Merdekakan Bayi Malaysia dari "dijajah" oleh Susu Formula

SusuIbu.com mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke 47 kepada semua rakyat Malaysia. Kita sering mendengar kata pemimpin agar memerdekakan diri kita dari dibelenggu dari segala bentuk penjajahan. Apakah erti kemerdekaan kepada anak-anak Malaysia yang dilahirkan selepas tarikh bersejarah 31 Ogos, 1957? Tidak banyak yang diselami dan dihayati oleh rakyat Malaysia. Kerana apa? Pelbagai alasan diberikan, mungkin kerana kurangnya pengetahuan dan penjelasan tentang apa itu erti penjajahan. Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan kali ini, SusuIbu.com merasa terpanggil untuk menjelaskan bahawa secara tidak langsung bayi-bayi di Malaysia yang dilahirkan dewasa ini kebayakannya telah “dijajahi” oleh Pemberian Susu Formula secara berleluasa. Mengapa ini terjadi? Mengapa tiada perlindungan kepada anak-anak kita dari dijajahi?

Sedarkah ibu-ibu dan bapa-bapa bahawa pemberian Susu Formula pada hari pertama kelahirannya atau hari-hari seterusnya dalam kehidupan awal cahaya mata anda akan mendedahkannya kepada pelbagai gejala yang tidak diingini seperti penyakit alahan, kekurangan zat, jangkitan penyakit dan risiko kepada penyakit-penyakit kronik? Suatu masa dahulu datuk nenek moyang kita memberikan Sumber Asli yang terbaik kepada zuriat mereka iaitu Susu IBU. Malangnya, apabila “Penjajah Susu Formula” ini menerobos masuk ke dalam pasaran negara kita, ibu-ibu di sini telah berpaling tadah memberikan susu dari “spesis bukan manusia” kepada zuriat mereka. Tahukah ibu-ibu sekalian bahawa anak-anak ini mempunyai hak menikmati susu dari ibu mereka? Kenapa hak ini telah dipersia-siakan? Alangkah sedihnya anak-anak ini apabila dewasa kelak diketahuinya, bahawa mereka sedari kecil tidak dilindungi dari penjajah ini. Salah siapa? Bukan salah ibu mengandung atau bukan salah bapa yang membelikan susu formula, tapi salahnya pada kita rakyat Malaysia yang dikatakan sudah merdeka tetapi kurang pengetahuan tentang hakikat sebenar kejadian kita dan apakah yang terbaik untuk keturunan kita. Kempen-kempen yang digerakkan untuk menyedarkan kebaikan Susu IBU bukan tidak ada, tetapi masih tidak mencukupi untuk memberi kesedaran kenapa kita perlu mengelakkan Susu Formula.
Tahukah ibu-ibu dan bapa-bapa sekalian bahawa Susu Formula di kebanyakkan negara-negara maju adalah produk terkawal yang hanya boleh didapati di farmasi-farmasi dan bukan di rak-rak pusat membeli belah seperti di sini. Tidakkah ini menunjukkan budaya rakyat kita telah dijajah? Ibu-ibu sekarang berfikiran bahawa dengan memberi Susu Formula yang didatangkan dengan pelbagai label dan corak yang menarik pada tinnya adalah lebih “standard” dari memberikan Susu Ibu yang kononnya “selekeh” dan “menjelikkan”. Tidakkah ini menunjukkan pemikiran kita telah dijajah?
SusuIbu.com sekali lagi ingin melaungkan “BEBASKAN dan MERDEKAKAN BAYI MALAYSIA DARI DIJAJAH OLEH SUSU FORMULA”.
Letakkanlah Susu Ibu sebagai pilihan pertama dalam pilihan makanan pertama untuk cahaya mata anda. Andalah yang menentukan apakah yang terbaik untuk generasi Malaysia akan datang.