Global Online Lactation Discussion 2008

Original Image Global Online Lactation Discussion 2008 baru sahaja berakhir semalam. Seramai 530 delegasi dari 35 buah negara telah menyertai acara tahunan anjuran Health e-Learning ini. Malaysia telah diwakili oleh 2 orang peserta iaitu Dr Ning Desiyanti Soehartojo dan saya sendiri. Penceramah juga didatangkan dari pelbagai negara membentangkan pelbagai aspek kemahiran masing-masing di dalam bidang penyusuan susu ibu. Yang pasti banyak yang kami pelajari sepanjang tempoh 2 minggu persidangan ini berlansung.

Antara tajuk yang menarik perhatian saya adalah, “The Newman-Goldfarb Protocols for Induced Lactation Demystified” oleh Lenore Goldfarb. Beliau memperincikan bagaimana usaha beliau bersama Dr Jack Newman menghasilkan protokol khusus untuk penyusuan anak angkat dan relaktasi. Protokol tersebut telah dipelbagaikan mengikut keperluan dan peringkat pengambilan anak angkat.

Selain itu, Christa Herzog-Isler yang menyampaikan topik bertajuk “Born with a Cleft – A well fed start to life” menerangkan pengalaman beliau mengendalikan anak-anak berbibir sumbing dan/atau berlelangit sumbing. Beliau menerangkan betapa penting anak-anak ini diberi perhatian sewajarnya bagi membolehkan mereka menikmati nikmat penyusuan susu ibu seawal mungkin, walaupun pembedahan pembetulan masih belum dilakukan. Jika diberi peluang, anak-anak ini mampu untuk menyusu dengan sempurna (dengan syarat-syarat tertentu), asalkan teknik dan pendekatan yang betul digunakan.

Dr Brian Palmer pula melalui ceramahnya bertajuk ‘The Importance of Breastfeeding for Total Health’ mengemukakan hipotisisnya iaitu penyusuan susu ibu boleh mengurangkan risiko kejadian ‘Malocclusion'(misalignment of teeth) yang meletakkan individu berisiko menghadapi OSA(obstructive sleep apnea). Di dalam pembentangan kertas kerja ini, beliau menggunakan pelbagai gambarajah yang amat berkesan untuk menerangkan bagaimanaa pembentukan rahang dan alur pernafasan manusia berbeza dari mamalia yang lain. Beliau juga berjaya menerangkan bagaimana penyusuan susu ibu berbanding penyusuan melalui botol memberi kesan terhadap pembentukan mulut, gigi, lubang pernafasan dan wajah secara keseluruhannya.

Dr Ching Tat Lai pula membawa tajuk ‘When To Pump or Not To Pump is the Question?’ menerangkan faktor yang mempengaruhi penghasilan susu bagi ibu-ibu yang bergantung kepada mesin pemerah susu. Di dalam kajian beliau, didapati tempoh optima antara waktu pemerahan susu berbeza-beza antara seorang ibu dengan ibu yang lain. Maka untuk mendapat hasil maksimum dalam penghasilan susu, setiap kes harus dinasihati secara individu.

Secara keseluruhannnya, setiap ceramah yang disampaikan telah menambah pengetahuan setiap yang menyertainya. Kesempatan menghadiri persidangan seumpama itu (penceramah dari seluruh dunia) hanya dari rumah, adalah sangat bermakna. Bagi pihak SusuIbu.com, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Health e-Learning kerana berjaya menghidupkan dan menganjurkan ‘Persidangan Hijau’ ini dengan jayanya. Semoga kita bertemu semula di tahun hadapan. InsyaAllah, jika ada yang berminat bolehlah turut menyertainya.