Sekali lagi Relevennya Susu Ibu dan Open Source Software

Sebentar tadi saya menghadiri sebuah seminar separuh hari yang dianjurkan oleh Mimos Open Source bertajuk “Open Source and Intelectual Property”, http://opensource.mimos.my/?main=tech_wshop/1Disember. Buat masa ini terdapat dua perkara yang amat saya minati, pertama: ‘Open Source Software’, kedua: Penyusuan Susu Ibu. Perkara pertama, saya adalah pengguna dan saya juga adalah penyokong setia. Di dalam aplikasi portal SusuIbu.com juga saya banyak menggunakan kemudahan dan perisian berasaskan Open Source. Untuk perkara kedua, saya adalah pelaksana (kerana saya menyusukan anak-anak saya) dan saya juga adalah penyokong kepada gerakan Penyusuan Susu Ibu, jika tidak sedunia, paling tidak di negara saya Malaysia. Disebabkan saya begitu minat kepada dua perkara ini, pelayar akan disajikan artikel-artikel yang diselitkan kedua-dua perkara yang saya sebutkan di atas.

Berbalik kepada seminar yang saya hadiri tadi, saya hadir ke majlis tersebut kerana saya masih baru di dalam bidang ini dan saya ingin mendapat galakan dalaman serta stamina untuk terus menggunakan dan sama-sama memperjuangkan penggunaan Open Sorce Software di negara saya. Saya ingin berbuat demikian kerana saya tahu kebaikan di sebalik penggunaannya dan ingin orang lain seperti kawan-kawan, keluarga, masyarakat umum dan seterusnya generasi akan datang tahu dan dapat memperoleh kebaikan di sebalik filosofi Open Source Software. Samalah juga apa yang saya rasa mengenai Penyusuan Susu Ibu. Saya sering menghadiri seminar dan kursus berkaitan untuk menambah ilmu dan mendapat sokongan untuk terus memperjuangkan Penyusuan Susu Ibu. Ini kerana saya tahu kebaikan Susu Ibu dan mahu masyarakat turut menghargainya.

Di dalam seminar tadi 3 perkara yang menarik perhatian saya. Panel pertama, Dr Nah Soo Hoe bercakap mengenai OSS: Software Freedom and IP. Katanya, sudah menjadi kebiasaan, manusia pada umumnya, berfikiran jika sesuatu itu adalah murah atau hampir ‘percuma’, nilai kualitinya sering dicurigai. Perisian berasaskan Open Source seringkali boleh diperolehi dengan mudah dengan memuat turun dari internet, lantas orang mula berfikir yang kualitinya pasti akan jauh lebih rendah berbanding dengan perisian yang komersil yang perlu dibeli dengan harga yang mahal. Saya terfikir, mungkin atas dasar ini juga, ibubapa membuat keputusan, susu formula yang terpaksa dibeli pada harga yang mahal adalah lebih baik dari susu ibu yang diperoleh secara percuma. Walaupun interpretasi bagi kedua-dua senario ini adalah berbeza, tetapi yang penting terdapat satu nilai yang sama pada manusia, iaitu manusia seringkali menilai sesuatu perkara atau barangan melalui harga luaran bukan pada nilai dalaman.

Perkara kedua yang menarik perhatian saya, diutarakan oleh panel kedua iaitu, saudara Dinesh Nair, kebetulan dia juga adalah graduan USM. Dia menyebut, di antara penyebab Open Source Software berkualiti adalah kerana, minat yang mendalam dan kesungguhan pembina perisian terhadap perkara yang dilakukannya. Disebabkan minatnya pengaturcara ini terhadap perisian yang sedang dibina itu, beliau akan berusaha secepat mungkin memperbaiki kesilapan yang terdapat di dalam perisian yang sedang dibangunkan. Perkara ini juga benar di dalam usaha penyusuan, jika niat dan minat menyusu itu tidak datang dari dalam diri ibu dan ayah itu sendiri, memang agak sukar mereka mencapai kejayaan penyusuan eksklusif terhadap bayi mereka.

Perkara ketiga, saudara Dinesh menyebut “Waste is sinful” bermaksud pembaziran adalah satu dosa. Di dalam pembangunan perisian, jika sesuatu usaha telah dijalankan oleh sebuah komuniti untuk membangunkan sebuah aplikasi, adalah pembaziran jika kita ingin cuba membangunkan perisian yang hampir serupa tetapi dimulakan dari langkah pertama, tanpa mengambil kira penggunaan semula sebahagian atau kesemua aplikasi yang telah sedia ada. Saya terfikir, keadaannya adalah sama kepada ibu-ibu yang mempunyai susu dan berupaya untuk menghasilkan susu tetapi tetap ingin membeli dan memberikan susu formula kepada anak mereka. Saya tidak katakan ibu-ibu ini berdosa, tetapi saya rasa ianya memang jelas adalah suatu pembaziran. Di dalam kedua-dua senario diatas, memang terdapat usaha yang perlu dilakukan sebagai tambahan untuk merealisasikan kejayaannya. Di dalam perisian, kita perlu menganalisa dan mengkaji perisian mana yang sesuai diguna pakai untuk sesebuah projek yang cuba kita bangunkan. Di dalam penyusuan, ibu dan anak perlu belajar teknik dan memahami keuda-dua pihak bagi menjayakan proses penyusuan. Dengan lain perkataan, tiada jalan mudah untuk mencapai sebuah kejayaan.

Hidup Open Source, Hidup Susu Ibu!!