SGM 2 : Preparing for Birth and Breastfeeding

Original Image

AlhamdulillahPada 27 Februari 2011, Support Group Meeting (SGM) yang kedua telah diadakan di Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. Seperti biasa, perbincangan ini bermula lebih kurang jam 9.30 pagi dengan topik yang menarik iaitu Preparing for Birth and Breastfeeding.

Seramai 24 orang peserta menyertai SGM kali ini. Mereka dibahagikan kepada 3 kumpulan di mana 2 kumpulan daripadanya adalah kumpulan ibu-ibu dan satu lagi adalah kumpulan bapa. Kumpulan ibu dikendalikan oleh Puan Cik Rafidah, Puan Wan Norashikin, Puan Hanidah dan Puan Nora Herni. Kumpulan bapa pula dikendalikan oleh Puan Nor Zarina dan Encik Ahmad Ajwad.

Mereka diberi masa selama lebih kurang satu jam setengah untuk membincangkan topik ini dengan mendalam. Setelah masa tamat, wakil daripada setiap kumpulan telah membentangkan apa yang dibincangkan dalam kumpulan tadi.

Antara perkongsian maklumat daripada ketiga-tiga kumpulan mengenai persediaan awal kelahiran dan penyusuan ialah:

1. Persediaan sebelum kelahiran dan penyusuan

a. Ilmu pengetahuan
i. Bakal ibu dan bapa perlu menyediakan diri dengan ilmu mengenai kelahiran dan penyusuan setelah mendapat berita bahawa mereka akan menimang cahaya mata
ii. Mereka juga boleh menghadiri pelbagai majlis ilmu seperti Perjumpaan Kumpulan Sokongan, Kelas Kelahiran / Penyusuan
iii. Pelbagai laman sesawang yang boleh dijadikan sumber rujukan

b. Mental
i. Persediaan mental sangat penting kerana bayi yang bakal dilahirkan merupakan seorang insan yang tidak mengerti apa-apa dan memerlukan penjagaan rapi oleh ibu dan bapa kita perlu bersedia untuk menjaga bayi tanpa mengira waktu. Jika kita tidak kuat, kita mungkin akan melakukan sebaliknya, contohnya dalam penyusuan, kita mungkin akan memberikan susu formula jika anak kerap menangis.

c. Pemilihan hospital
i. Ini juga penting untuk kemudahan kita sendiri pilihlah hospital yang kita tahu akan membantu kita terutamanya dalam penyusuan
ii. Buat pilihan serta cari maklumat seperti bertanya kepada kawan-kawan yang pernah bersalin di hospital tersebut

d. Pelan kelahiran/Birth Plan
i. Pelan kelahiran ialah perjanjian bertulis di antara kita dan doktor. Di dalam pelan tersebut, kita boleh senaraikan apa yang kita kehendaki semasa dan selepas proses kelahiran. Dan pelan ini perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan kita sebagai pengguna, ada hak untuk menulis permintaan kita.

2. Persediaan semasa kelahiran dan penyusuan

a. Memulakan penyusuan dalam tempoh satu jam pertama selepas kelahiran
i. Memulakan penyusuan dalam satu jam pertama amat penting untuk bayi. Bayi akan memperolehi kolustrum yang pertama untuk dirinya kerana kolustrum ini akan memberikan perlindungan maksimum kepada bayi daripada sebarang jangkitan
ii. Pelan kelahiran boleh digunakan untuk menekankan kemahuan ibu untuk mengalami peristiwa penting ini
iii. Semasa di dalam dewan bersalin, kita juga boleh mengingatkan jururawat atau doktor tentang keinginan ibu untuk menyusukan anak pada jam pertama tersebut

b. Sokongan
i. Sokongan padu daripada suami amat diperlukan oleh isteri semasa proses kelahiran dan sepanjang tempoh penyusuan berlangsung. Saling faham memahami tentang peranan masing-masing akan menjadikan proses ini berlangsung dengan harmoni.
ii. Sokongan ibu bapa, keluarga dan orang sekeliling juga penting supaya kita tidak terbabas dengan mitos-mitos yang diberikan.

c. Kuantiti susu
i. Kita tak perlu bimbang tentang kuantiti susu semasa awal kelahiran kerana secara lazimnya, kuantiti kolustrum memang sangat sedikit tetapi cukup untuk keperluan bayi yang baru lahir

3. Persediaan selepas kelahiran dan penyusuan

a. Mitos
i. Mitos sememangnya sebati dengan adat dalam setiap masyarakat. Jadi bagi menjayakan penyusuan ibu, kita perlu tahu membezakan antara mitos dan fakta.

b. Emosi
i. Kawalan emosi juga penting agar kita tidak terjerumus dengan apa yang dikatakan oleh orang sekeliling

c. Menangani cabaran
i. Sediakan mental dan fizikal dalam mengharungi segala cabaran yang datang
ii. Ambil langkah yang terbaik agar kita berjaya dalam misi penyusuan ini

Akhir kata, Puan Ismazura menutup perjumpaan kali ini dengan rumusan yang paling ringkas. Apa yang boleh disimpulkan hasil daripada pembentangan ketiga-tiga kumpulan ialah, persediaan yang paling penting dalam misi kelahiran dan penyusuan ialah ilmu yang cukup, sokongan semua pihak dan juga mental yang kuat.

Perjumpaan kali ini diakhiri dengan pelbagai jenis juadah yang dibawa oleh peserta yang hadir. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang sudi hadir menjayakan program kali ini. Semoga kita bertemu lagi di SGM akan datang pada 27 March 2011 dengan topik Avoiding Common Difficulties.

Original Image

Original Image

Original Image

Original Image

Oleh : Nur Ain Sha'ari
Disemak oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC