Program Sokongan dan Galakan Khusus untuk Ibu-ibu Menyusu

Original ImageBerdasarkan sambutan kepada keahlian di SusuIbu.com semakin menggalakkan, kini sudah tiba masanya SusuIbu.com melancarkan Program Sokongan dan Galakan Khusus untuk Ibu-ibu Menyusu. Program ini adalah hasil usahasama SusuIbu.com dengan Moms Little Ones. Ianya akan diadakan pada Sabtu pertama setiap bulan, bermula dari bulan April 2005. Program ini berbentuk santai dan sesuai dihadiri oleh setiap pasangan yang ingin menyusukan anak masing-masing dan ingin berkongsi pengalaman serta ingin mendapatkan sokongan dari rakan seperjuangan. Sedikit jamuan juga akan diadakan pada setiap perjumpaan dan berbentuk pot-luck.

Program ini akan dibahagikan kepada 4 segmen utama iaitu:
– Apa Kata Pakar
– Sessi Meja Bulat
– Maklumat Produk
– Minum Petang dan Demonstrasi Produk

Pada setiap program, pihak penganjur akan menjemput pakar-pakar dari pelbagai bidang untuk berkongsi maklumat terkini mengenai selok belok penyusuan susu ibu mengikut kepakaran dan pengalaman masing-masing. Antara bidang kepakaran yang telah dirancangkan untuk memenuhi sesi perbincangan bulanan ini adalah Pakar Pemakanan, Pakar Kaunseling, Pakar Kanak-kanak, Pakar Sakit Puan.

Selepas pembentangan maklumat ataupun ceramah pendek oleh pakar bulanan, sesi meja bulat akan diadakan dimana hadirin dapat sama-sama berkongsi maklumat dan pengalaman mengenai topik yang dibincangkan pada hari tersebut. Nasihat secara langsung dari pakar yang dijemput boleh diperolehi di dalam segmen ini. Di dalam segmen Maklumat Produk, hadirin akan disajikan dengan pengenalan mengenai sesuatu produk yang berkaitan dengan penyusuan. Setiap bulan beberapa produk terpilih akan ditunjukkan dan maklumat mengenai ciri dan cara penggunaan akan diterangkan kepada pengguna. Seterusnya, sambil menikmati hidangan petang, hadirin bolehlah melihat demonstrasi produk yang diadakan oleh pengeluar produk untuk melihat dengan lebih dekat lagi tentang sesuatu produk. Semasa sessi perjumpaan ini juga, hadirin bolehlah mendapatkan barangan yang dipamerkan pada harga diskaun.

SusuIbu.com akan mengumumkan sedikit masa lagi, maklumat mengenai perjumpaan pertama yang akan diadakan pada April, 2005 ini. Segera berdaftar untuk mendapatkan tempat. Tempat adalah terhad.