Bila Ombak Gergasi Melanda….

Original Image Semalam seanterio benua asia dikejutkan oleh gegaran gempa bumi, diikuti dengan pukulan Tsunami yang amat menakutkan. Sehingga setakat ini, lebih dari 11,000 manusia telah terkorban akibat rentetan gegaran gempa bumi ini. Tragedi ini sungguh menyayat hati kerana sebilangan besar mangsa melibatkan masyarakat kampung nelayan dan kanak-kanak. SusuIbu.com mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat di dalam tragedi Tsunami yang juga melibatkan sebahagian kecil rakyat Malaysia (lebih 50 orang terkorban) di utara Semenanjung.

Banyak yang diperkatakan dan dipersoalkan dari peristiwa ini. Ada yang mempersoalkan kenapa tidak ada sebarang amaran dikeluarkan berikutan gegaran yang telah dialami beberapa jam sebelum ombak Tsunami itu terjadi. Jabatan Kajicuaca Malaysia turut menerima laporan gegaran tersebut, dan telah mengkategorikannya sebagai sangat kuat namun tidak ada amaran diberikan kepada kawasan perairan pantai barat(sekurang-kurangnya) supaya berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Pada saya, negara kita memang tidak mempunyai pengalaman langsung (walaupun ada yang ahli di dalam bidang ini) mengenai kejadian gegaran gempa bumi dan ombak gergasi yang dahsyat seperti Tsunami. Seringkali berita sebegini hanya kita saksikan di negara seperti Jepun. Oleh itu, apabila diberitahu gempa bumi terjadi pada skala Richter 8.9 sekali pun, tidak ada siapa yang ambil peduli dan tidak ada siapa yang endah akan rentetan bala yang akan tiba. Apabila bala sudah tiba, barulah semua terkejut dari tidur. Banyak yang harus kita pelajari dari peristiwa ngeri ini.

Memang kejadian ini adalah bencana alam dan kita tidak dapat mengelakkannya dari terjadi sekiranya itu ketentuan Ilahi. Namun kita sebagai manusia yang diberikan akal dan fikiran supaya berusaha menghadapi apa jua ujian dari Allah dengan persediaan yang mencukupi. Ilmu dan amal itu amat penting untuk menghadapi rintangan dan cabaran dalam hidup. Sekiranya kita berilmu (jika tidak orang kebanyakan, sekurang-kurangnya bagi mereka yang ahli di dalam sesuatu bidang), maka haruslah ia diikuti dengan amal yang sewajarnya iaitu tindakan tepat pada waktunya mengikut permasalahan dan kejadian yang berlaku.

Saya juga mempelajari, betapa pentingnya sebaran maklumat tanpa kekangan kepada sesuatu masyarakat. Sekiranya maklumat dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan, sudah tentu masyarakat akan menjadi lebih peka dan sekurang-kurangnya bersedia menghadapi apa jua cabaran yang akan tiba.

Kepada kaum ibu yang menyusu pula, jadikanlah peristiwa ini sebagai dorongan dan iktibar untuk kita memperdalami ilmu penyusuan agar kita menjadi ibu yang lebih bersedia. Kita mungkin tidak akan berhadapan dengan bala, namun cabaran untuk meneruskan penyusuan yang berjaya tidak kurang hebatnya, kadang kala boleh menjadi sehebat 'Tsunami' jika kita tidak bersedia.