Hari Susu Ibu 2009

Original Image
Alhamdulillah tahun ini sekali lagi SusuIbu.com berjaya menjalankan satu lagi aktiviti tahunannya iaitu Hari Susu Ibu sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia. Seramai lebih 60 keluarga telah menyertai program ini keseluruhannya.

Walaupun wabak H1N1 digeruni oleh ramai peserta program, namun itu tidak mematahkan semangat semua yang hadir pada hari tersebut. Majlis telah diterajui oleh Puan Farah (yang juga instruktur Playgroup Alim Kids di SusuIbu.com). Majlis bermula sekitar jam 9 pagi dan dibacakan doa selamat oleh Encik Faizal Mansor.

Selepas ucapan aluan oleh tuan rumah, majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh YB Dr Shafie Abu Bakar. Terima kasih kepada YB kerana sudi memasukkan rencana program ini di dalam blog beliau, http://drshafie.blogspot.com/ Ucapan beliau yang bersahaja tetapi bernas telah memberi pelbagai input. Selain dari menyentuh tentang kepentingan penyusuan susu ibu ketika bencana, beliau juga menyampaikan maklumat mengenai penyusuan susu ibu dari perspektif Islam.

Original Image – Gambar penyusuan susu ibu serentak.

Aktiviti kemudiannya diteruskan dengan penyusuan susu ibu secara berjemaah. Ibu-ibu yang hadir rata-rata berbaju oren dan jingga. Tiga baris paling hadapan dipenuhi oleh ibu-ibu yang menyusukan anak masing-masing. Acara ini turut diiringi oleh gesekan biola dan alunan muzik oleh kumpulan Amben Seni yang menyajikan lagu Ibu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham P Ramlee.

Seterusnya Puan Rita Rahayu melengkapkan upacara majlis perasmian dengan ucaptamanya dengan kupasan beliau mengenai Tema Hari Susu Ibu iaitu ‘Breastfeeding A Vital Emergency Response, Are You Ready? Rata-rata semua yang hadir menyatakan kesyukuran mereka mendengar syarahan Puan Rita ini kerana barulah mereka sedar tentang pentingnya penyusuan susu ibu terutama semasa keadaan bencana. Yang paling penting, Puan Rita juga memberi cadangan apakah bentuk sokongan yang wajar diberikan jika sesuatu bencana berlaku agar mangsa bencana dapat diselamatkan dengan cara yang lebih efektif, semestinya menerusi penyusuan susu ibu.

Sementara majlis berhenti berehat, semua yang hadir telah menikmati juadah hidangan Pot Luck. Dua khemah telah disediakan untuk hidangan ini. Terima kasih kepada Amyatie yang telah berjaya mengumpulkan dan menyelaraskan pelbagai hidangan potluck.

Original Image – Pemenang Bayi Merangkak

Selepas itu, majlis diteruskan dengan pertandingan bayi merangkak. Riuh rendah para hadirin melihat gelagat anak-anak comel yang merangkak dengan pelbagai aksi menarik. Acara ini telah dimenangi oleh Luvhaziq dan anak beliau. Seterusnya, program diteruskan dengan aksi-aksi menawan oleh ibu-ibu mengandung. Acara ini telah dimenangi oleh Ting-ting. Akhir sekali suasana terus meriah dengan gaya tersendiri ibu mengendong bayi. Pemenang yang terpilih mengendong menggunakan kain batik asli, tampak sungguh selesa bayi yang dikendong.

Original ImagePemenang Mengendong Bayi.

Majlis selesai lebih kurang jam 12:30 tengahari. Orang ramai masih mengunjungi booth jualan dan beransur-ansur pulang jam 2.00 petang.

SusuIbu.com mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menghulurkan bantuan terutama sekali kepada ahli SusuIbu.com sendiri yang banyak membantu dalam menjayakan majlis. Semoga majlis tersebut dapat memberi manfaat kepada semua yang hadir.