SGM 4 : Improving Family Nutrition

Original Image
Alhamdulillah… syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNYA dapat kita berkumpul lagi dalam Perjumpaan Kumpulan Sokongan Penyusuan Ibu kali yang ke-4 untuk tahun 2011. Seperti biasa, aktiviti bulanan ini diadakan di Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, diadakan pada 24 April 2011. Kali ini topik yang dibincangkan ialah Improving Family Nutrition.

Peserta kali ini adalah lebih kurang seramai 22 orang. Masing-masing datang bersama seisi keluarga. Tak lupa juga dengan bekalan yang dibawa untuk dikongsi bersama peserta yang lain. Para peserta mula memenuhi tapak aktiviti seawal jam 9.00 pagi. Aktiviti dimulakan pada jam 9.30 pagi.

Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan sahaja. Kumpulan pertama dikendalikan oleh Puan Nor Kamariah manakala kumpulan kedua dikendalikan oleh Puan Ismazura dan Puan Nora Herni. Kumpulan kedua ini digabungkan dengan bapa-bapa yang hadir pada hari tersebut. Masing-masing berbincang mengenai topik yang diberikan. Setelah satu jam perbincangan, kedua-dua kumpulan membentangkan hasil perbincangan masing-masing. Dan ada juga sesi soal jawab ketika sesi perbincangan ini.

Antara hasil kupasan daripada kedua-dua kumpulan mengenai meningkatkan Nutrisi Keluarga.
1. Jika dikaitkan dengan penyusuan ibu, secara lazimnya penyusuan susu ibu sendiri secara automatik akan mempengaruhi pemilihan nutrisi. Ini adalah kerana pemakanan seimbang dan berkhasiat adalah untuk kesihatan ibu itu sendiri demi untuk anak yang disusukan itu. Sebagai contoh, jika sebelum ini, ibu tidak gemar memakan sayur-sayuran tetapi demi anaknya yang disusukan, dia mencuba kerana tahu khasiat yang ada pada sayur-sayuran.
2. Untuk meningkatkan nutrisi dalam pemakanan anak-anak, ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak mendapat nutrisi yang secukupnya.
a. Pemilihan makanan – ibu bapa perlu hormati apa yang dikehendaki oleh anak itu. Walau bagaimanapun, mereka perlu memastikan makanan tersebut berkhasiat dan halal sumbernya. Dan jangan biarkan anak-anak sering dipengaruhi oleh media masa kerana pengaruh media ini sangat kuat. Jadi pastikan makanan anak-anak adalah yang berkhasiat dan seimbang.
b. Perasa semulajadi – lebihkan makanan yang mempunyai rasa semulajadi seperti buah-buahan, dan sayur-sayuran seperti kurma, oren dan sebagainya
c. Makan bersama – tanggungjawab ibu bapa perlu memastikan anak-anak untuk duduk makan bersama kerana dari situlah anak-anak akan dapat belajar pelbagai aspek tentang pemakanan seperti rasa, bentuk, tekstur, perbendaharaan kata, dan kaedah pemprosesan makanan tersebut. Dalam masa yang sama bayi juga akan belajar kaedah bersosial dengan ahli keluarga yang lain menerusi aktiviti makan sekeluarga. Contohnya: bayi mungkin boleh belajar menghormati adik beradik dan orang tua tentang adab-adab di meja makan).
d. Mesej tentang makanan yang dimakan – ibu bapa perlu menyampaikan mesej seperti memberitahu tentang kebaikan makanan yang dimakan contohnya “Adik, lobak merah ini baik untuk mata tau. Sebab itu adik perlu makan”. Jika kita memberitahu anak-anak kita, jadi dia akan belajar menerima sedikit demi sedikit.
3. Perlu diingat bahawa, adalah kurang tepat jika kita menyatakan bahawa jikalau seorang ibu yang kurang mengambil makanan seimbang/berkhasiat, maka susu yang dihasilkan oleh badan ibu itu juga tidak berkhasiat. Fakta: komposisi susu ibu yang dihasilkan yang dihasilkan tetap sama jika dibandingkan antara ibu-ibu yang mempunyai diet pemakanan yang berbeza. Walau bagaimanapun, jika ibu mengamalkan pemakanan yang tidak seimbang, tubuh ibu mungkin akan menjadi lemah dan tidak bermaya akibat perlakuan ini.
4. Apabila seseorang bayi sudah mengambil makanan, keperluannya terhadap susu ibu juga boleh menjadi berkurangan dan seterusnya akan memberi kesan terhadap penghasilan susu. Ramai ibu akan menyedari keadaan ini tetapi ibu tidak perlu risau jika susunya berkurang setelah anak mula makan kerana ini adalah peluang untuk anak mula mengenal makanan dan menambah kuantiti makanannya dari masa ke semasa dan seterusnya mengurangkan penyusuan secara perlahan-lahan. Kesan jika kita hanya memberikan susu sahaja kepada anak-anak ialah anak-anak tidak berpeluang / rugi kerana tidak dapat merasai kepelbagaian makanan yang ada kerana susu hanya mempunyai satu rasa dan warna sahaja.

Jadi, sebagai ibu dan bapa, kita perlu memastikan anak-anak serta seisi keluarga mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat demi kesejahteraan dan kesihatan keluarga. Kurangkan pengambilan garam, gula, perasa dan pewarna yang berlebihan dalam menu harian kita.

Perjumpaan kali ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama peserta yang hadir serta hidangan yang dibawa oleh setiap peserta.

Original Image

Original Image

Original Image

Original Image

Memandangkan laporan ini dikeluarkan agak lewat, pada bulan berikutnya SGM telah dilaksanakan pada 29 Mei 2011, di tempat yang sama dengan topiknya “The ABCs of Breastfeeding, Advantages of Breastfeeding from A to Z”. Ikuti laporan SGM tersebut dalam berita seterusnya.

Disediakan oleh : Nur Ain Sha'ari
Disemak oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC