Bayi Tak Mahu Buka Mulut

Pengalaman pertama kali menyusui puteri sulung dahulu, saya juga mengalami masalah anak tidak mahu buka mulut. Saya fikir ketika itu, anak saya belum mahu menyusu atau sedang sangat mengantuk . Antara perkara yang membantu ketika itu, jururawat laktasi yang menziarahi saya cuba membetul-betulkan kedudukan saya dan anak agar kami berdua rasa selesa. Dalam pada kami membetulkan kedudukan itu, sedar-sedar anak saya telahpun melekap buat kali pertama.

Setelah saya sendiri menjadi perunding laktasi selama lebih 10 tahun, ‘masalah bayi tidak mahu buka mulut’ masih wujud. Ibu sering memberi gambaran yang mulut anaknya sangat kecil dan tidak berpadanan dengan puting serta payudaranya.

Ibu sering mengeluh yang anak mereka tidak mahu buka mulut luas. Jadi apabila disuakan untuk menyusu, bayi mereka hanya mengambil bahagian puting sahaja. Ibu biasanya tahu ada sesuatu yang tidak kena tentang hal ini kerana keadaan ini menjadikan pengalaman penyusuan mereka menyakitkan.

Selain daripada kata kunci ‘bayi tak mahu buka mulut’, kata kunci lain yang juga boleh menjurus kepada masalah yang sama adalah “bayi saya buka mulut kecil sahaja’, atau ‘saya rasa sakit setiap kali menyusu’ atau ‘puting saya melecet’.

Seringkali apabila saya tanyakan pada ibu, apakah yang dilakukan untuk memperbaiki bukaan mulut bayinya, rata-rata ibu akan bercerita yang mereka akan cuba menarik bahagian dagu bayi agar bukaan mulutnya menjadi lebih luas. Namun, tindakan itu biasanya kurang membantu. Apabila dagu bayi ditarik ke bawah, lidah bayi biasanya akan terdorong untuk naik ke atas. Ini menjadikan halangan untuk cubaan bayi melekap dengan baik. Puting ibu tidak dapat masuk ke dalam mulut bayi kerana terhalang oleh lidah bayi yang menujah ke atas.

Jadi apakah yang boleh dilakukan oleh ibu untuk memperbaiki keadaan ini?

Apabila saya menerima kes begini, perkara pertama yang saya perhatikan adalah bagaimana ibu memposisikan bayinya semasa menyusu. Kemudian, barulah saya memperincikan keadaan lekapan mulut bayi pada payudara ibu. Dalam kebanyakan pengalaman saya menyantuni ibu dan bayi, didapati kaedah pegangan ibu pada tubuh bayi menjadikan bayinya kesuntukan ruang untuk memperoleh posisi dongakan yang optimum.  

Posisi terbaik untuk membolehkan bayi mendongak atau melenturkan kepalanya ke belakang sambil terdorong untuk membuka mulut dengan luas adalah apabila ibu memegang bayinya secara silang buai. Dalam posisi ini, ibu akan menggunakan telapak tangannya sambil ibu jari serta jari-jari lain terbuka luas menyokong bahagian belakang tengkuk bayi. Untuk menyusui bayi pada payudara sebelah kanan, tangan kiri akan digunakan untuk memegang bayinya. Inilah yang dikatakan pegangan silang buai. 

Setelah ibu berasa selesa dengan pegangan tengkuk bayinya, ibu boleh memperkemaskan dakapan bayi dengan memastikan bahagian punggung bayi turut didakap menggunakan ruas lengannya. Kemudian barulah dirapatkan bahagian mulut bayi ke arah payudara ibu. 

Semasa memposisikan bahagian mulut bayi ke arah payudara, ibu perlu memastikan bahagian bibir atas mulut bayi menyentuh puting ibu. Sentuhan ini akan menimbulkan refleks bayi untuk menganga mulut. Kepala bayi yang tidak terhalang dengan tangan atau bantal, akan dengan sendirinya boleh terlentur ke belakang semasa refleks sentuhan mulut ini berlaku. Inilah rahsianya untuk membuka mulut bayi seluas mungkin!

Puting ibu yang telah tersedia berada di atas bibir bayi akan mudah masuk ke mulut bayi yang ternganga luas . Sedikit dorongan daripada tapak tangan ibu di belakang tengkuk bayi akan membantu bayi merapatkan tubuhnya kepada tubuh ibu bagi mendapatkan lekapan yang optimum .

Kesimpulannya, dalam kebanyakan keadaan, keupayaan bayi membuka mulut dengan luas banyak bergantung kepada kaedah bayi dipegang serta diposisikan pada payudara ibu. Dengan memperbaiki teknik memposisikan bayi, bayi mampu membuka mulutnya seluas mungkin dan berupaya menyusu dengan selesa. Ibu juga tidak sepatutnya mengalami sebarang kesakitan semasa menyusui bayinya.

Selamat mencuba!

#menyusuitufitrah
#teknikvskeupayaan

–kamariah
Nor Kamariah Mohamad Alwi <kamariah@susuibu.com>
International Board Certified Lactation Consultant [L-31434]
SusuIbu.Com [ https://www.susuibu.com ]

Print Friendly, PDF & Email