brest Friend Nursing Pillow, beliau telah dapat duduk dengan selesa dan menyusukan bayinya dengan jayanya.
SusuIbu.com berharap kepada kesemua ibu muda ini agar dapat meneruskan penyusuan secara eksklusif sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan pertama. Semoga usaha ini akan membuahkan hasilnya.