Haji dan Pengorbanan

Original ImagePada hari ini, Jemaah Haji di kota Mekah bersiap-siap untuk berangkat ke Padang Arafah untuk berwukuf di sana. Setelah sekian lama menanti, tibalah saat yang paling penting di dalam ibadah Haji. Segala ilmu dan teknik yang dipelajari dari kursus-kursus yang pernah dihadiri, kini dapatlah dipraktikkan oleh mereka agar ibadah yang dikerjakan sempurna. Ibadah Haji ini, seringkali dikaitkan dengan pengorbanan. Pelbagai halangan dan dugaan harus ditempuhi, maklumlah dalam lautan manusia yang berkumpul dari serata pelusuk dunia berada di satu tempat dengan satu matlamat iaitu beribadah kepada Allah Taala.

Kepada kita yang tidak berkesempatan ke tanah suci kali ini, kita tetap akan merayakan Hari Raya Aidil Adha ataupun Hari Raya Korban. Pelbagai pengertian yang dibawakan apabila memperkatakan tentang pengorbanan. Pengorbanan ayah, bekerja berhempas pulas setiap hari semata-mata mencari rezeki untuk anak dan isteri. Pengorbanan ibu, menguruskan makan pakai anak dan seisi keluarga dari pagi hinggalah ke larut malam. Bagi ibu yang menyusu pula, mungkin ada yang merasakan mereka pasrah melakukan pengorbanan masa dan tenaga untuk menyusukan anak mereka semata-mata untuk memastikan si anak mendapat yang terbaik untuk bekalan sepanjang hayat. Apapun pengorbanan yang kita lakukan, lakukanlah dengan hati yang ikhlas agar usaha kita itu diberkati Allah dan mendapat balasan yang setimpal di dunia dan juga akhirat.

Menyorot Ibadah Haji yang dilakukan di dalam bulan Dzulhijjah ini, untuk mengerjakan ibadah tersebut, haruslah didahului dengan mempelajari ilmu ibadah ini sebaik mungkin. Tanpa ilmu, mustahil ibadah ini dapat dilakukan dengan sempurna. Seharusnya setiap ibadah atau pekerjaan yang hendak dilaksanakan perlu dilaksanakan dengan kaedah yang sama, iaitu memperdalami ilmu berkaitannya sebelum melalui atau melakukannya. Begitu jugalah dengan penyusuan susu ibu ini, kerana ianya berkaitan dengan praktikal yang perlu dipelajari selok beloknya agar ianya dapat dilakukan dengan mudah apabila sudah tiba masanya.

Kepada semua jemaah haji, SusuIbu.com mengucapkan Selamat Mengerjakan Ibadah Haji dan semoga beroleh Haji yang mabrur dan kepada umat Islam sedunia, Selamat Hari Raya Aidil Adha dan semoga Hari Raya Korban kali ini memberi pengertian pengorbanan yang hakiki.