SGM 3 : AVOIDING COMMON DIFFICULTIES

Original Image

Alhamdulillah, pada 27 Mac 2011 yang lalu, sekali lagi Support Group Meeting (SGM) yang ketiga untuk tahun ini telah diadakan. Topik yang dibincangkan pada kali ini adalah Avoiding Common Difficulties dan seperti biasa diadakan di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi.

Perjumpaan kali ini dihadiri oleh seramai 25 orang peserta. Mereka bukan sahaja datang berseorangan malah ditemani oleh suami dan juga anak-anak. Peserta-peserta ini dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu dua kumpulan ibu dan satu kumpulan bapa. Kumpulan ibu dikendalikan oleh Puan Hanidah, Puan Nora Herni dan Puan Cik Rafidah, manakala kumpulan bapa dikendalikan oleh Puan Zarina dan Puan Ismazura.

Original Image
Kumpulan Pertama

Original Image
Kumpulan Kedua

Original Image
Kumpulan Ketiga

Seperti biasa perbincangan ini memakan masa selama satu jam. Pelbagai info dan maklumat yang dikongsi sesama ahli kumpulan. Seusai perbincangan dalam kumpulan, setiap wakil kumpulan diminta membentangkan apa yang telah dibincangkan tentang topik yang diberi.

Antara isi kandungan yang dibincangkan oleh ketiga-tiga kumpulan bagi mengatasi kesulitan atau kepayahan dalam penyusuan ibu ialah :

1. Sokongan

a. Suami sokongan daripada suami adalah paling penting untuk menjayakan penyusuan ibu ini kerana suami adalah orang yang paling rapat dengan isteri/ibu tersebut

b. Keluarga memainkan peranan untuk menyokong si ibu walaupun dengan tidak memberikan tekanan kepada ibu tadi

2. Ilmu pengetahuan

a. Menghadiri kelas persediaan penyusuan yang dianjurkan bagi membuka minda tentang kebaikan penyusuan ibu ini

b. Membaca buku-buku yang berkaitan penyusuan ibu juga boleh mencari bahan bacaan di internet

c. Menghadiri aktiviti kumpulan sokongan seperti yang dianjurkan oleh SusuIbu.Com - berkongsi info dan juga dapat menimba ilmu daripada perjumpaan ini

3. Produksi susu

a. Ramai ibu-ibu resah jika memikirkan tentang penghasilan susu mereka pada awal kelahiran. Jadi tidak mustahil ramai yang terkandas kerana mereka beranggapan bahawa susu mereka tidak mencukupi buat bayi mereka jadi ibu tersebut perlulah membuat persediaan awal dengan ilmu yang cukup

b. Ibu juga perlu tahu bahawa kadangkala persepsi mereka tentang kurang susu adalah tidak benar terutama semasa bayi mengalami growth spurt dan mereka perlu membenarkan bayi untuk mempertingkatkan penghasilan susu secara tabii dengan menambah kekerapan penyusuan

c. Ada ketikanya adalah normal ibu kekurangan penghasilan susu seperti pada sekitar waktu haid dan jika ibu sedang mengandung.

4. Masyarakat

a. Hospital
i. Perlu rancang dan pilih hospital yang Rakan Bayi bagi memudahkan matlamat penyusuan anda
ii. Jika bersalin di hospital swasta, anda boleh memaklumkan kepada doktor bahawa anda ingin menyusukan anak anda sendiri jadi amat penting untuk anda sediakan Pelan Kelahiran atau Birth Plan

b. Tempat kerja
i. Beritahu ketua anda bahawa anda perlu mengambil sedikit masa di pejabat bagi mengepam susu anda juga perlu diberitahu kepada rakan sekerja lelaki jika mereka tidak memahami

5. Mental dan fizikal

a. Mental persediaan mental yang kuat perlu sebelum anda melahirkan bayi kerana selepas melahirkan bayi anda tidak akan cukup rehat. Jika tidak kuat, mungkin anda akan gagal dalam penyusuan ini.

b. Fizikal kesihatan badan perlu dijaga dengan baik agar anda boleh menyusukan anak dengan tenang

6. Jaundis / demam kuning

a. Jaundis biasanya bayi yang baru lahir akan mengalami jaundis dan di sinilah pentingnya ilmu penyusuan kerana penyusuan ibu secara eksklusif yang dapat membantu mempercepatkan pengurangan tahap jaundis pada bayi

7. Mitos

a. Ketahui terlebih dahulu jenis-jenis mitos yang ada dalam masyarakat kita

b. Jika terima sesuatu mitos yang kurang pasti, dapatkan fakta mengenainya dan jika tiada ia adalah mitos yang ada

Sebagai kesimpulan daripada topik yang dibincangkan, sokongan daripada semua pihak adalah sangat penting bagi dalam penyusuan ibu walau apa pun cabaran atau kesukaran yang dihadapi.

Perjumpaan ini diakhiri dengan jamuan makan yang dibawa oleh peserta yang hadir. Pelbagai juadah dibawa pada kali ini. Kami di pihak SusuIbu.Com berharap agar lebih ramai ibubapa atau bakal ibubapa dapat hadir ke program ini bagi memantapkan ilmu yang sedia ada. Marilah sama-sama memartabatkan penyusuan ibu ini. Jangan lupa datang ke SGM ke-4 pada 24 April 2011 dengan topik baru Improving Family Nutrition.

Oleh : Nur Ain Sha'ari
Disemak Oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC