Pada awal ramadhan kali ini, saya benar-benar tersentuh dengan beberapa episod Jejak Rasul. Bagi penggemar siri ini, sudah pasti telah mengikuti kisah kelahiran Junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi hidangan dalam episod yang saya maksudkan itu.
Haji Zainal, penerbit Jejak Rasul telah mengisahkan bagaimana Muhammad s.a.w. dilahirkan sebagai seorang anak yatim pada Tahun Gajah. Baginda telah dilahirkan oleh ibunya Aminah tanpa sebarang kesulitan. Kemudian baginda telah disusukan oleh ibunya, Aminah selama 3 hari yang awal. Seterusnya, Muhammad telah cuba disusui oleh seorang hamba kepada Abi Lahab, iaitu Suwaibah namun kurang bersesuaian. Kemudian baginda telah ditemukan dengan ibu susuannya yang sejati iaitu Halimatun Saadiah. Mulai dari saat itu, baginda telah disusui oleh Halimah selama 2 tahun. Kehadiran Muhammad dalam keluarga Halimah dari Bani Sad, telah melimpahkan seribu rahmat kepada keluarga tersebut. Secara tiba-tiba, susu Halimah melimpah ruah bukan sahaja mencukupi untuk menyusui Muhammad s.a.w. sehingga kenyang malah anak Halimah sendiri yang masih menyusu turut kenyang. Ternakan keluarga Halimah beransur gemuk dan menghasilkan susu yang banyak sehingga mengenyangkan Halimah dan suaminya. Subhanallah!
Yang menyentuh hati saya, bukankah jelas lagi nyata setiap detik kehidupan junjungan kita telah menitip seribu hikmah yang boleh dijadikan pedoman buat umatnya. Baginda telah disusui ibunya sendiri untuk tempoh awal kelahirannya, jelas bagi kita yang telah mengkaji, dalam tempoh tersebut, limpahan rahmat yang terkandung dari susu ibu yang mengandungkannya adalah kolustrum. Betapa pentingnya penyusuan awal bayi untuk menikmati hikmat kolustrum, sebenarnya telah tertulis cuma tiada yang menghubungkaitkan sahaja sirah dengan fakta tersebut.
Seterusnya, walaupun baginda tidak disusui oleh ibunya sendiri, kerana amalan Arab bangsawan ketika itu, mereka memberi upah kepada wanita-wanita dari kawasan kampung untuk menyusukan anak mereka. Pasti ada hikmahnya disebalik kejadian tersebut. Namun yang pasti baginda disusukan dengan susu manusia, bukan susu unta atau kambing ataupun kibash, walaupun datuk baginda seorang yang kaya dan sudah tentu mempunyai beratus ekor unta yang sihat-sihat dan boleh mengeluarkan susu. Baginda telah disusukan selama genap 2 tahun.
Bukankah ini suatu sirah yang sepatutnya kita sebagai umatnya mengikuti. Wallahua’lam.
Nukilan: Nor Kamariah Mohamad Alwi
kamariah@susuibu.com
1 Oktober 2006