Konferens ABA di Canberra, Australia : Suatu Pengalaman Berharga

Original Image
Pada 20 dan 21 October yang lalu, saya diberi peluang untuk menyertai sebuah konferens antarabangsa anjuran Australian Breastfeeding Association (ABA). Konferens ini telah dijalankan di National Convention Centre, Canberra, Australia. Tema konferens kali ini adalah ‘Step Up, Reach Out : developing an inclusive breastfeeding society’.

Secara keseluruhannya konferens ini cuba mengajak peserta melakukan anjakan paradigm melalui peningkatan kualiti perkhidmatan dan mendekati masyarakat dalam usaha membentuk penyertaan masyarakat secara menyeluruh di dalam aktiviti penyusuan ibu. Ucaptama mengenai tema konferens ini telah dibawa oleh Prof Peter Hartman. Di dalam ucaptama ini, beliau membawa peserta mengimbau kembali bagaimana amalan penyusuan ibu di dalam masyarakat Australia berubah daripada zaman sebelum koloni British kepada zaman Negara membangun yang sedang mereka kecapi hari ini. Di dapati amalan penyusuan ibu adalah suatu amalan tabii dalam masyarakat orang asli Australia (Aborigins), tetapi apabila masyarakat British mula menempati benua Australia, terdapat perbezaan ketara antara dua budaya ini.

Kebanyakan pemerhatian ini dilakukan menerusi koleksi gambar-gambar rakaman Donald Thompson. Mempelajari dari sejarah silam ini, mereka sedang mengorak langkah untuk mengubah budaya penyusuan ibu kepada sesuatu yang tabii semula (di mana pada pemerhatian saya, mereka memang telah hamper berjaya). Penggalakan penyertaan dari setiap penjuru masyarakat dalam usaha membudayakan penyusuan ibu sedang pesat dilaksanakan.

Konferens ini juga mengundang barisan penceramah antarabangsa yang lain seperti Randa Saadeh dengan topic beliau ‘Breastfeeding and Child Survival: Translating Policies into Action’, Prof Mary Renfrew dengan tajuk ceramah ‘Evidence Into Policy and Practice: The case for breastfeeding in neonatal units, Dr Suzanne Colson dengan topik popular beliau ‘Biological Nurturing and the Laid-back breastfeeding revolution: the research evidence’ dan Assoc Prof. Jane Scott yang membawa topic ‘The New Infant Feeding Guidelines’.

Selain daripada ceramah umum di atas, peserta juga ‘dihidangkan’ dengan deretan bengkel dan pembentangan kajian di dalam kumpulan kecil dengan tema yang lebih khusus. Kesemua ‘hidangan’ tersebut amatlah ‘menyelerakan’ sehingga sukar sekali untuk membuat pilihan.

Pada hari pertama saya memilih untuk menyertai sebuah bengkel pendidikan bertajuk ‘Achieving Interactive, Inclusive Breastfeeding Education Sessions’. Bengkel tersebut telah dikendalikan oleh Hilary (Pixie) Endacott, salah seorang tenaga pengajar berpengalaman di ABA.Pelbagai idea baru dicetus di dalam bengkel ini untuk menjadikan sesi pendidikan khususnya dalam penyusuan ibu lebih interaktif dan berkesan. Saya berharap idea-idea ini dapat dikongsi di dalam perlaksanaan program di SusuIbu.com dalam masa terdekat.

Saya juga mengambil peluang pada hari pertama mempelajari daripada pengalaman menerusi kajian yang dijalankan di sana mengenai sokongan terhadap ibu menyusu dari pelbagai budaya. Umumnya diketahui Australia adalah sebuah benua yang mempunyai penempatan pelbagai bangsa dan budaya. Dalam usaha menyokong penyusuan ibu, mereka cuba memastikan setiap penduduk tidak kira bangsa dan budaya mendapat sokongan sama rata. Antara usaha yang dilaksanakan adalah member tumpuan kepada kawasan yang mempunyai penempatan orang asli dan juga pendatang asing. Merkea cuba memahami aspek kebudayaan masing-masing dan cuba membantu setiap kelompok masyarakat ini dan salah satu aspek yang diberi penekanan khusus adalah penyusuan ibu. Dari segi amalan di Malaysia, saya cuba membuat perbandingan, di sini kita juga mempunyai bangsa dan budaya yang pelbagai. Cuma dari aspek mendekati setiap kelompok masyarakat ini, masih banyak yang boleh dilakukan, misalnya di sana banyak bahan pendidikan penyusuan ibu diterjemah kepada pelbagai bahasa untuk memastikan maklumat tepat dapat disampaikan kepada setiap kaum.

Pada hari kedua, saya menyertai pembentangan kumpulan kecil mengenai cabaran menghadapi golongan muda, golongan bergelandangan (homeless) dan yang melalui cabaran kehidupan. Mereka mengkatogerikan golongan ini sebagai golongan yang berisiko dalam menjayakan penyusuan ibu. Saya amat tertarik dengan sebuah kajian yang dilakukan oleh kumpulan ABA, NSW mengenai ‘Penyusuan Ibu dan Ibu Muda di Canberra’. Istilah generasi ‘Y’ dan impak sikap golongan ini turut diketengahkan di dalam kajian mereka. Golongan muda di sana mahukan penyelesaian kepada permasalahan mereka dengan segera dan dalam masa yang sama mahukan mereka dihormati sebagai kaum ibu yang biasa tanpa perlu dikategorikan sebagai ‘ibumuda’. Mereka juga cenderung menggunakan kaedah komunikasi moden seperti rangkaian media dan social dalam talian seperti facebook untuk mencari rakan sebaya berbanding berjumpa dengan perunding laktasi atau kaunselor penyusuan. Maklumat yang berlebihan pada pandangan mereka boleh menjadi beban dan kadangkala maklumat ringkas tapi tepat adalah lebih bermanfaat.

Perpektif seperti ini amat bermakna kepada saya yang memang sedang mempelopori pelbagai program kemasyarakatan khususnya dalam bidang penyusuan ibu bersama golongan muda. Semoga pengalaman ini dapat dijadikan iktibar.

Bengkel terakhir yang saya sertai bertema ‘Breastfeeding is More than Milk’. Topik ini amat menarik perhatian saya kerana ianya telah lama menjadi kerisauan saya sejak berkecimpung di dalam bidang penyusuan ibu. Salah seorang pembentangnya, Dr Virginia Thorley telah berkongsi pandangan bagaimana amalan masyarakat sekarang yang cenderung kepada ‘pemberian susu ibu’ berbanding ‘menyusui anaknya’ di mana terma yang digunapakai di dalam Bahasa Inggeris adalah ‘breast milk feeding’ vs ‘breastfeeding’, telah mengalih focus masyarakat terhadap kandungan dan kuantiti susuibu berbanding dengan kualiti penyusuan ibu secara keseluruhannya. Pada hemat saya, perkara ini juga sedang berlaku di Malaysia dan menuju ke arah yang amat membimbangkan. Dengan keadaan kebanyakan wanita di Malaysia terpaksa menyumbang tenaga di dalam sector pekerjaan formal dan tidak formal, ramai yang terpaksa memikirkan bagaimana untuk meneruskan penyusuan ibu lantas menjurus kepada amalan pemerahan susu.

Amalan pemerahan susu kadangkala member impak negative terhadap amalan penyusuan ibu itu sendiri kerana ramai ibu sekarang menjadi begitu bimbang tentang hasil perahan mereka dari aspek rupa paras susu dan kuantiti yang mereka perolehi sedangkan jika ibu berpeluang menyusui anak mereka, perkara seperti ini langsung tidak timbul.

Pelbagai lagi persoalan yang timbul di minda saya rentetan dari ceramah yang disampaikan oleh Dr Virginia Thorley. Saya cuba memikirkan impak terjemahan istilah ‘breastfeeding’ dalam masyarakat kita. Suatu ketika istilah ‘penyusuan susu ibu’ dikatakan lebih tepat, tetapi secara peribadi saya merasakan istilah yang lebih sesuai adalah ‘penyusuan ibu’ kerana ianya menjelaskan lebih tepat tentang aktiviti itu hanya tentang penyusuan dan dilakukan oleh ibu berbanding istilah ‘penyusuan susu ibu’ yang boleh memberi gambaran seorang anak diberi ‘susu ibu’ tanpa memerlukan ibunya.

Menjadi peserta berbanding penganjur (terkenang pengalaman menjayakan SusuIbu.com International Lactation Conference pada tahun 2010), member nikmat berbeza. Selain daripada berjaya mengutip setiap butiran mutiara di konferens ini sebagai peserta, pengalaman kali ini sedikit berbeza kerana buat pertama kalinya saya berpeluang membuat pembentangan poster semasa konferens berlangsung. Tajuk pembentangan saya adalah ‘The Impact of Breastfeeding Peer Counselor Program on Trainers and Trainees in Malaysia’. Di dalam pembentangan ini saya berkongsi pengalaman dalam menjayakan program Malaysian Breastfeeding Peer Counselor. Memandangkan program ini baru setahun jagung, keberkesanan program ini hanya mampu diukur setakat impaknya terhadap individu yang menyertai program ini. Walaupun begitu hasil kajian ini mendapati program ini telah member impak yang positif kepada kebanyakan individu yang mengikutinya. Antara aspek yang diukur adalah peningkatan tahap keyakinan diri dan skil dalam membimbing ibu menyusu. Semasa peserta konferens membuat lawatan poster, mereka amat tertarik dengan aktiviti yang dijalankan ini di Malaysia.Pelbagai kata perangsang dan perkongsian pengalaman diberikan untuk memantapkan program ini di masa akan datang.

Begitulah bagaimana pengalaman berharga di konferens ini amat member manfaat kepada saya dan mencetus pelbagai idea bernas dan terkini untuk diperjuangkan dalam bidang yang amat saya minati – penyusuan ibu. Saya berharap pengalaman yang amat berharga ini dapat ditransformasikan kepada pelbagai aktiviti yang bermanfaat dalam masyarakat di Malaysia khususnya.

Original Image
Original Image

Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC

Print Friendly, PDF & Email