Tak Cukup Susu

Saya fikir saya mahu menulis apa yang sering ditanyakan oleh ramai ibu dan bakal ibu.

Topik ‘tak cukup susu’ ini amat popular. Malah ibu veteran juga ada yang bertanyakan persoalan yang sama. Barangkali persoalan ini telah lama bersarang dalam fikiran mereka. Sampai masa anak atau menantu mereka mengundang seseorang yang cuba menyantuni hal ehwal keluarga mereka yang sedang berusaha untuk memberikan makanan terbaik buat ‘orang baru’ dalam keluarga, persoalan ini muncul semula.

Soalan ini jika diluahkan sejujurnya, barangkali berbunyi begini, “Betul ke anak makcik boleh menyusukan cucu makcik ini? Makcik dulu dapat menyusukan dia 2 minggu sahaja. Lepas tu kering!” Biasa didengar bukan? Biasa didengar tidak semestinya benar! Jadi apakah kebenaran sebenarnya di sebalik ‘sumpahan tak cukup susu’ ini. Apa yang menyebabkan ramai percaya yang mereka tidak cukup susu atau sekurang-kurangnya sangsi akan keupayaan mereka dalam menghasilkan cukup susu?

Barangkali untuk menangani persoalan ini, hakikat susu ibu yang dihasilkan pada hari-hari awal sejurus ibu bersalin harus dihadam terlebih dahulu. Kebanyakan ibu hanya menghasilkan cecair melekit pada 2 ke 3 hari pertama. Kuantitinya pula sebanyak satu atau dua camca kecil setiap kali perahan. Hakikat pertama, cecair awal yang keluar dan payudara ibu, bagi kebanyakan ibu tidak berwarna putih tetapi kekuningan keemasan. Inilah makanan pertama terbaik buat bayi yang dinamai kolostrum. Hakikat kedua, kuantitinya sangat sedikit tetapi ia cukup dan sesuai dengan saiz perut bayi ketika itu.

Walau bagaimanapun, dalam dunia hari ini ketaksuban anggota masyarakat yang gemar sukat menyukat serta banding membanding boleh menimbulkan kesangsian kepada ramai ibu baru. Soalan pertama yang terpacul keluar bagi memenuhi kehendak masyarakat ini, saat ibu sedang terkial-kial mendakap bayinya untuk disusukan adalah, “Ada ke susu?”. Jika ada kelihatan susu menitis pun, akan keluar pula soalan kedua, “Eh! Betul ke tu susu?”

Walaupun soalan itu sekadar ingin berbahasa basi dengan ibu itu, ia secara tidak disedari ,telah menimbulkan cabaran untuk membuktikan yang dia ada susu dan susunya kelihatan sempurna. Maka tindakan logik bagi kebanyakan ibu adalah cuba memicit putingnya dan berusaha mengeluarkan susu yang ibu sendiri belum pasti di mana ia berada.

Hakikatnya, susu tidak dihasilkan di puting tetapi di kelenjar susu yang terletak jauh di belakang kawasan tampuk hitam pada payundara ibu. Jadi jika ibu cuba memicit kawasan puting pada hari pertama, di mana susu masih belum mengalir lancar, besar kemungkinan hampir tiada susu yang atau kolostrum yang dapat dilihat keluar.

Maka hukuman atau bukti palsu yang pertama bahawa tiada susu akan dijatuhkan ke atas ibu dan payudaranya seawal hari pertama lagi. Sementelah bukti pertama dilihat, maka keluarlah cadangan ‘bernas’ lagi memusnahkan agar bayi diberikan susu gantian sejak hari pertama. Bayi yang baru cuba mengenal dunia yang penuh pancaroba ini, dinafikan haknya untuk mencuba mengenal keupayaannya yang sebenar. Apabila bayi ini disogokkan cecair gantian tanpa perlu belajar dan berusaha mendapatkan makanan itu, bayi akan tidur kekenyangan selama beberapa jam. Sifat susu gantian yang lebih sukar dihadam berbanding kolostrum yang mengandungi pelawas asli menjadikan bayi tertidur lena begitu. Seluruh tenaganya terpaksa dipusatkan di bahagian perut untuk memproses dan menghadam susu gantian.

Apabila setiap kali bayi ingin menyusu diberikan susu gantian ini, maka terlepaslah peluang ibu dan bayi untuk berlatih dan berusaha mengeluarkan susu dari kelenjar susu. Hakikatnya juga kelenjar susu ibu yang telah mula beroperasi sejak kandungan ibu beberapa bula kebelakangan itu lagi, berfungsi seperti kilang. Ia akan merajuk dalam proses menghasilkan susu apabila susu yang sedia ada sebelumnya tidak digunakan. Inilah hukum alam yang sering diabaikan – penghasilan berdasarkan permintaan.

Walaupun bukan semua kes ibu tidak cukup susu adalah seperti yang diulas sebelum ini, namun tanggapan semberono kebanyakan orang serta reaksi balas kebanyakan ibu terhadap situasi itu boleh menjadi asbab keadaan tidak cukup susu yang nyata akhirnya.

Jadi apa yang ibu perlu lakukan?

Digalakkan sebelum bersalin, pelajari kaedah pelekapan penyusuan dan kaedah memposisikan bayi yang selesa serta kenali payudara masing-masing. Lebih yakin ibu tentang kaedah penyusuan pada hari-hari awal, semakin kuranglah soalan liar orang lain mempersoalkan keupayaan ibu dalammemberikan makanan terbaik buat anaknya. Pelajari juga kaedah memerah susu dengan tangan. Ini adalah perisai utama apabila ada yang mempersoalkan kewujudan susunya. Mulakan dengan mengurut sedikitbahagian belakang payudara dan melurut jari jemari ke arah puting.Kemudian lakukan perahan susu dengan penuh keyakinan. Apabila ibu sendiri, yakin melakukannya tiada lagi persoalan yang boleh merendah – rendah keupayaan seseorang ibu itu. Pendeknya , pelajarilah selok-belok penyusuan semasa dalam tempoh mengandung lagi.

Selain daripada itu, ahli keluarga dan rakan taulan juga boleh memainkan peranan. Kebanyakan ibu sejurus lepas bersalin akan segera pulang ke rumah. Peralihan tempat ini kebiasaannya mengundang cabaran menyesuaikan diri dengan ‘orang baru’ di dalam suasana baru. Memang betul ramai ibu yang bersalin di hospital akan pulang ke rumahnya sendiri atau rumah keluarganya sendiri. Namun dengan kehadiran orang baru itu, suasana biasa akan menjadi baru juga bagi pasangan yang baru menimang cahaya mata. Bayi biasanya menjadi daya tarikan untuk kunjungan sanak saudaran serta sahabat handai. Dalam hal ini, sebaiknya, berilah ruang kepada ibu dan ayah baru ini untuk mengenal bayi mereka. Beri ruang dan peluang kepada mereka untuk membina keyakinan.

Seperti banyak kemahiran lain dalam kehidupan ini, semakin banyah latihan dan persediaan, semakin tinggi peluang untuk berjaya melaksanakannya!

#selamatberjaya
#usahatanggakejayaan
#tiadalagikeluhtakcukupsusu

Image by gdakaska from Pixabay