Perhimpunan Steril (AntiBakteria) 2011


Video yang dirakamkan oleh TheVIDEOGRAPHERZ International

7 Ogos 2011 mencatat sejarah dalam perjuangan penyusuan ibu di Malaysia. Beberapa orang ibu menyusu menyatakan protes mereka terhadap halangan dalam penyusuan ibu dengan berhimpun beramai-ramai di hadapan KLCC. Perhimpunan ini telah dipimpin oleh Puan Ayuni Zainuddin dan dibantu oleh beberapa orang ibu lain. SusuIbu.com dan Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia (Malaysian Breastfeeding Peer Counselor) tidak ketinggalan memberikan sokongan terhadap perhimpunan ini. Beberapa orang ahli dari kedua-dua kumpulan ini turut menyertai perhimpunan tersebut.

Idea untuk berhimpun ini telah dicetus oleh beberapa insiden yang kebetulan berlaku di pusat membeli belah KLCC. Antara insiden yang telah berlaku adalah, dua orang ibu yang sedang memerah susu di surau KLCC telah diminta keluar oleh pegawal keselamatan yang bertugas di situ. Ada juga insiden yang dilaporkan oleh seorang ibu sedang memerah susu di tandas KLCC (selepas beliau kehabisan usaha mencari-cari tempat yang sesuai untuk memerah susu), juga diminta berhenti melakukannya. Dalam setiap insiden yang berlaku ini, ibu merasakan hak mereka telah digugat.

Lebih kurang 200 orang (ibu, anak dan suami masing-masing) telah berhimpun di lokasi yang berlainan sekitar KLCC sejak dari jam 5:00 petang lagi. Pada jam 5:20 petang masing-masing menghampiri lokasi yang dijanjikan iaitu di hadapan KLCC berhampiran air pancut. Tepat jam 5:30 petang ibu-ibu duduk di hadapan kawasan air pancut KLCC dan menyusu secara serentak. Ada juga dalam kalangan hadirin yang tidak lagi menyusu, tetapi membawa anak patung dan beraksi seolah menyusu, tanda sokongan terhadap perhimpunan ini. Beberapa orang artis juga turut menyertai perhimpunan ini dan memberikan sokongan mereka. Antaranya adalah Dynas Mokhtar dan Jason Lo.
Jelas perhimpunan ini telah mendapat perhatian daripada ramai pihak. Malah pihak pengurusan dan pengawal keselamatan KLCC juga turut turun padang dan meminta semua yang hadir bersurai setelah perhimpunan tersebut berlangsung selama lebih kurang setengah jam. Malang sekali, wartawan yang hadir dalam perhimpunan itu juga (daripada TV3 dan RTM1) turut dihalang oleh pengawal keselamatan daripada membuat liputan mengenai perhimpunan tersebut.

Video yang dirakamkan oleh pihak TheVIDEOGRAPHERZ International mengenai perhimpunan ini juga turut mendapat perhatian dari pelbagai pihak menerusi hebahan internet. Antara laman sesawang dan facebook yang turut melaporkan berita ini adalah WABA, KellyMom, SusuIbu.com, MBfPC dan Carigold.com.

Rentetan daripada perhimpunan ini, ada juga segelintir masyarakat yang memberi reaksi negatif terhadap perhimpunan yang diadakan. Ada yang beranggapan ibu-ibu yang berhimpun ini seolah-olah menggalakkan pendedahan aurat di khalayak ramai semasa melakukan aktiviti penyusuan ibu secara terbuka. Walau apapun pandangan yag diberikan oleh masyarakat, itulah realiti yang harus dihadapi oleh masyarakat kita iaitu, penyusuan ibu masih lagi belum menjadi amalan kebiasaan dalam kehidupan kita, sehingga ada pihak yang sanggup mempertikaikan tentang aktiviti penyusuan ibu sendiri.

Bagi pihak penganjur, isu penyusuan ibu akan terus diperjuangkan dan cuba ‘disterilkan’ agar ‘bakteria’ yang datang dalam pelbagai bentuk seperti mitos, persepsi serong dan tanggapan buruk yang sentiasa menghurungi aktiviti penyusuan ibu ini akan dapat disingkirkan daripada masyarakat kita.

Selamat Menyambut Bulan Penyusuan Ibu Sedunia!

Original Image
Original Image
Original Image
Original Image
Original Image
Original Image
Original Image
Original Image

Terima kasih kepada TheVIDEOGRAPHERZ dan Mimi Zeela untuk gambar-gambar yang diambil.

Oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC