Bicara Tentang Kumpulan Sokongan di Radio 24, 93.9fm BERNAMA

Original ImageOriginal ImagePada hari Sabtu yang lalu, saya telah menjadi tetamu di Radio 24, Bernama bersama Host Kam Kamarudin, berbincang tentang Kepentingan Kumpulan Sokongan Dalam Mempromosi, Melindungi dan Menyokong Penyusuan Susu Ibu. Kami telah bersiaran selama 45 minit dari jam 11:15 pagi dan siaran ulangannya pada jam 8:15 malam. Ikuti kupasan lanjut dalam perbincangan tersebut…

1.Apakah fungsi utama Kumpulan Sokongan dalam aktiviti penyusuan susu ibu?
Fungsi utama kumpulan sokongan khususnya untuk penyusuan susu ibu adalah menyediakan ruang dan peluang kepada setiap wanita dan keluarga yang ingin menyusukan anak mereka saluran untuk mendapatkan bantuan rakan sebaya, profesional dan sokongan kemasyarakatan dalam aspek penyusuan susu ibu. Sokongan yang diberikan adalah dalam bentuk mendengar permasalahan, menunjukkan empati dan menghormati budaya dan resam tertentu bagi setiap individu.

2.Bagaimana Kumpulan Sokongan dapat memainkan peranan dalam masyarakat di Malaysia khususnya?
Peranan kumpulan sokongan telah digariskan dalam Langkah ke 10 dalam akriditasi Inisiatif Hospital Rakan Bayi. Dalam langkah 10 tersebut, dinyatakan Foster the establishment of breastfeeding support groups and refer mothers to them on discharge from the hospital or clinic. Ini bermakna sebaik sahaja seorang ibu melangkah keluar dari hospital, ibu tidak perlu bergantung kepada khidmat hospital semata-mata untuk mendapatkan bantuan penyusuan susu ibu. Mereka boleh merujuk kepada kumpulan sokongan yang telah dikenal pasti. Biasanya setiap hospital yang mempunyai status BFHI harus menyediakan maklumat kumpulan sokongan untuk dirujuk.
Sejarah telah membuktikan bahawa, seorang ibu mempelajari teknik-teknik dalam melayari kehidupan sebagai seorang ibu dari ibu berpengalaman yang lain. Seorang manusia akan lebih mudah mempercayai dari contoh dan teladan berbanding dari teori yang tidak nampak di mata. Di sinilah peranan Kumpulan Sokongan yang biasanya terdiri dari kaum ibu sendiri boleh memberi sokongan terhadap ibu baru yang memerlukan bantuan.

3.Apakah bentuk aktiviti yang selalu diadakan oleh kumpulan sokongan?
Banyak aktiviti yang boleh dijalankan oleh kumpulan sokongan baik kecil-kecilan mahupun besar-besaran. Sebagai contoh, ibu berpengalaman boleh menawarkan khidmat sokongan kepada ibu yang baru bersalin dari rumah-ke rumah. Selain dari itu, aktiviti berkumpulan seperti perbincangan dalam kumpulan juga boleh diadakan dalam topik-topik tertentu yang dipilih. Dari pengalaman saya, perbincangan berkumpulan boleh diadakan di mana-mana sahaja asalkan setiap peserta kumpulan berasa selesa dengan keadaan persekitaran itu. Contohnya, kumpulan sokongan kami mengadakan aktiviti ini di taman di mana ibu-ibu berkelompok di dalam kumpulan, ayah-ayah pula boleh beriadhah bersama anak-anak yang lain di sekitar kawasan taman. Aktiviti tahunan seperti sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu sedunia juga boleh diadakan. Untuk pengetahuan, Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia diadakan setiap Ogos dari 1 hingga 7hb setiap tahun. Banyak juga negara yang meraikannya di sepanjang bulan Ogos. Setiap tahun pelbagai tema diperkenalkan. Adalah menjadi sebahagian dari tanggungjawab Kumpulan Sokongan untuk menyebarkan maklumat mengenai tema sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia ini agar iainya dapat dihayati dan difahami oleh setiap lapisan masyarakat.

4.Apakah contoh pendidikan yang dibincangkan dalam aktiviti kumpulan sokongan?
Banyak cabang ilmu yang boleh dibincangkan dalam penyusuan susu ibu. Sebagai contoh, kaedah pelekapan bayi dan posisi penyusuan susu ibu adalah antara topik yang sering dibincangkan kerana jika ibu dan bayi tidak memperolehi teknik yang betul, mereka mungkin mengalami ketidakselesaan semasa proses penyusuan. Ibu-ibu juga sering mempunyai persoalan kurang susu atau kurang keyakinan dalam keupayaan mereka untuk menyusukan bayi mereka. Selain itu, ramai juga yang mempunyai persoalan bagaimana untuk meneruskan penyusuan susu ibu sehingga 2 tahun dan apakah makanan yang boleh dimakan oleh bayi selepas 6 bulan. Hakikatnya, semua persoalan ini mungkin tidak dibincangkan secara ilmiah dahulu kala, tetapi kini ibu-ibu bersifat lebih praktikal dan ingin melakukan setiap sesuatu berdasarkan bukti saintifik. Dahulu, ibu-ibu mempelajari teknik penyusuan dengan memerhatikan ibu-ibu lain melakukannya. Namun sekarang agak sukar untuk mendapatkan pengalaman tersebut kerana bilangan ibu menyusu sudah berkurangan berbanding 50 tahun yang lalu. Maka, disinilah fungsi kumpulan sokongan untuk menyebarkan maklumat yang diperlukan ini.

5.Di manakah orang ramai boleh mendapatkan khidmat kumpulan sokongan?
Seperti yang saya nyatakan tadi, lazimnya setiap hospital berstatus Rakan Bayi ada menubuhkan kumpulan sokongan masing-masing. Selain dari itu, di Malaysia terdapat beberapa kumpulan sokongan seperti SusuIbu.com, Mamalink, Penang Mother-to Mother Peer Supporter. Setiap kumpulan sokongan ini menjalankan pelbagai aktiviti tersendiri tetapi matlamatnya tetap satu iaitu untuk mempromosi, melindungi dan menyokong penyusuan susu ibu.
Di SusuIbu.com contohnya, disediakan laman web yang mempunyai ruangan forum di talian yang membolehkan ahlinya berbincang mengenai sebarang permasalahan yang berkaitan penyusuan susu ibu. Selain itu, mereka juga boleh menimba ilmu dengan membaca pautan-pautan artikel yang di salurkan di laman web tersebut. Maklumat aktiviti juga boleh diperolehi di ruangan kalender laman web tersebut.

6.Bagaimana untuk memperkukuhkan lagi peranan kumpulan sokongan di Malaysia?
Pada padangan saya apa jua bidang yang kita ceburi, ilmu adalah pelita. Oleh itu untuk memperkukuhkan setiap kumpulan sokongan, perancangan dalam menambah ilmu tentang penyusuan susu ibu harus diterapkan. Walaupun penyusuan susu ibu telah dilalui oleh wanita diseluruh dunia sejak zaman Nabi Adam, namun ilmu mengenainya sentiasa diperbaharui dengan pelbagai penemuan baru yang tidak henti-henti dikaji oleh ahli sains dan ilmuan yang berkaitan dengannya. Adalah wajar jika saya menyeru, setiap kumpulan sokongan melengkapkan ahli-ahlinya dengan maklumat terkini agar praktis ahli-ahlinya sentiasa dipantau dan mengikut garis panduan yang terkini.

7.Apakah sumber pendidikan dalam penyusuan susu ibu yang boleh diperolehi oleh kumpulan sokongan?
Buat masa ini belum ada garis panduan atau modul khusus untuk kumpulan sokongan penyusuan susu ibu. Setakat ini, individu yang berminat untuk menyertai kumpulan sokongan diserap masuk dalam kursus pengurusan laktasi 20 jam dan kursus kaunseling penyusuan susu ibu 40 jam yang diadakan oleh hospital yang berstatus Rakan Bayi. Selain dari itu, terdapat beberapa institusi lain yang juga menyediakan pendidikan khusus dalam penyusuan susu ibu secara profesional dan mendalam contohnya, Health-E-Learning, Wellstart International dan Dr Jack Newman Breastfeeding Institute.

8. Apabila kumpulan sokongan mendapati permasalahan memerlukan nasihat yang lebih terperinci, kepada siapa mereka harus merujuk?
Bergantung kepada jenis permasalahan. Untuk kebanyakan permasalahan umum penyusuan susu ibu, mereka boleh merujuk kepada Lactation Consultant atau Kaunselor Laktasi. Di Malaysia, Kaunselor Laktasi kebanyakannya terdiri dari pegawai perubatan atau jururawat laktasi yang telah menjalani kursus khas dalam pengurusan laktasi. Lactation Consultant pula biasanya adalah profesional yang diakriditasi oleh badan antarabangsa iaitu IBLCE dan mereka biasanya dikenali sebagai IBCLC (International Board Certified of Lactation Consultant)

9.Bagaimana seseorang individu boleh menawarkan diri untuk menjadi ahli Kumpulan Sokongan?
Bergantung kepada jenis kumpulan sokongan yang ingin disertai. Jika ianya kumpulan sokongan yang ditubuhkan oleh sesebuah hospital, rujuklah kepada hospital berdekatan. Jika Kumpulan Sokongan di SusuIbu.com sesiapa sahaja boleh mendaftar sebagai ahli secara online dan menyertai apa sahaja aktiviti yang diadakan.

**********************************************************

Semoga maklumat ini akan memberi manfaat kepada semua pihak!