Sambutan Hari Susu Ibu 2011

Original Image

Alhamdulillah….. SusuIbu.Com dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Malaysian Breastfeeding Peer Counselor (MBfPC) telah berjaya mengadakan Sambutan Hari Susu Ibu 2011 sempena meraikan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia yang akan diraikan setiap tahun. Sambutan ini diadakan di Kompleks 3C, MPSJ pada 16 Julai 2011 yang lalu.

Seramai lebih kurang 150 orang peserta menghadiri sambutan ini. Walaupun hanya diadakan separuh hari sahaja, namun sambutan ini diisi dengan pelbagai aktiviti menarik untuk ibu dan anak. Acara dimulai lebih kurang jam 9:30 pagi dengan ceramah bertajuk “Kebaikan susu ibu kepada ibu, anak dan komuniti” oleh perunding laktasi SusuIbu.com, Puan Nor Kamariah. Alhamdulillah, acara tersebut mendapat sambutan hangat oleh para peserta dan disusuli dengan sesi soal jawab bersama penonton.

Majlis ini diteruskan lagi dengan beberapa pertandingan seperti Pertandingan Bayi Merangkak kepada Ibu, Pertandingan Fesyen Ibu Menyusu dan Pertandingan Mengendong Bayi. Terima kasih kepada semua juri bagi setiap pertandingan. Tidak lupa juga pada tetamu undangan kita, seorang artis, pengacara dan model, dan juga seorang ibu yang menyusukan anaknya iaitu Dynas Mokhtar kerana sudi menjadi juri bagi Pertandingan Fesyen Ibu Menyusu.

Sambutan Hari Susu Ibu ini diserikan dengan kehadiran beberapa gerai jualan barangan ibu dan bayi serta kaunter khidmat nasihat dan sokongan oleh MBfPC.

Selepas ketibaan tetamu kehormat iaitu,Yang Berbahagia Datin Roliah Sabian, Pengerusi PUSPANTA MPSJ, Yang Berbahagia Datin Maryah binti Mohd Ibrahim, Pengerusi PUSPANITA Daerah Petaling, Yang Berusaha Puan Hajah Haini Bt Salleh, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPSJ, dan Yang Berusaha Puan Hjh Aida bt Omar, Timbalan Presiden PUSPANITA MPSJ, majlis diteruskan dengan ucaptama tema Minggu Penyusuan Ibu Sedunia tahun ini iaitu “Penyusuan Ibu Satu Pengalaman 3 Dimensi” oleh Puan Nor Kamariah, Chief Knowledge Officer, Nurturing Concepts Sdn Bhd. Seusai ucaptama tersebut, Sambutan Hari Susu Ibu dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datin Roliah Sabian.

Majlis ini diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah kepada semua pemenang untuk setiap pertandingan yang diadakan. Penganugerahan turut diberikan kepada ibu-ibu yang telah menjayakan penyusuan untuk tempoh yang agak panjang. Anugerah Perak (bagi yang telah menyusu lebih dari satu tahun) telah dimenangi oleh Puan Noor Hidayah, Puan Faradiyatul Liana, Puan Noriah Azza, Puan Melati, Puan Zawati, Puan Fazerina, Puan Sharipah Norhaslinda, dan Puan Noor Afifa. Kemuncaknya, anugerah Emas telah diberikan kepada Puan Wan Norashikin kerana berjaya menyusukan anak beliau lebih daripada 2 tahun.

Acara ini mendapat sambutan dan tepukan gemuruh daripada semua yang hadir. Syabas diucapkan kepada semua pemenang. Majlis kemudiannya bersurai dan tetamu jemputan menjamu selera bersama.

Kami bagi pihak SusuIbu.Com dan Malaysian Breastfeeding Peer Counselor sangat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini. Tak lupa kepada MPSJ dan tulang belakang kami, Puan Wan Norashikin atas penat lelah beliau dalam menjayakan program ini. Syabas diucapkan. Semoga kita akan dipertemukan lagi pada majlis seumpama ini.

Buat pembaca yang tidak dapat hadir dalam majlis tersebut, ikuti ucaptama Hari Susu Ibu 2011 di sini. Penyusuan Ibu Satu Pengalaman 3 Dimensi

Original Image

Original Image

Original Image

Original Image

Original Image

Disediakan oleh : Nur Ain Sha’ari
Disemak oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC