Pada Ahad yang lalu, 18 April 2010, Nisa’ Wilayah Persekutuan telah mengadakan satu ceramah iaitu Talkshow Nisa’ WP yang bertajuk Nilai Setitis Susu Ibu di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju. Salah seorang pakar laktasi kami, iaitu Puan Rita Rahayu telah dijemput untuk memberi ceramah tentang tajuk yang diberikan, dan juga seorang lagi penceramah jemputan iaitu kolumnis majalah Muslimah, Ustazah Teh Izanuri.
Program ini pada mulanya diisi dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustazah Teh Izanuri. Beliau banyak mengupas tentang segala hukum yang berkaitan dengan penyusuan susu ibu ini. Banyak persoalan yang dikupas contohnya hukum menyusu di khalayak ramai. Aurat ibu sebagai wanita perlu dijaga, jadi untuk menyusu perlualah ada cover atau beli pakaian yang bersesuaian.
Talkshow ini diteruskan dengan slot Puan Rita Rahayu yang menggunakan persembahan slides dalam bahasa Inggeris. Tetapi beliau telah menerangkan segalanya dalam Bahasa Melayu supaya para hadirin lebih jelas dan memahami isi kandungan dan topik yang sedang dipersembahkan. Penerangan beliau adalah berasaskan bukti dan fakta saintifik tentang perbezaan antara susu ibu dan susu formula.
Di samping itu, beliau juga membuat demonstrasi bagaimana untuk memerah menggunakan tangan dan cara untuk memberikan susu perahan dengan menggunakan cawan kepada bayi. Para hadirin kagum kerana selama ini mereka berpendapat bahawa menyusukan bayi menggunakan cawan adalah sukar. Beliau menegaskan bahawa memerah dengan tangan dan juga memberikan susu perahan dengan cawan, sudu, picagari atau sebarang alternatif lain memerlukan latihan. It is a learned skill so….Practice makes perfect! Puan Rita juga berkongsi akan masalah yang sering timbul akibat pemberian susu dengan menggunakan botol. Jelas bahawa cara hisapan bayi dari botol berbanding dari payu dara berbeza sekali!
Program ini berakhir dengan sesi soal jawab di mana para hadirin masing-masing ingin mengemukakan persoalan (termasuklah wanita yang belum berkahwin dan juga kaum bapa..SYABAS!!). Jelas bahawa sesi ini mendapat sambutan hangat terutama kepada mereka yang masih kurang memahami tentang penyusuan susu ibu ini. Semoga segala perkongsian ilmu ini diberkati Allah SWT…Ameen.
Semoga program-program seperti ini akan sentiasa diadakan dan dianjurkan oleh pelbagai pihak bagi memberi kesedaran kepada semua tentang kepentingan penyusuan susu ibu!!!