Kelas Penyusuan Ibu ketika Ramadhan

Original Image

Alhamdulillah… pada 23 dan 24 Julai yang lalu, SusuIbu.Com telah berjaya melaksanakan kelas persediaan menyambut Ramadhan yang penuh barakah khusus buat ibu menyusu.bagi ibu-ibu yang menyusu. Pelbagai kecelaruan dan kerisauan ibu berkaitan penyusuan dan puasa telah digarap dalam majlis ilmu tersebut.

Pada 23 Julai, kelas ini diadakan di Moms Little Ones (MLO) cawangan Wangsa Maju manakala pada 24 Julai, sesi ulangan diadakan di Bandar Baru Bangi pula. Sambutan peserta amat menggalakkan iaitu seramai 16 orang di Wangsa Maju dan 17 orang di Bandar Baru Bangi telah mendaftar. Masing-masing menyatakan kesyukuran mereka menghadiri kelas ini dan mereka lebih berkeyakinan untuk mengharungi bulan ibadah yang bakal menjelma.

Kelas ini dibahagikan kepada 2 segmen. Bahagian pertama adalah mengenai kupasan suruhan ibadah puasa dan kelonggaran yang diberikan untuk ibu. Peserta juga diberi pendedahan mengenai bagaimana penghasilan susu ibu berlaku dan cuba memahami asas penghasilan susu tidak berkaitan secara langsung dengan jumlah atau kuantiti pemakanan ibu. Konsep ini diperkukuhkan dengan beberapa penemuan kajian yang menunjukkan ibu yang berpuasa atau kurang makan, juga menghasilkan komposisi susu yang sama jika dibandingkan dengan ibu yang tidak berpuasa atau makan dengan baik.

Bahagian kedua pula ditambah dengan tips-tips penjagaan kesihatan ibu menyusu sepanjang Ramadhan. Pada asasnya ibu menyusu memerlukan keseimbangan dan zat makanan sama seperti ibu mengandung, malah ada beberapa zat yang diperlukan lebih sedikit berbanding ibu mengandung. Walau bagaimanapun, jika ibu yang telah cuba berpuasa tetapi mendapati dirinya tidak dapat bertahan, maka untuk golongan inilah yang layak diberi kelonggaran untuk berbuka.

Penting untuk difahami oleh ibu menyusu, kuantiti susu perahan tidaklah begitu penting untuk dihiraukan. Tetapi yang lebih penting adalah kekerapan pengosongan payudara perlu ditingkatkan terutama apabila penghasilan susu dirasakan seolah tidak mencukupi. Sikit tidak bermakna tidak mencukupi malah kadang-kadang lebih cepat mengenyangkan bayi dalam kebanyakan keadaan. Pemakanan yang baik semasa bersahur dan berbuka boleh menjamin kesihatan dan kesegaran ibu sepanjang berpuasa.

Kelas ini telah dikendalikan oleh dua orang perunding laktasi SusuIbu.com, iaitu Pn Nor Kamariah dan Pn Rita Rahayu. Mereka juga memberikan beberapa tips dan juga resepi mudah yang boleh dilakukan oleh ibu sebagai minuman harian semasa berpuasa, bagi mengekalkan tenaga di siang hari.

Antara tips-tips semasa berpuasa yang diberikan oleh kedua-dua perunding ini ialah :
1. Jangan tinggalkan waktu sahur / sahur di akhir waktu
2. Berbuka awal
3. Fokus pada kualiti BUKAN kuantiti
4. Makan makanan yang berkarbohidrat tinggi
5. Kekalkan sesi perahan setiap hari
6. Memerah susu pada awal hari
7. Menyusu atau memerah lebih kerap pada waktu malam
8. Berdoa dan bertawakkal atas usaha anda

Bagi yang tidak berpeluang menghadiri kelas ini, di sini dikongsi bersama artikel tentang tips –tips semasa berpuasa dan juga resepi mudah untuk membuat jus.

Original Image

Original Image

Selamat menjalani ibadah puasa dan ingatlah “..Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran”. (Al-Baqarah 2:185)

Print Friendly, PDF & Email